Terengganu Dijangka Terima Royalti Minyak RM1.6 Bilion Setahun

Ahad, 29 Ogos 2010

KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Terengganu dijangka memperoleh royalti minyak sekitar RM1.6 bilion setahun selepas memeterai perjanjian dengan Petronas pada satu masa yang akan diumumkan kelak. Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata bagaimanapun jumlah tersebut hanya jangkaan sahaja kerana semuanya bergantung kepada harga minyak dunia semasa.

"Kerajaan negeri akan menunggu masa yang sesuai untuk membuat perjanjian dengan Petronas berkaitan pembayaran royalti tersebut dan tiada apa-apa masalah yang timbul dalam perundingan di antara kerajaan negeri dengan Petronas baru-baru ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi tajaan Yayasan Terengganu di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Sabtu.

Dalam rundingan dengan Petronas, kerajaan negeri menuntut supaya dikembalikan royalti kepada Terengganu dan meminta agar perjanjian asal dikekalkan dan diubah sedikit dengan menggugurkan perkataan 'ex-gratia'.

Ahmad berkata hasil royalti daripada Petronas itu akan digunakan untuk pembangunan di Terengganu kelak, seperti pembinaan rumah mampu milik untuk golongan berpendapatan rendah.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri merancang untuk membina 10,000 unit rumah mampu milik kepada rakyat Terengganu yang menelan kos RM1.7 bilion. - BERNAMA

Baca Lagi...

Abdul Taib sedia berundur?

Rabu, 25 Ogos 2010

KUCHING 24 Ogos - Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud masih belum membuat keputusan sama ada akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri yang diwakilinya pada pilihan raya negeri ke-10 akan datang.

Pemimpin berusia 74 tahun itu yang merupakan Ketua Menteri yang paling lama berkhidmat iaitu selama 29 tahun sejak 26 Mac, 1981, berkata, beliau tidak dapat membuat keputusan mengenai perkara itu.

"Saya tidak tahu...terserah kepada parti dan Perdana Menteri," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan biasiswa Amanah Raya Berhad (ARB) kepada tiga pelajar Sarawak yang akan melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar, di sini hari ini.

Pelajar berkenaan ialah Mohammad Zubair Mustafa yang belajar di Sekolah Menengah Agama (SMA) Persekutuan di Labu, Negeri Sembilan, Faliq Asraf Jafri dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tunaz di Kuching dan Nadira Hamapei dari SMKA Miri.

Taib berkata, beliau bersedia untuk berundur jika keadaan memerlukan beliau berbuat demikian.

"Banyak orang kata saya tidak diperlukan. Jika saya tidak diperlukan, saya akan berundur," katanya.

Taib yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sejak 1981 dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak berkata, beliau sebenarnya mahu berundur daripada politik pada 2006 tetapi ramai di kalangan dalam parti menentang hasratnya.

Mengenai bila beliau kemungkinan mengadakan pilihan raya negeri, Ketua Menteri berkata, perkara itu masih belum diputuskan lagi.

Mengenai sentimen pengundi Cina di Sarawak yang masih memilih pembangkang berbanding BN, katanya, trend itu masih membingungkannya sehingga kini.

"Saya juga bertanyakan soalan yang sama, saya mahu tahu," katanya dan menurutnya kerajaan negeri secara ikhlas cuba memenangi hati pengundi Cina tetapi masih gagal berbuat demikian sehingga kini. - BERNAMA
Baca Lagi...

Tindakan biadab segerombolan manusia tidak siuman di Jakarta

Selasa, 24 Ogos 2010

Oleh Kuda Ranggi

Tindakan biadab dan tidak siuman oleh segerombolan warga Indonesia ke atas Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan perbuatan melampau menjijak dan menodai bendera negara, Jalur Gemilang, menurut apa yang dilaporkan dalam wadah-wadah Internet dan media tempatan dalam talian, seperti Utusan Malaysia, sewajarnya dipandang serius.

Wisma Putra seharusnya mengirim nota bantahan kepada pihak Indonesia manakala pihak keselamatan negara itu mesti bertanggungjawab melindungi warga Malaysia di sana yang mungkin akan dijadikan sasaran oleh golongan manusia yang tidak siuman.

Apa nak dikata, tindakan manusia yang lupa bahawa lebih dua juta rakyat mereka menumpang hidup di bumi bertuah bernama Malaysia, yang saban bulan mengirim wang untuk membolehkan keluarga mereka menyambung hidup, yang jelas tidak erti akan perkataan terima kasih dan bersyukur kerana dengan wujudnya Malaysia, maka mereka boleh menyara kehidupan sanak saudara dan keluar daripada kepompong kepapaan. Mereka angkuh, sombong dan iri hati akan kemajuan dan kejayaan Malaysia.


Benar, bukan semua yang mencari nafkah hidup di Malaysia bersikap biadap seperti segerombolan yang wujud di Jakarta, tetapi perbuatan mereka itu bukan sahaja melampaui batas bahkan boleh menjejas pershabatan antara kedua-dua negara. Bayangkan keadaan seterusnya jika ada rakyat Malaysia yang berhimpun di hadapan Wisma Duta Indonesia di Kuala Lumpur, melempar najis dan memijak serta membakar Sang Saka Merah Putih, apa perasaan mereka...


Gerombolan manusia kurang siuman yang mencemar dan memperlekeh negara kita di Jakarta harus ingat dan sedar akan musibah dek perbuatan biadab mereka. Jangan ingat yang mereka sahaja mempunyai perasaan dan semangat juang, jangan ingat yang mereka sudah gagah untuk berperang sedangkan mereka tidak mampu mempertahankan Timur Timor, nampaknya mereka mudah lupa.


Kita bangga dengan sikap rakyat Malaysia yang jauh lebih rasional dan tidak mengambil tindakan bodoh seperti mereka. Inilah sebabnya kita adalah majikan, bukan hamba atau babu yang terpaksa menyeberang lautan luas untuk bekerja di rumah orang, kita bukan buruh kasar atau kuli yang terpaksa berkelana ke negara orang untuk bekerja

Tidak hairanlah mereka begitu mencemburui kita.
Baca Lagi...

Surau Disimbah Cat: Empat Remaja Direman

SEREMBAN: Empat ditahan berhubung kejadian menyimbah surau dengan cat merah di surau baru Taman Pulai Impian, Sikamat, dekat sini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata, empat suspek berusia antara 16 hingga 18 tahun ditangkap dalam tempoh 12 jam selepas kejadian yang tidak bermoral itu di sekitar negeri ini.

Katanya, siasatan awal mendapati bahawa keempat-empat remaja terbabit bermain mercun berhampiran surau pada Ahad dan telah diarahkan berhenti.

Dan sebagai pembalasan, mereka memutuskan menyimbah cat ke surau terbabit.

"Mereka bertindak sebagai membalas dendam," katanya sambil menambah bahawa mereka akan direman selama empat hari untuk mengumpulkan bukti sebelum mereka dituduh di mahkamah kerana mencemarkan tempat ibadah.

Dalam kejadian awal pagi Isnin, jemaah surau berkenaan gempar selepas mendapati surau mereka disimbah cat merah dan dilempar beberapa botol arak.

Surau berkenaan dibuka pada 24 Julai lalu.

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong yang melawat surau itu pada hari Selasa menegaskan bahawa kerajaan memandang insiden itu sebagai sangat serius.

"Insiden seperti ini tidak seharusnya berlaku. Kami tidak akan ragu untuk mengambil tindakan tegas terhadap setiap individu atau kumpulan yang mengancam keamanan negara," tegasnya.

Namun, katanya, insiden itu, dipercayai "tindakan balas dendam" oleh remaja terbabit dan berharap tidak ada pihak akan mengambil kesempatan untuk membangkitkan sentimen perkauman.

"Siasatan sedang dijalankan. Saya berharap masalah ini tidak digembar-gemburkan, " katanya.


Surau disimbah cat, dilempar botol arak

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
pengarang@utusan.com.my

SEREMBAN 23 Ogos - Sekumpulan ahli kariah yang hendak menunaikan solat subuh di Surau Taman Seri Pulai, Temiang dekat sini, hari ini terkejut apabila mendapati bangunan surau itu disimbah cat merah.

Lebih mengejutkan, surau berkenaan yang baru sahaja beroperasi beberapa bulan lalu turut dilempar botol minuman keras oleh individu tidak dikenali.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Zaki Masroh berkata, kejadian itu dipercayai dilakukan antara pukul 1 dan 5 pagi dan ia disedari penduduk kawasan berkenaan yang ingin menunaikan solat subuh.

"Berdasarkan siasatan polis, kita menjumpai kesan cat dipercayai dibaling ke pintu surau berkenaan.

"Malah, pihak polis turut menemui kesan bekas serpihan kaca botol minuman keras di sekitar longkang, namun tiada sebarang kerosakan surau dilaporkan," katanya ditemui di tempat kejadian.

Mohd. Zaki turut memberitahu, berdasarkan siasatan awal pihaknya yakin kejadian itu mungkin dilakukan oleh beberapa orang suspek berdasarkan kepada kesan yang dialami oleh surau berkenaan.

Namun, katanya, sehingga kini pihaknya masih menyiasat motif serangan selain sedang mengenal pasti punca kejadian.

Sehubungan itu, Mohd. Zaki meminta penduduk Islam di kawasan terbabit bertenang dan tidak melakukan sebarang tindakan melulu.

Jelasnya, siasatan secara profesional akan dilakukan oleh pihaknya bagi menjejaki suspek yang terlibat.

"Biar pihak polis jalankan siasatan dan kita minta penduduk tidak bertindak sesuka hati atau mengikut perasaan. Mereka yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil membantu siasatan," katanya.

Baca Lagi...

Hanya Mahkamah Syariah Boleh Putuskan Sama Ada Seseorang Itu Islam Atau Tidak

Isnin, 23 Ogos 2010

PUTRAJAYA: Persoalan sama ada seseorang itu beragama Islam atau tidak, merupakan bidang kuasa tunggal Mahkamah Syariah untuk menentukan, demikian diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Zainun Ali memutuskan bahawa Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan jelas menyebut bahawa perkara yang berkaitan sama ada seseorang itu beragama Islam atau tidak, berada dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Hakim Zainun berkata Mahkamah Syariah mempunyai kuasa untuk mendengar dan membuat pengisytiharan berhubung status seseorang itu sebagai beragama Islam memandangkan ia merupakan mahkamah bidang kuasa kompeten bagi tujuan itu.

"Ini adalah bagi sebab yang nyata dan praktikal. Pihak berkuasa agama bagi sesuatu agama tertentu berkedudukan yang baik untuk menimbang dan memutuskan sama ada seseorang itu menganut dan terus mematuhi ajaran agama berkenaan," kata Hakim Zainun yang bersidang bersama Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Wahab Patail dan Datuk Clement Allan Skinner.

Beliau berkata di negara ini, tanpa mengira bagaimana persoalan itu dirangka, ia termaktub dalam undang-undang semasa bahawa persoalan mengenai sama ada seseorang itu beragama Islam atau tidak, seperti yang diputuskan dalam kes berkenaan, adalah untuk ditentukan oleh Mahkamah Syariah.

Memetik keputusan Mahkamah Agung, Hakim Zainun berkata mahkamah sivil di negara ini tidak mempunyai kelayakan untuk menentukan persoalan sama ada seseorang itu beragama Islam atau tidak.

Panel hakim itu membuat keputusan berkenaan ketika menolak rayuan oleh S.Kaliammal, balu pendaki Everest negara Sarjan M. Moorthy, yang penukaran agamanya kepada Islam telah menimbulkan pertikaian.Mahkamah kemudian mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Dis 2005, yang enggan menentukan status agama suami beliau atas alasan perkara bersifat sedemikian terletak dalam bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah.

Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, Kaliammal kemudiannya mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

Beliau memfailkan saman pemula pada 21 Dis 2005 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dengan menamakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Pengarah Hospital Kuala Lumpur dan kerajaan selaku responden, antara lain, memohon pengisytiharan bahawa Moorthy seorang penganut agama Hindu.

Pada hari berikutnya, Majlis Hal Ehwal Agama Islam Kuala Lumpur memperoleh perintah ex-parte daripada Mahkamah Syariah yang menyatakan bahawa Moorthy telah pun memeluk agama Islam sebelum beliau meninggal dunia.

Perintah itu turut membenarkan majlis berkenaan mengebumikan Moorthy, atau nama Islamnya Mohamad Abdullah, menurut upacara pengebumian Islam.

Beliau dikebumikan pada 28 Dis 2005 di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibukota di Gombak, Selangor. Moorthy menjadi lumpuh dari pinggang ke bawah selepas terjatuh semasa dalam latihan di Kem Sungai Udang di Melaka pada 14 Ogos, 1998 dan terpaksa menggunakan kerusi roda.

Bekas komando tentera itu kemudiannya koma setelah terjatuh dari kerusi roda dan meninggal dunia di unit rawatan rapi Hospital Kuala Lumpur pada 20 Dis 2005.

Dalam penghakiman 14 muka surat itu, Hakim Zainun berkata perayu (Kaliammal)tidak dihalang daripada memohon kepada Mahkamah Syariah untuk cuba mengetepikan perintah ex-parte itu, bagi Mahkamah Syariah membuat keputusan yang adil dan saksama menurut agama Islam serta undang-undang Islam.

Beliau berkata dalam sistem dwikehakiman, seringkali akan timbul perkara yang dilihat sebagai percanggahan pendapat antara kedua-dua sistem itu.

Mahkamah sivil cuba untuk menyelesaikan percanggahan itu di mana yang boleh, dengan melaksanakan interpretasi supaya tidak timbul sebarang konflik atau untuk memastikan bahawa aduan dikemukakan kepada mahkamah terlebih dahulu sebelum mahkamah bidang kuasa kompeten menimbangkan keputusannya, katanya.

Hakim Zainun berkata adalah tidak wajar untuk menolak mahkamah bidang kuasa kompeten dan sebaliknya pergi ke mahkamah sivil.

Jika percanggahan itu terbukti tidak dapat diselesaikan, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, terpulanglah kepada badan perundangan untuk menyediakan remedi, katanya.

Ketika ditanya mengenai keputusan itu, Kaliammal, 35, yang hadir di mahkamah bersama anak perempuan tunggalnya, M.Theneswary, 13, berkata beliau kecewa dengan keputusan itu.

Peguamnya M.Manoharan berkata beliau akan memfailkan kebenaran untuk merayu berhubung keputusan hari ini di Mahkamah Persekutuan.

Beliau berkata mahkamah perlu memberinya peluang untuk mendengar merit kes itu memandangkan Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan Kaliammal untuk mendapatkan semakan kehakiman tanpa mendengar merit kes. -BERNAMA
Baca Lagi...

Dinar: Tiada masalah jika rakyat Kelantan setuju

Ahad, 22 Ogos 2010

Oleh Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 22 Ogos:
Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah berpendapat, tiada masalah jika kerajaan Kelatan mahu menggunakan dinar emas dan dirham perak sesama rakyat negeri itu.

Menurutnya selagi rakyat negeri itu bersetuju menggunakan dinar dan dirham sebagai alat pertukaran, maka tidak timbul sebarang masalah.

"Undang-undang kata Bank Negara sahaja yang dibenarkan kerajaan persekutuan, keluarkan wang sebagai mata wang.

"Kalau nak ganti itu memang salah, tetapi kalau nak guna sesama dia tidak salah saya rasa," katanya


Beliau berkata demikian pada sidang media di satu majlis berbuka puasa di Kuala Lumpur hari ini.

Tambah beliau lagi, kejayaan penggunaan dinar dan dirham bergantung kepada keyakinan masyarakat terhadap wang berkenaan.

Berucap sebelum itu, beliau juga berkata, kerajaan Kelantan bagaimanapun mesti memberi penerangan secara meluas agar rakyat negeri itu itu keliru dengan nilai dinar dan dirham tersebut.

"Tapi nak guna dirham untuk seluruh negara tak bolehlah. Kerajaan Kelantan tak ada kuasa di bawah undang-undang.

Katanya lagi, kerajaan negeri juga tidak boleh dipersalahkan sekiranya masyarakat tidak mahu menggunakan dinar dan dirham tersebut.

Turut berucap di majlis anjuran Persatuan Anak Darul Naim Selangor dan Wilayah Persekutuan (PERSADA) itu ialah exco kanan kerajaan negeri Kelantan Datuk Husam Musa.

Husam berkata, dinar adalah bersifat pelengkap kepada ringgit dan kedua-duanya boleh digunakan.

Alasan tidak munasabah

Beliau turut membidas pihak yang yang mendakwa mengguna dinar akan merugikan kerana mudah dipalsukan dengan menganggap alasan tersebut tidak munasabah.

"Ringgit pun boleh dipalsukan, tapi bank negara boleh membezakan yang tulen dan palsu.

"Dinar pun ada alat yang boleh bezakan yang tulen atau palsu.

Selain itu dinar jelasnya lebih stabil kerana ianya aset yang sentiasa berkembang dan harganya meningkat mengikut masa berbanding mata wang dunia.

"Kalau judi bola boleh dihalalkan, tapi hairan kenapa tak boleh iktiraf dinar dan dirham," katanya.
Baca Lagi...

Nik Aziz minta Karpal fahami hudud

KOTA BHARU 21 Ogos - Pengerusi DAP, Karpal Singh dinasihatkan supaya berdepan dengan orang Pas terlebih dahulu untuk memahami hukum hudud sebelum menolaknya mentah-mentah.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Pas mempunyai ramai pemimpin dan ahli daripada golongan cendekiawan termasuk pensyarah universiti untuk memberi penerangan mengenai hukum tersebut kepada Karpal.

Tegas beliau, Karpal adalah satu-satunya pemimpin dalam DAP yang menolak hukum hudud kerana beliau tidak pernah berdepan dengan orang Pas dan membincangkannya.

"Kita mahu tahu kenapa dia tolak hudud. Hudud itu menganiaya orang ke? Dia tak pernah berdepan dengan orang Pas, cuma dia duduk Pulau Pinang, kita di sini.

"Cuma DAP di Kuala Lumpur yang berdepan dengan orang-orang alim dalam Pas seperti pensyarah universiti," katanya ketika ditemui di kediamannya di sini petang ini.

Karpal hari ini dilaporkan tidak bersetuju bahawa cara terbaik menangani masalah jenayah dan sosial adalah meminda undang-undang sivil dan digantikan dengan undang-undang hudud.

Menurut Karpal, Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan bahawa hanya Kanun Keseksaan dan undang-undang sivil lain yang boleh digunakan, justeru tidak ada ruang untuk undang-undang hudud.

Kelmarin, Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, negara ini wajar kembali kepada undang-undang hudud kerana undang-undang sivil sekarang gagal mengawal jenayah dan penyakit sosial.

Namun katanya, keutamaan mestilah menerapkan taqwa atau pendidikan agama terlebih dulu di kalangan rakyat.

Baca Lagi...

Related Posts with Thumbnails

Catatan Popular