Kartika sah bercerai talak satu

Khamis, 21 Januari 2010

KUALA KANGSAR 20 Jan. - Bekas model sambilan yang dijatuhi hukuman sebat atas kesalahan minum arak di khalayak ramai, Kartika Sari Dewi Shukarnor (gambar) hari ini sah bercerai talak satu dengan suaminya, Mohamad Afandi Amir.

Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Burhanuddin Ismi Adam membuat ketetapan itu selepas berpuas hati dengan lafaz berbunyi 'aku ceraikan kamu' yang disebut Mohamad Afandi, 39, kira-kira pukul 1 petang di rumah mereka di Singapura pada pertengahan Oktober 2008.

Beliau bagaimanapun menegur pasangan tersebut yang mengambil masa terlalu lama iaitu sehingga lebih setahun untuk melaporkannya kepada Mahkamah Syariah.

Terdahulu, timbul keraguan apabila Mohamad Afandi yang bertugas di sebuah firma teknologi maklumat (IT) di Singapura dalam keterangannya memberitahu bahawa dia telah melafazkan cerai sebanyak dua kali terhadap Kartika, 33.

Menurutnya, dia mengulangi lafaz cerai pada 10 Februari 2009 setelah was-was dengan lafaz pertama yang dibuatnya kira-kira empat bulan sebelum itu.

Bagaimanapun Burhanuddin memutuskan Kartika dan pasangannya itu cuma bercerai talak satu memandangkan lafaz cerai kedua dilakukan selepas tempoh idah tamat.

''Berdasarkan keterangan plaintif (Kartika), tempoh idah dia telah tamat pada 16 atau 17 Januari 2009 iaitu selepas tiga kali suci.

''Lafaz cerai kedua dibuat defendan (Mohamad Afandi) pada 10 Februari 2009 tidak sah kerana ketika itu mereka bukan lagi pasangan suami isteri,'' katanya.

Sementara itu, Mohamad Afandi yang memakai kemeja berwarna hijau ketika ditemui mengakui rumah tangga mereka bergolak sehingga tidak dapat diselamatkan berikutan tuduhan minum arak yang dihadapi oleh Kartika.

Namun katanya, dia masih menaruh harapan agar hubungan yang terputus itu dapat disambung semula jika segala-galanya telah kembali tenang.

''Saya akui sudah silap langkah. Sekiranya keadaan sudah jernih semula harap masih terbuka peluang untuk bersama dengan dia,'' katanya.

Kartika yang berbaju kurung warna biru hitam pula berkata, dia dan bekas suami sepakat membenarkan kedua-dua anak mereka terus berada di bawah penjagaannya yang kini menetap di Kampung Jawang, Karai dekat sini.

Pada 11 Julai 2008, Kartika ditahan pihak berkuasa ketika minum arak di sebuah resort di Cherating dan selepas mengaku bersalah, Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan sebatan enam kali terhadapnya.

Hukuman sebatan itu masih tertangguh sehingga kini.


1 comments:

bijan berkata...

tak lama lagi boleh masuk...kena tunggu lepas kena sebat..tapi sebelum itu ada pulak org lain sebat dulu he he

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan