Memaparkan catatan dengan label Pengetahuan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pengetahuan. Papar semua catatan

Sakit Yang 'Menikam' Serta Tajam Dalam Dada? Mungkinkah Ia Angina?

Selasa, 15 Disember 2009

Ini mungkin ada kaitan dengan kes Ahmad Lutfi Othman. Sekadar buat posting... terlalu ilmiah untuk saya menghabiskannya. - Nabila

Zulkiple Ibrahim

Ini adalah rencana pertama dari tiga bahagian mengenai penyakit arteri koronari.

KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) -- Bila pesakit diabetis Alex (bukan nama sebenar) mengadu kesakitan yang tajam serta menikam dalam dada, isterinya tanpa berlengah terus mengejarkan beliau ke hospital yang berdekatan.

Menurut diagnosa doktor di Unit Kecemasan hospital tersebut, jurutera itu mengalami apa yang dinamakan 'angina pectoris'' atau lebih dikenali sebagai angina.

Keadaan ini berlaku bila otot jantung tidak menerima bekalan darah/oksigen yang mencukupi (iskemia) dan angina akan berlaku bila arteri koronari (salur darah jantung) yang membawa bekalan oksigen menjadi 'tersumbat'.

Ini dikenali sebagai penyakit arteri koronari atau CAD.

Menurut pakar-pakar kardiologi, simptom CAD ialah sakit dalam dada yang tajam serta menikam dan menjalar ke leher serta belakang leher, dagu atau bahagian atas abdomen. Pesakit akan juga berpeluh serta berasa mual, kesukaran bernafas selain mengalami keresahan dan rasa panik.

CAD adalah penyakit kronik yang disebabkan tisu otot jantung tidak menerima bekalan darah yang mencukupi. Penyebab utama ialah peningkatan lemak di salur arteri (arteriosclerosis) yang menyebabkan penyempitan arteri (stenosis) berlaku.

STRATEGI RAWATAN

Pakar kardiologi Dr N. Tan berkata kebarangkalian bagi pesakit diabetis mendapat CAD adalah lebih tinggi.

Jika arteri koronari menjadi semakin sempit, ianya boleh tersumbat terus dan menyebabkan serangan jantung. Di Malaysia, diabetis merupakan faktor utama yang menyebabkan keadaan ini kerana terdapat 1.5 juta orang mengalami penyakit endokrin tersebut.

Menurut Dr Tan, antara faktor risiko CAD adalah merokok, gemuk (obesiti), usia serta jantina, genetik, tekanan darah tinggi, kandungan kolesterol tinggi dan diabetis melitus.

Terdapat beberapa kaedah dalam rawatan CAD. Bagaimanapun kaedah rawatan adalah berdasarkan keadaan pesakit.

Kata Dr Tan: "Penyempitan arteri koronari disebabkan arteriosclerosis atau dinding arteri menjadi keras.

"Ini berlaku bila terdapat pengumpulan lipid dan bahan lain di dinding vaskular. Bahan yang terkumpul ini dikenali sebagai plak. Kalsifikasi plak ini akan berlaku di peringkat selanjutnya".

AKIBAT DAN KOMPLIKASI

Menurut Dr Tan, akibat serta komplikasi CAD adalah serius.

"Kalau plak yang tersumbat dalam arteri adalah stabil, kurang bekalan darah akan dialami dalam bentuk rasa sakit dan ketat di dada. Simptom ini berlaku bila otot jantung memerlukan banyak oksigen contohnya ketika aktiviti fizikal.

"Situasi sakit dada sebegini ialah angina pektoris", kata beliau.

Kata Dr Tan lagi, simptom ini mungkin tidak akan timbul walaupun keperluan oksigen otot jantung amat meruncing. Ini dipanggil iskemia senyap atau CAD asimpotamtik (tiada simptom). Dalam jangkamasa panjang, kekurangan bekalan oksigen kepada otot jantung boleh menyebabkan kegagalan jantung.

CAD tidak boleh diubati tetapi boleh dirawat.

"Sebab itulah pencegahan adalah penting. Keutamaan adalah perubahan gaya hidup serta meminimumkan faktor-faktor risiko yang wujud seperti kadar kolesterol yang tinggi dalam darah, merokok, kegemukan serta diabetis.

"Langkah ini termasuk diet yang seimbang, senaman yang cukup serta jangan merokok", kata beliau. RAWATAN

'Acetylsalicylic acid' boleh menghalang pembekuan darah dan mengelak daripada serangan jantung.

Statin (ubat yang mengurangkan tahap lipid dalam darah) mengurangkan kolesterol LDL yang merupakan penyebab utama salur darah tersumbat dalam CAD manakala 'ACE inhibitors' menurunkan tekanan darah dan melindungi dinding salur darah dan otot jantung.

"Ubat ini biasanya digunakan oleh pesakit yang mempunyai tekanan darah tinggi, diabetis dan lemah jantung dan mereka yang mempunyai risiko tinggi terhadap serangan jantung", kata Dr Tan.

Menurut beliau, 'Beta-blocker' (ubat tekanan darah tinggi) boleh digunakan oleh semua pesakit CAD. Ubat ini menurunkan denyutan jantung selain meredakan sakit yang disebabkan angina pectoris.

Antara kaedah rawatan yang lain ialah pembedahan pintasan, dilatasi (pengembangan) belon, stent serta belon penyalutan ubat.

Jika ubat tidak lagi berkesan, arteri yang sempit boleh dirawat secara surgikal atau 'lumen' (ruang) salur darah yang berlakunya penyempitan boleh diluaskan semula. Jika diperlukan surgeri pintasan boleh dijalankan.

Surgeri ini memintas lokasi salur darah yang tersumbat dan kaedah ini menggunakan salur darah yang diambil dari tempat lain di badan pesakit. DILATASI BELON

Dalam prosedur dilatasi belon koronari ini, belon koronari yang berada dihujung 'catheter' (kateter) dimasukkan ke dalam arteri dinding jantung melalui satu arteri yang besar sama ada di pangkal paha atau pergelangan tangan dengan kaedah insisi kulit.

Hujung kateter kemudian digerakkan dan diarahkan 'menjalar' menuju lokasi yang dingini, iaitu tempat di mana berlaku penyempitan dalam salur darah (arteri koronari). Belon itu kemudian dikembangkan (inflated) dengan tekanan tinggi untuk mengembangkan atau meluaskan semula ruang (lumen) yang sempit tadi.

Kaedah ini boleh dilakukan secara bius (anestesia) setempat dan tidak memerlukan pesakit dirawat di hospital dengan masa yang lama. Bagaimanapun, 30 hingga 50 peratus daripada pesakit CAD yang dirawat dengan kaedah, arteri koronari mereka boleh kembali sempit dalam masa enam bulan. STENT

Untuk memastikan lumen salur darah tetap terbuka selepas dilatasi dilakukan, rawatan menggunakan 'stent metal' juga digunakan.

Stent ini diimplatasi dilokasi yang sempit. Kaedah ini mula digunakan dalam tahun 1986. Stent dilekatkan pada kateter belon dan di bawa ke tempat yang dikehendaki oleh kateter tesrebut.

Sampai dilokasi, belon itu dikembangkan dan serentak mengembangkan juga stent tersebut. Belon serta kaheter ditarik keluar, meninggalkan stent di tempat yang dikehendaki di arteri koronari dan akan membuat salur darah ini kembang secara mekanikal.

Kaedah ini boleh mengurangkan insiden penyempitan semula (restenosis) dalam 15-30 peratus kes.

-- BERNAMA
Baca Lagi...

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan