Idris Jusoh Setuju Presiden dan Timbalan di Pertandingkan

Ahad, 16 Jun 2013

KUALA LUMPUR, 15 Jun - Tanpa pertandingan untuk dua jawatan tertinggi, presiden dan timbalan presiden Umno pada penghujung tahun ini, ia bakal menunjukkan parti berkenaan tidak mengamalkan demokrasi dalam pemilihannya, kata ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Idris Jusoh.

Menteri Pendidikan II itu bagaimanapun turut berkata gandingan Perdana Menteri, yang juga merupakan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah gandingan sudah cukup mantap.

"Saya lihat situasi sekarang mereka memang cocok ...  kita kalau banyak sangat pertandingan pun tak perlu juga.

"Tapi kalau tiada pertandingan nanti orang kata tiada demokrasi," katanya kepada pemberita selepas berucap merasmikan Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Graduan (K3G) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

"Presiden pun saya rasa tiada halangan (bertanding)," katanya lagi.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri sebelum ini berpendapat dua jawatan tertinggi parti Melayu itu sewajarnya tidak dipertandingkan pada pemilihan parti tahun ini demi memelihara keutuhan perpaduan di kalangan anggota Umno, parti yang menjadi tonggak Barisan Nasional (BN).

"Ini mengambil kira suasana politik baharu dunia yang semakin sengit berikutan terjahan globalisasi dan ledakan komunikasi dan informasi yang telah turut mengubah landskap politik di setiap kerajaan dan negara di dunia," katanya.

Abdul Rahim yang juga anggota Parlimen Kudat berkata negara yang mengamalkan sistem demokrasi "westminster" yang serupa dengan sistem demokrasi Malaysia seperti Britain dan Australia turut berhadapan dengan suasana sengit sehingga mewujudkan "hung" parlimen.

"Kesimpulannya pertandingan terbuka jawatan utama Umno sudah tentu akan mewujudkan "kem kem" dan berdasarkan pengalaman lampau ia dikhuatiri akan mengheret perbalahan politik dalaman dan permainan politik berterusan yang sudah pasti akan melemahkan parti," katanya.

Abdul Rahim berkata suasana sebegitu harus dielakkan, sebaliknya keutamaan sewajar harus diberi kepada usaha mengukuhkan perpaduan anggota parti untuk membolehkan Umno dan BN mampu menghadapi PR.

Najib juga dilihat bersifat terbuka dengan menyatakan kesediaan menerima cabaran bagi jawatan berkenaan, malah sedia ianya dipertandingkan.

Menurutnya lagi, sebagai sebuah parti demokrasi, beliau bersifat terbuka jika ada yang ingin bertanding jawatan presiden.

“Kita bukan macam parti lain. Kita terima jika ada yang mahu bertanding,” katanya.

Idris bagaimanapun menjelaskan, pertandingan untuk jawatan berkenaan bagaimanapun menerima banyak pendapat.

"Jika tiada pertandingan lebih baik ... Ia ada dua pandangan, satu kata tak perlu, satu lagi kata perlu.

"Kalau nak senang tidak perlu bertanding ... tapi kalau tidak bertanding orang kata tiada demokrasi," jelasnya lagi. - MalaysianInsider

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan