PR gesa mansuh Tol Batu Tiga

Isnin, 12 Disember 2011

Oleh : RISWANDI RAZAK

SHAH ALAM - Pakatan Rakyat (PR) mendesak Kerajaan Pusat agar tidak melanjutkan perjanjian konsesi tol yang melibatkan Plaza tol Batu Tiga dan Sungai Rasau di Lebuhraya Persekutuan yang bakal berakhir tidak lama lagi.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad menggesa dua plaza tol di kawasan terbabit dimansuhkan kerana telah memberi beban kewangan dan masalah kesesakan lalu lintas kepada penduduk sekitar.

Menurutnya, Pakatan Rakyat (PR) pastinya akan menamatkan kontrak konsesi yang kini masih di bawah seliaan Plus Expressway Berhad, sekiranya berjaya memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.
“Semua orang sudah tahu bahawa konsesi sudah hampir tamat, kita desak kerajaan menamatkannya kerana amat jelas ianya memberi kesan negatif kepada penduduk di kawasan ini.

“Kita dapati orang ramai terpaksa merempuh kesesakan lalu lintas hanya untuk membayar tol ini dan bukannya mendapat kebaikan ketika lalui lebuh raya ini,” katanya kepada media, semalam.

Menurutnya, kesesakan yang berlaku di lebuhraya ini adalah tidak munasabah kerana jumlah kenderaan yang melalui plaza tol adalah tinggi.

“Pada mulanya plaza tol ini dibina untuk memberi kelancaran kepada pengguna lebuhraya, namun kini keadaan sebaliknya yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Tiga, Rodziah Ismail menggesa, Kerajaan Pusat mempertimbangkan beban yang terpaksa dipikul oleh warga Shah Alam.

Menurutnya, langkah ini wajar kerana Lebuhraya Persekutuan telah mendapat keuntungan yang berlipat ganda sejak mula beroperasi pada 1974 lagi.

“Penduduk di sekitar Shah Alam dan Klang terpaksa membayar sebanyak RM4.20 untuk berulang alik dari kediaman mereka sekiranya bekerja di ibu kota,” katanya.

Berhubung isu pemberhentian kakitangan yang bakal ditimbulkan kelak, Khalid menegaskan sepatutnya pihak konsesi sudah menyediakan pelan perancangan untuk kakitangan.

“Perkara itu sepatutnya difikirkan lebih awal kerana memandangkan benda ini perjanjian konsesi tidak akan berterusan.

“Mesti ada pakej perancangan untuk kakitangan dan syarikat konsesi mesti melatih kakitangan sebagai persediaan mereka untuk berhenti.

Beliau menambah, satu jawatankuasa akan dibentuk bagi menggerakkan kempen untuk menuntut tol ini ditamatkan secepat mungkin.

Lebuhraya Persekutuan adalah sebuah lebuh raya dalam negara yang menghubungkan bandar raya Kuala Lumpur Petaling Jaya, Shah Alam dan bandar Klang.

Lebuhraya ini pada asalnya adalah lebuh raya 4 lorong kecuali di bahagian Petaling Jaya di mana lebuh raya ini menjadi 6 lorong.

Pada tahun 1992, Plus Expressway Berhad, yang juga pemegang konsesi Lebuhraya Utara Selatan telah menaiktaraf keseluruhan lebuh raya ini kepada enam lorong.

- Sinar Harian

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan