Badrul Hisham kekal ADUN

Sabtu, 19 Februari 2011

SHAH ALAM 18 Feb. - Badrul Hisham Abdullah kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang apabila Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonannya untuk mendapatkan deklarasi beliau masih wakil rakyat kawasan itu yang sah.

Hakim Datuk Zaleha Yusof memutuskan demikian di kamar beliau di sini selepas selesai mendengar hujahan kedua-dua pihak berhubung saman pemula Badrul Hisham terhadap Speaker DUN Selangor, Datuk Teng Chang Kim yang mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN itu berkuat kuasa 16 Januari lalu.

Dalam keputusannya, hakim berkenaan turut menolak permohonan Chang Khim untuk mengetepikan saman pemula tersebut dan memerintahkan beliau membayar kos sebanyak RM40,000.

Badrul Hisham yang ditemui pemberita di luar mahkamah melahirkan rasa syukur dan menyifatkan kemenangan beliau untuk penduduk Pelabuhan Klang yang berhak memilih wakil rakyat yang boleh berkhidmat untuk mereka.

Badrul selaku plaintif diwakili peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun dan Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, manakala Speaker DUN negeri tersebut yang dinamakan sebagai defendan diwakili peguam Tommy Thomas.
Firoz Hussein menyatakan dalam hujahan mereka, pihak plaintif menyatakan bahawa Chang Kim telah tersilap apabila mengambil kira tempoh enam bulan bermula dari Julai tahun lalu sedangkan tiada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berlangsung ketika itu.

Menurutnya, Chang Kim seharusnya mengambil kira tempoh enam bulan bermula 8 November tahun lalu, yang merupakan sidang kali pertama yang tidak dihadiri oleh Badrul Hisham.

Badrul Hisham memfailkan permohonan tersebut pada 24 Januari lalu iaitu lima hari selepas Chang Khim mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Pelabuhan Klang pada satu sidang media.

Beliau menamakan Chang Khim defendan pertama dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) defendan kedua.
Chang Khim pula memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pemula itu pada 10 Februari lalu dengan alasan selaku Speaker DUN negeri, beliau memiliki kekebalan di bawah Perkara 72 Perlembagaan Persekutuan daripada sebarang tindakan undang-undang.

Defendan pertama itu mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Pelabuhan Klang berikutan kegagalan Badrul Hisham menghadiri sidang Dewan dalam tempoh enam bulan tanpa alasan munasabah.

Keputusan yang berkuat kuasa pada 16 Januari lalu dibuat mengikut peruntukan Artikel 69 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 setelah wakil rakyat itu tidak menghadiri sidang DUN bermula Julai tahun lalu hingga Januari ini.

Badrul Hisham yang hadir sidang pertama DUN pada 12 hingga 14 April tahun lalu iaitu sepanjang tiga hari ia berlangsung dikatakan tidak hadir selama dua hari pada 13 dan 14 Julai bagi sidang kedua DUN yang bermula pada 12 hingga 15 Julai 2010.

Beliau juga didakwa tidak hadir langsung pada sidang ketiga DUN antara 8 dan 6 November tahun lalu tanpa sebarang alasan munasabah.

Dalam saman itu, Badrul Hisham memohon perintah deklarasi bahawa beliau masih lagi Ahli DUN Pelabuhan Klang dan berhak menyertai segala sidang DUN Selangor serta menjalankan tugas-tugas berkaitan.
Beliau juga memohon deklarasi bahawa tiada kekosongan kerusi DUN Pelabuhan Klang kerana perisytiharan yang dibuat oleh Chang Khim adalah ultra vires (melampau batasan undang-undang), salah, batal dan tidak sah mengikut Artikel LXIX Undang-Undang Tubuh Negeri Kerajaan Selangor 1959.

Deklarasi itu dimohon dengan alasan plaintif telah menghantar sepucuk surat kepada defendan pertama dan diakui diterima pada 10 Disember tahun lalu bahawa beliau tidak dapat hadir pada sidang DUN antara 8 dan 16 November tahun yang sama kerana mendapatkan rawatan tradisional.

Bagaimanapun, dakwa Badrul Hisham, Chang Khim tidak menerima alasan tersebut dan memutuskan bahawa ketidakhadiran beliau adalah tanpa kebenaran melalui surat bertarikh 21 Disember tahun lalu.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan