Pilihan raya masjid ditangguh

Sabtu, 18 Jun 2011

Oleh ZABRY MOHAMAD
Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menitahkan pilihan raya masjid di Pulau Pinang ditangguh bagi mengelak institusi agama itu dicemari dengan unsur politik yang boleh memecah belah umat Islam.


  • Proses pilihan raya yang dijadual berlangsung hari ini dibatalkan dengan tempoh pelantikan semua jawatankuasa kariah sedia ada dilanjut sehingga 31 Disember 2012.



  • Yang Dipertua MAIPP, Ellias Zakaria berkata, titah Tuanku Mizan disampaikan kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas ketika mereka menghadap Tuanku Mizan di Istana Negara kira-kira pukul 9 pagi semalam.



  • Kerajaan DAP Pulau Pinang akur dengan keputusan supaya pilihan raya masjid itu ditangguhkan.



  • Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang menyifatkan keputusan itu sebagai tepat bagi memelihara perpaduan dan kesejahteraan umat Islam.



  • PULAU PINANG 17 Jun – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini menitahkan pilihan raya masjid di negeri ini ditangguhkan bagi mengelak institusi agama itu dicemari dengan unsur politik yang boleh memecah belah umat Islam.

    Sehubungan itu, proses pilihan raya yang dijadualkan bermula esok dibatalkan dengan tempoh pelantikan semua jawatankuasa kariah masjid sedia ada yang sepatutnya berakhir pada 31 Disember ini dilanjutkan setahun lagi iaitu hingga 31 Disember 2012.

    Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), Ellias Zakaria (gambar) berkata, titah itu disampaikan kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dan beliau ketika mereka menghadap Tuanku Mizan di Istana Negara kira-kira pukul 9 pagi hari ini.

    Menurut Ellias, dalam pertemuan selama setengah jam itu, Seri Paduka bertitah supaya semua pihak sentiasa memelihara dan melindungi kehormatan serta kesucian institusi masjid dan tidak tercemar dengan unsur-unsur yang boleh mencemar imej Islam dan perpaduan ummah.

    “Sehubungan itu, Seri Paduka memperkenankan proses pemilihan jawatankuasa kariah bagi seluruh masjid di Pulau Pinang ditangguhkan.

    “Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Agama Pulau Pinang mahu kaedah atau tatacara pemilihan jawatan kuasa kariah masjid mestilah bersandarkan atas semangat sukarela, harmoni dan berkasih-sayang,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas di sini sebaik sahaja tiba dari Kuala Lumpur hari ini.

    Sehubungan itu, Ellias menjelaskan, Tuanku Mizan menitahkan MAIPP supaya membentuk satu jawatankuasa bebas yang pelantikan ahlinya mesti mendapat perkenan Seri Paduka bagi merangka kaedah sesuai untuk menjalankan proses pemilihan jawatankuasa kariah masjid pada masa depan.

    “Apa-apa kaedah atau tatacara yang dibentuk oleh jawatankuasa bebas ini nanti perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu,” ujarnya.

    Beliau menambah, disebabkan proses pembentukan jawatankuasa bebas itu akan memakan masa, Tuanku Mizan berkenan supaya tempoh pelantikan semua jawatankuasa kariah masjid sedia ada yang sepatutnya berakhir pada 31 Disember ini dilanjutkan setahun lagi iaitu hingga 31 Disember 2012.
    Utusan Malaysia pada 6 Jun lalu mendedahkan keputusan kerajaan DAP Pulau Pinang untuk mengadakan pilihan raya bagi jawatankuasa masjid mulai tahun ini dan perkembangan itu dilihat bakal menjerumuskan institusi masjid ke kancah politik kepartian.

    Keputusan itu mencetuskan bantahan banyak pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di negeri ini yang menyifatkan ia sebagai agenda untuk melemahkan institusi masjid sebagai wadah perpaduan umat Islam.

    Kontroversi juga timbul memandangkan pelaksanaan proses pemilihan berkenaan didakwa tidak sah kerana tidak mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam di Pulau Pinang.
    Kerajaan negeri bagaimanapun mempertahankan pelaksanaan kaedah pemilihan tersebut dengan alasan ia mengikut Seksyen 104(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang 2004 dan Seksyen 22(4) Enakmen MAIPP.

    0 comments:

    Catat Ulasan

    Related Posts with Thumbnails

    Tops Bulanan

    Tops Keseluruhan