Bomba Tidak Mahu Rosakkan Keadaan Mayat – Polis

Ahad, 9 Jun 2013

PULAU PINANG  - Semua pihak diminta bersikap rasional dan tidak menuduh operasi mencari dan menyelamat mangsa kejadian runtuhan tanjak penyambung Jambatan Kedua Pulau Pinang di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu berhampiran Batu Maung di sini sengaja dilewat-lewatkan.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, dalam usaha menyelamat, anggota keselamatan khususnya bomba berdepan kesukaran untuk mengalihkan bebanan seberat 300 tan yang menghempap sebuah kenderaan dan mengorbankan seorang mangsa setakat ini.
“Kita ambil kira banyak faktor antaranya keselamatan semua pihak yang terlibat. Selain itu, usaha menyelamat tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa kerana boleh mendatangkan masalah lain sekiranya ada mangsa terperangkap dalam runtuhan,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mayat Tajudin Zainal Abidin, 45, yang hanya berjaya dikeluarkan selepas 25 jam terperangkap dalam runtuhan tersebut.
Selain itu, dua pekerja warga asing turut cedera parah manakala seorang rakyat tempatan cedera ringan.
Abdul Rahim berkata, usaha mengeluarkan mangsa mengambil masa yang lama kerana anggota penyelamat tidak mahu merosakkan keadaan mayat yang terperangkap dan menjaga hati ahli keluarga.
Mengulas lanjut mengenai Tajudin yang dikatakan bekas anggota polis yang menamatkan perkhidmatan pada 2006, Abdul Rahim berkata, pihaknya akan mengkaji bentuk bantuan yang boleh disumbangkan kepada keluarga mangsa bagi meringankan beban mereka.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, empat ekor anjing dari unit anjing pengesan (K-9) Kuala Lumpur dibawa ke kawasan runtuhan untuk mengesan sama ada masih terdapat mangsa terperangkap.
Beliau berkata, anjing jenis Labrador itu mempunyai kepakaran untuk mengesan manusia sama ada masih hidup atau meninggal dunia.
Setakat ini, tiada petunjuk baharu ditemui di kawasan runtuhan mengenai kewujudan mangsa.
Menurut Abdul Rahim, polis juga tidak menerima sebarang laporan baharu mengenai kehilangan anggota keluarga daripada orang awam.
“Kita khuatir kemungkinan warga asing terperangkap di dalam dan kehilangan mereka tidak dilaporkan…ada yang kata terdapat motosikal terperangkap di dalam runtuhan itu tetapi sepanjang operasi pembersihan kita tidak menjumpai serpihan kenderaan itu,” katanya.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan