51 laman web digodam

Jumaat, 17 Jun 2011

KUALA LUMPUR: Sebanyak 51 laman web dengan domain gov.my diserang sejak jam 11.30 malam kelmarin sehingga pagi semalam menyebabkan sekurang-kurang 41 daripadanya mengalami gangguan tetapi pada tahap berbeza. Serangan itu dikesan lebih awal daripada ancaman sekumpulan penggodam antarabangsa yang menggelar diri mereka `Anonymous’ untuk menyerang portal kerajaan www.malaysia.gov.my melalui `Operation Malaysia’ pada jam 3.30 pagi semalam

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ketika mengesahkan serangan itu bagaimanapun menjangkakan proses pemulihan laman web terbabit tidak mengambil masa lama dan kebanyakannya sudah pulih.
Suruhanjaya itu berkata, pemeriksaan lanjut mendapati setakat ini tiada kesan ketara ke atas pengguna di Malaysia akibat serangan berkenaan, malah cubaan menggodam laman web SKMM di alamat www.skmm.gov.my juga gagal.

“Hasil pemantauan kami menunjukkan serangan berkurangan mulai jam 4.00 pagi tadi (semalam). Pusat Keselamatan Rangkaian SKMM sudah mengambil tindakan bersepadu sepanjang masa bagi meringankan serangan dan akan terus bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain, pakar keselamatan siber serta penyedia perkhidmatan untuk memantau situasi ini.
“Orang ramai dinasihat melaporkan sebarang maklumat mengenai identiti penggodam ini kerana tindakan mengganggu rangkaian perkhidmatan adalah satu kesalahan serius yang boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya dalam kenyataan akhbar mengenai penggodaman laman web kerajaan Malaysia oleh penggodam tidak dikenali, semalam.

Kelmarin, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengarahkan semua agensi kerajaan bersiap sedia dan mempertingkatkan keselamatan laman web masing-masing bagi tempoh 36 jam berikutnya.

Amaran itu dikeluarkan berikutan ancaman `Anonymous’ mahu menyerang portal kerajaan, www.malaysia.gov.my melalui `Operation Malaysia’ pada jam 3.30 pagi semalam, dengan alasan kerajaan mengenakan tapisan terhadap internet dan menyekat 10 laman perkongsian fail.

`Anonymous’ ditubuhkan pada 2003 dengan moto `We are Anonymous. We are legion. We do not forgive. We do not forget. Expect us’ (Kami tidak bernama. Kami kumpulan besar. Kami tidak memaafkan. Kami tidak akan Lupa).

Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat Bank Negara Malaysia (BNM), Lee Poh Fong ketika dihubungi berkata, laman web BNM tidak menghadapi sebarang masalah penggodaman setakat ini.

“Bagaimanapun, kami sedang mengawasi dan memantau rapi keadaan. BNM juga tiada menerima sebarang aduan daripada mana-mana pihak bank,” katanya.

Pengarah Eksekutif Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia, Chuah Mei Lin, dalam kenyataannya, berkata pihaknya belum mendapat sebarang maklumat daripada ahli persatuan itu mengenai laman web bank mereka digodam atau dicerobohi.

“Kami ingin memaklumkan ahli bank kami memiliki kawalan keselamatan yang kukuh serta bersesuaian bagi mengelakkan cubaan mengubah informasi yang dipaparkan atau menyebabkan kerosakan kepada laman e-perbankan tanpa kebenaran,” katanya.

Selain Malaysia beberapa negara lain turut diserang penggodam termasuk baru-baru ini Turki.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan