Kickdefella Obsesif Mahu Jatuhkan Saya - Nik Aziz

Jumaat, 23 April 2010

KOTA BARU: Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menganggap penulis blog Kickdefella seorang yang obsesif sehingga sanggup menyerang dan mengkritiknya mencapai tahap serangan peribadi.

Menurut Mursyidul Am PAS itu, apa yang dilakukan penulis terbabit iaitu Syed Azidi Syed Abdul Aziz dengan melemparkan pelbagai dakwaan dan tuduhan karut terbabit, ia adalah bertentangan dengan ajaran Islam.

"Itu hal dia, dia macam dah mabuk dan bercakap mengarut. Lebih suka buat serangan peribadi. Dia bukan wartawan tapi bloger yang tak masuk akal," katanya kepada pemberita di Pulau Melaka di sini.

Beliau mengulas kritikan-kritikan dalam blog berkenaan yang dilihat sebagai usaha untuk menjatuhkannya sebagai menteri besar dengan pelbagai dakwaan kononnya pentadbiran kerajaan negeri kucar-kacir di bawah terajunya.

Pada 8 April lalu, Ketua Pergerakan Pemuda Umno negeri, Anuar Sapian menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat beberapa isu yang melibatkan menteri besar berkenaan seperti yang didedahkan blog terbabit. Anuar juga mahu SPRM mendedahkan status siasatan terhadap menantu Nik Abdul Aziz iaitu Abdul Ariffahmi Ab. Rahman berkaitan tuduhan penyelewengan di dalam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Syed Azidi pernah berkhidmat sebagai Pegawai Perhubungan Korporat PMBK sebelum kontraknya ditamatkan oleh Abdul Ariffahmi.
Baca Lagi...

Kembalikan Kerusi Hulu Selangor Kepada Umno

Sabtu, 3 April 2010

SHAH ALAM: Bekas Timbalan Ketua Umno Bahagian Hulu Selangor, Datuk Ramli Abd Rahman meminta supaya kerusi Parlimen Hulu Selangor dikembalikan ke pangkuan Umno selepas hampir 51 tahun 'diserahkan' kepada MCA dan MIC.

Beliau berkata permintaan ahli-ahli Umno di kawasan berkenaan sepatutnya diterima pucuk pimpinan setelah hampir 10 penggal mereka bersabar dan beralah dalam isu itu.

"Pada pendapat saya, setelah lebih 50 tahun kerusi Parlimen Hulu Selangor terlepas dari tangan Umno, eloklah dikembalikan semula kerusi itu kepada Umno, tidak ada salahnya pun jika Barisan Nasional (BN) mengikut suara rakyat dan Umno meminta balik kerusi yang telah dipinjamkannya itu. Ini soal hak dan rintihan rakyat Hulu Selangor yang mahukan Umno kembali berkuasa di kawasan itu.

"Calon MIC sudah bertanding di Hulu Selangor selama enam penggal sejak 1986 dan tibalah masanya Umno meletakkan calonnya di pilihan raya kecil kawasan itu 25 April ini," katanya kepada pemberita di kediamannya di sini.

Pilihan raya kecil Hulu Selangor diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada PKR, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad akibat barah otak pada 25 Mac lepas.

Sebelum ini, Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu mencadangkan supaya timbalannya Datuk G.Palanivel mewakili BN untuk bertanding bagi kerusi parlimen Hulu Selangor.

Palanivel merupakan Anggota Parlimen kawasan itu selama empat penggal sejak 1990 sebelum kalah pada 2008.

Kerusi parlimen Hulu Selangor dimenangi calon wanita dari Umno, Halimathon Saadiah pada pilihan raya umum 1955, pilihan raya persekutuan yang pertama sebelum negara mencapai kemerdekaan dua tahun kemudian, dan 'diserahkan' kepada MCA pada pilihan raya umum 1959 sehingga 1982 dan seterusnya 'diserahkan' kepada MIC pada 1986 sehingga kini.

Ramli yang juga bekas exco Selangor dan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kalumpang, turut mencadangkan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhamad Taib sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil itu. - BERNAMA


Baca Lagi...

Palanivel Serah Nasib Kepada Perdana Menteri

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

HULU SELANGOR: Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel menyerahkan 'nasibnya' sama ada akan dipilih ataupun tidak sebagai calon pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Bagaimanapun bekas wakil rakyat selama dua penggal bagi kawasan berkenaan berkata, beliau adalah calon tunggal yang dicadangkan MIC kepada pucuk pimpinan BN.

"Presiden parti dah calonkan nama saya sebagai calon... hanya nama saya.

"Mengikut prinsip amalan BN, presiden parti buat keputusan untuk calon sesiapa, kemudian Pengerusi BN akan buat keputusannya," katanya ketika ditemui di perkarangan masjid As-Sajirin, Kampung Sentosa, Batang Kali di sini semalam.

Majlis bersama rakyat itu dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Parlimen Hulu Selangor kosong selepas kematian penyandangnya dari PKR, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, Khamis lalu.

Palanivel kalah kepada Zainal Abidin dalam pilihan raya umum lepas dengan hanya majoriti tipis iaitu 198 undi.

Zainal Abidin mendapat 23,177 manakala Palanivel hanya 22,979 undi.

Ditanya sama ada beliau akan memberi kerjasama kepada BN sekiranya tidak dipilih sebagai calon, beliau berkata: "Di bawah konsep BNbiasanya pengerusi akan buat keputusan mengikut cadangan presiden parti."

Selain itu katanya, rekod bersihnya selama ini boleh diambil kira dalam membuat pertimbangan memilih calon bertanding dalam pilihan raya kecil itu nanti.

"Kecualilah saya dituduh ada kesalahan jenayah, amalkan rasuah ataupun terlibat dalam merebut tanah di kawasan ini, saya tak buat semua itu.

"Kalau saya buat barulah saya jadi satu masalah (kepada parti)," katanya.

Diminta mengulas mengenai permintaan Umno untuk bertanding semula di kerusi berkenaan, Palanivel berkata: "Ini sebenarnya kerusi MIC dan memang selalu ditandingi oleh wakil MIC.

“Memang akan ada permintaan ketika pilihan raya, tapi kita harus ingat ini ialah pilihan raya kecil... sepatutnya tidak ada gangguan kerana ini adalah kawasan pengundi campuran.”

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Noh Omar berkata semua pihak harus bersatu dan menerima dengan terbuka siapa sahaja yang bakal dipilih sebagai calon BN nanti.

"Dalam kita 'berperang' ini, kita kena bersatu... kita mesti dengar kepada satu arahan.

"Apa juga yang diputuskan kita perlu akur kerana yang berjuang ialah parti BN secara keseluruhannya, bukan parti secara individu," katanya.

Selain itu Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, sehingga kinijentera BN sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil itu nanti.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan 17 April sebagai hari penamaan calon bagi pilihanraya kecil parlimen Hulu Selangor dan 25 April sebagai hari pengundian.

Pada pilihan raya umum 2008, BN telah memenangi kesemua tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Hulu Selangor iaitu Kuala Kubu Bharu (MCA), Batang Kali (Umno) dan Hulu Bernam (Umno).

Parlimen Hulu Selangor mempunyai 63,539 pengundi dengan 53.9 peratus Melayu; China (26.7 peratus), India (19 peratus) selain kira-kira 1,000 pengundi Orang Asli.


Baca Lagi...

MEB Penuhi Konsep 1Malaysia - Dr Mahathir

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Model Ekonomi Baru (MEB) yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada Selasa lepas memenuhi konsep 1Malaysia kerana ia meliputi semua kaum.

Bekas Perdana Menteri itu berkata pengenalan MEB itu menunjukkan Najib memahami keperluan semua kaum di negara ini termasuk orang Melayu.

"Saya rasa beliau faham keperluan menangani semua komuniti dan tidak melupakan komuniti beliau sendiri," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku dan pameran lukisan 'Painted-Axioms of Life Experiences' karya Naib Canselor Kolej Universiti Antarabangsa Kejururawatan Prof Datuk Dr Hashim Yaacob di Subang Jaya dekat sini, semalam.

Turut hadir pada majlis itu ialah isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

MEB dilaksanakan untuk melonjakkan ekonomi negara menjadi negara maju menjelang 2020 dan seterusnya meningkatkan pendapatan rakyat secara keseluruhan.

Apabila ditanya mengenai pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor yang akan diadakan pada 25 April depan, Dr Mahathir menyatakan kekhuatirannya berhubung pemilihan calon Barisan Nasional (BN) bagi menawan kembali kerusi itu.

Oleh itu, beliau berharap BN meletakkan calon yang sesuai dan boleh diterima oleh penduduk kawasan itu.

"Saya fikir memang penting parti kerajaan mencapai kemenangan tetapi kalau letak calon yang tidak boleh diterima penduduk tempatan, saya khuatir (calon)akan ditolak," katanya.

Mengenai genap setahun pimpinan Najib sebagai Perdana Menteri, Dr Mahathir berkata tempoh setahun tidak cukup untuk menilai kepimpinan dan perubahan yang dibawa oleh Najib.

"Satu tahun belum cukup untuk membuat penilaian. Satu tahun ialah untuk mempelajari kerja," katanya.

Dr Mahathir berkata dasar dan perancangan baru yang dikemukakan oleh Najib hanya dapat dinilai apabila ia berjaya dilaksanakan dan membuahkan hasil. - BERNAMA


Baca Lagi...

Anwar: BN 'curi' idea agenda ekonomi Pakatan

Khamis, 1 April 2010

Oleh Salhan K Ahmad

Pakatan Rakyat mempertikaikan tindakan kerajaan mengumumkan Model Ekonomi Baru (MEB) semalam, yang didakwa 'dicedok' daripada kandungan Agenda Ekonomi Malaysia (AEM) Pakatan.

Ia juga didakwa diumumkan dengan membelakangkan kepentingan parlimen, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


"Pakatan rakyat mengemukakan agenda ekonomi Malaysia dan melihat bahawa banyak pandangan yang kita kemukakan dicedok dalam NEM, hinggakan ayat-ayat dan frasa pun ada persamaan," katanya.

Antaranya ialah keperluan untuk mencapai pendapatan tinggi, pembinaan ekonomi yang utuh secara berterusan dan menjamin kesaksamaan, dan juga tumpuan untuk memberi bantuan kepada rakyat tanpa mengira kaum.

"Model Ekonomi Baru yang Datuk Seri Najib umumkan hampir sama," katanya lagi.

Je
lasnya, Pakatan tidak mempertikai frasa atau ayat yang digunakan dalam laporan berkenaan.

"Tapi persoalannya ialah bahawa persamaan kenyataan itu hanya pada kenyataan, tidak pada program yang konkrit, tidak ada perubahan besar dasar.

"Tidak ada komitmen untuk mengubah fasiliti awam, tidak disentuh usaha membanteras rasuah yang menyebabkan kehilangan puluhan juta ringgit, iaitu musuh ekonomi negara," katanya.

Lim Kit Siang pula berkata pengumuman berkenaan menunjukkan perdana menteri tidak menghormati institusi parlimen.

"Saya fikir perdana menteri tidak menunjukkan hormat kepada parlimen," katanya

Tambahnya, kerajaan juga perlu mendapatkan pandangan wakil rakyat melalui penubuhan jawatankuasa khas pilihan parlimen untuk meneliti dasar berkenaan, sebelum ianya diumumkan kepada rakyat.


"(Untuk) menunjukkan kerajaan serius dengan kedudukan parlimen dan pengasingan kuasa, (perdana menteri) perlu bersetuju dengan penubuhan jawatankuasa pilihan khas tentang NEM, untuk dapatkan maklumbalas rakyat dan rundingan," katanya.

Pandangan ini dipersetujui presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berpendirian bahawa tindakan tersebut bercanggah dengan slogan "rakyat didahulukan" yang dicanang oleh kerajaan.

"Ini bercanggah dengan slogan rakyat diutamakan. Kami adalah wakil rakyat dan ini sangat berkait dengan kepentingan rakyat," katanya.
Baca Lagi...

Pembelian Kapal Selam: Tiada Komisyen Dibayar, Kata Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa kerajaan tidak ada dan tidak pernah membayar sebarang bentuk komisyen untuk perolehan kapal selam negara.

Beliau berkata sebaliknya ia diperoleh menerusi perundingan terus dengan syarikat pembuat kapal selam itu di Sepanyol dan Perancis.

Ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Dewan Rakyat di sini hari ini, beliau berkata tuduhan pembangkang kononnya komisyen dibayar berhubung pembelian kapal selam itu adalah satu tuduhan liar dan tidak benar.

Ahmad Zahid berkata demikian sebagai menjawab dakwaan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh), berhubung perkara itu.Malaysia menempah dua kapal selam baru jenis Scorpene dengan kos pembelian berjumlah RM3.4 bilion pada 2002 yang dibina secara bersama oleh DCNS dari Perancis dan Navantia, syarikat pembuat kapal selam dari Sepanyol.

Kapal selam Malaysia pertama, KD Tunku Abdul Rahman (KD TAR), tiba di perairan Malaysia pada awal September tahun lepas dari Perancis, sementara kapal selam kedua negara, KD Tun Razak dijangka tiba di pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TUDM) di Teluk Sepanggar, Sabah pada pertengahan tahun ini.

Mengenai pertemuan beliau dengan Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak pada Jun lepas, Ahmad Zahid menjelaskan bahawa beliau telah mengambil kesempatan dalam pertemuan itu untuk menjelaskan kepada Barak mengenai pendirian Malaysia yang tidak menyokong sama sekali tindakan kekejaman Israel di Palestin.

Katanya pertemuan selama 20 minit pada majlis koktail sempena Pertunjukan Udara Paris di Perancis itu diadakan atas permintaan Menteri Pertahanan Israel itu sendiri.

"Hasrat Menteri Pertahanan Israel untuk bertemu saya disuarakan pegawai pengiringnya kepada penasihat pertahanan saya. Saya memang mengaku bertemu dengannya tetapi bukan saya yang pergi berjumpa dia, sebaliknya dia yang datang ke majlis itu," katanya.

Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) dan Mohd Yusmadi Mohd Yusoff (PKR-Balik Pulau) bangun mencelah untuk mengucapkan tahniah dan memuji tindakan Ahmad Zahid itu yang dianggap mereka sangat membanggakan. - BERNAMA


Baca Lagi...

Related Posts with Thumbnails

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan