Kedudukan Saifuddin Nasution di pejabat MB Selangor masih kabur

Selasa, 2 Julai 2013

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK
Kedudukan Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebagai perhubungan politik menteri besar Selangor masih lagi kabur buat masa ini walaupun sebelum ini Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah mengumumkan pelantikan mengenai jawatan itu.

Ketua Umum PKR itu mengumumkan Saifuddin dilantik sebagai pegawai perhubungan politik kepada menteri besar Selangor  sewaktu menggulung perbahasan Kongres Tahunan Nasional ke-9 PKR di Dewan Sivik MBPJ pada hujung Mei lalu.

“Pengesahan berkenaan perlu dijawab sendiri oleh Tan Sri Khalid Ibrahim," kata Saifuddin apabila dihubungi oleh The Malaysian Insider hari ini.

"Jawatan jurucakap politik itu masih belum diwujudkan di negeri Selangor,”  tambah beliau.
Sementara itu, Pengerusi PKR Selangor Mohamed Azmin Ali pada awal bulan lalu mendedahkan ada di kalangan anggota PKR Selangor yang kurang senang dengan perlantikan Saifuddin ke jawatan berkenaan.

Azmin memberitahu pelantikan berkenaan seolah-olah meminggirkan pemimpin PKR Selangor yang lain.

Sinar Harian turut melaporkan ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamarudin pada Jun lalu belum menerima maklumat rasmi berhubung pelantikan Saifudin ke jawatan tersebut.

Zuraida memberitahu PKR mengalu-alukan pelantikan tersebut jika benar ia dibuat demi kepentingan urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Awal bulan lalu, Abdul Khalid memberitahu tugas Saifuddin di pejabat menteri besar Selangor akan diumumkan pada minggu berikutnya namun sehingga kini pelantikan berkenaan masih kabur.
Abdul Khalid membayangkan antara tugas jurucakap berkenaan adalah membantu penglibatan kerajaan negeri dalam pembangunan desa dan luar bandar.

Menteri besar itu turut memberitahu pelantikan Saifuddin bukan lagi ura-ura. Beliau bercakap selepas mempengerusikan mesyuarat Exco pertama kerajaan negeri selepas Pilihan Raya 2013 di bangunan Setiausaha Kerajaan negeri (SUK) di Shah Alam, Selangor pada Jun tahun ini.

Pada Pilihan Raya 2013, Saifuddin yang bertanding mewakili PKR untuk kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu  tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir dengan majoriti 1,871 undi. - MalaysianInsider

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan