Majlis kahwin penulis blog Aduka Taruna berjalan lancar

Ahad, 31 Januari 2010

SEREMBAN 30 Jan. – Majlis perkahwinan penulis blog adukataruna.blogpsot.com.my yang baru dibebaskan dengan ikat jamin selepas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam, berjalan lancar dan meriah di kediamannya di Rumah Rakyat Panchor, Paroi, dekat sini, hari ini.

Khairulnizam Abd. Ghani, 29, dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menghina institusi kesultanan Johor.

Tinjauan Mingguan Malaysia di rumah Khairulnizam mendapati majlis perkahwinannya itu berlangsung dengan penuh ceria tanpa sebarang gangguan serta dikunjungi oleh saudara mara serta sahabat handai.

Seorang ahli keluarga yang enggan dikenali berkata, majlis itu bermula dari pukul 11.30 hingga 6 petang hari ini.

“Majlis hari ini berjalan lancar dan ceria tanpa sebarang gangguan, ramai sanak saudara, jiran dan sahabat yang datang untuk meraikan kedua-dua pengantin.

“Tetapi kita tak mahu komen apa-apa lagi kerana ia akan mengganggu emosi keluarga kami termasuk ibu bapa. Apa pun kami bersyukur setelah dia dibenarkan diikat jamin kira-kira pukul 7.00 petang semalam,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya lagi, kedua-dua pengantin serta ibu bapa mereka enggan bertemu wartawan dan enggan mengulas sebarang kenyataan kerana sebuah akhbar perdana negara telah membuat laporan yang tidak tepat mengenai Khairulnizam.

“Kita bukan apa, sebab sebelum ini sebuah akhbar perdana buat laporan yang tidak tepat dan mungkin abang (Khairulnizam) akan ambil tindakan.

“Contohnya, akhbar itu ada mengatakan yang abang menyembunyikan diri padahal itu tidak benar sama sekali,” ujarnya.


Baca Lagi...

Saya ingin beri keterangan di mahkamah - Saiful

KUALA LUMPUR 30 Jan. - Pengadu kes liwat membabitkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd. Saiful Bukhari Azlan hanya berharap beliau dapat memberikan keterangan di mahkamah bagi menyelesaikan kes itu yang telah tertangguh beberapa kali.

Menurutnya, sejak hari pertama Anwar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos 2008, kira-kira 20 kali perbicaraan ditangguhkan kerana pelbagai permohonan yang dibuatnya.

"Selama ini, hanya 'satu' sahaja permintaan saya iaitu untuk memberi keterangan di mahkamah. Namun, setelah sekian lama saya menanti dengan sabar, beliau masih berusaha sedaya upaya untuk menafikan 'hak' saya,'' katanya dalam blog beliau, http://mohdsaifulbukhari.blogspot.com.

Mengulas laporan akhbar hari ini mengenai 'Rayuan terakhir Anwar gagal' beliau bagaimanapun berkata, semua pihak akan menunggu keputusan Hakim Mahkamah Tinggi pada 2 Februari ini sama ada permohonan penangguhan Anwar diterima atau sebaliknya.

"Akan terus berdoa, istiqamah dan bersabar, kepada Allah saya berserah," katanya.

Menurut laporan akhbar, Anwar sekali lagi gagal dalam rayuannya supaya dibekalkan semua dokumen penting pendakwaan termasuk spesimen asid deoksiribonukleik (DNA) Mohd. Saiful Bukhari untuk menyediakan pembelaan kes liwatnya.

Usahanya itu menemui jalan buntu setelah Mahkamah Persekutuan semalam membuat keputusan muktamad menolak rayuan terakhir Ketua Pembangkang itu.

Bagaimanapun, Anwar masih mempunyai satu lagi peluang mendapatkan dokumen-dokumen tersebut menggunakan Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 melalui permohonan semakan yang akan difailkan pada Selasa ini.

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria ketika menolak rayuannya berpendapat, Anwar tidak layak dibekalkan dokumen-dokumen tersebut kerana perbicaraan belum dimulakan.

Anwar merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pendakwa raya dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengarahkannya membekalkan dokumen penting itu.

Bagaimanapun, perbicaraan kes liwat itu yang sepatutnya didengar Selasa depan di Mahkamah Tinggi masih tidak dapat dimulakan setelah Anwar mengemukakan penangguhan saat akhir, kelmarin.

Beliau memohon penangguhan atas alasan rayuan berhubung penolakan terhadap permohonannya untuk membatalkan tuduhan liwat masih belum didengar di Mahkamah Rayuan.

Pada 6 November tahun lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan turut menolak rayuan balas Anwar supaya dibekalkan spesimen DNA yang telah diuji milik Mohd. Saiful Bukhari, 25, yang juga pengadu kes.

Pemimpin pembangkang itu menghadapi tuduhan meliwat mangsa di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di ibu negara di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.


Baca Lagi...

Cabar Rais bawa ke mahkamah

KOTA BHARU 30 Jan. – Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mempersoalkan kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang meminta kerajaan Pas Kelantan membawa isu tuntutan royalti minyak ke mahkamah.

Beliau yang juga bekas Pengerusi Petronas berkata, apa yang dinyatakan pada ceramah di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV malam kelmarin adalah berdasarkan Akta Petroleum 1974 yang jelas memberikan hak tersebut kepada kerajaan Kelantan.

“Kalau dia (Rais) fikir begitu elok dia bawa ke mahkamah, saya tidak ada kuasa juga. Dia (Rais) tahu sejarah, saya tak tahu sejarah

“Saya bercakap apa yang diperuntukkan akta dan oleh perjanjian yang dibuat oleh Petronas dan kerajaan negeri dengan restu kerajaan Pusat diketika itu, ini yang dipakai sampai sekarang.

“Jadi kalau hendak selesai segala-gala di mahkamah maka tidak usah pakai apa-apa (undang-undang atau perjanjian), bawa ke mahkamah sajalah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Rais bahawa isu tuntutan petroleum oleh kerajaan akan hanya dapat diselesaikan di mahkamah dan bukannya melalui ceramah di stadium.

Dalam pada itu, ketika mengulas mengenai persetujuan untuk mengetuai kaukus petroleum yang dicadangkan pakatan pembangkang, Tengku Razaleigh yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, tidak ada apa yang perlu dibimbangkan kerana jawatankuasa tersebut akan turut disertai oleh ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).

“Saya tidak menetapkan sebarang syarat. Saya cadang hendak terima jawatan itu tetapi belum buat keputusan lagi kerana saya kena bercakap dengan ahli-ahli Parlimen terutama dari negeri-negeri yang mengeluarkan minyak supaya ada perwakilan dari mereka, barang kali dua orang dari satu negeri.

“Kebanyakan negeri ini diwakili oleh ahli Parlimen BN tetapi kita tidak kira sangat kecuali Kelantan yang tidak dalam kalangan BN.

“Kalau dikira bilangan majoritinya adalah dari BN jadi tidak ada apa nak ditakut bukan hendak buat keputusan, ini bukan kerajaan tetapi kita nak bincang saja,” katanya.

Menurut beliau, kaukus tersebut tidak akan menjadi kenyataan sekiranya tidak mendapat persetujuan daripada ahli-ahli Parlimen dari BN dan pembangkang.

Jelasnya, ia bukan sahaja membincangkan mengenai royalti tetapi juga kedudukan ekonomi negeri-negeri di seluruh negara.


Baca Lagi...

Kenyataan Ku Li bertentangan 10 tahun lalu

RODELIO JUNJUN TAUCAN

BACHOK 30 Jan. – Kenyataan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bahawa Kelantan berhak untuk mendapat royalti minyak sebanyak lima peratus daripada Kerajaan Pusat adalah bertentangan dengan pendirian beliau lebih 10 tahun lalu.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, pada masa itu, Tengku Razaleigh adalah pemimpin yang paling lantang menafikan hak Terengganu ketika pemimpin Pas di negeri itu mengemukakan tuntutan sama.

Dengan merujuk pada laporan beberapa akhbar pada tahun 2000, Awang Adek berkata, Tengku Razaleigh yang merupakan bekas Pengerusi Petronas tahu setiap perjanjian berhubung pengeluaran minyak dan gas di perairan negara ini, kerajaan negeri memang tidak mempunyai hak.

“Waktu itu katanya kerajaan Terengganu memang tidak ada hak untuk mendapatkan royalti. Memang dalam perjanjian Petronas beliau tahu minyak yang dijumpai di luar 5.5 kilometer (tiga batu nautika) dari perairan bukan hak kerajaan negeri.

“Jadi sebagai seorang negarawan, kenapa Terengganu tidak boleh tetapi Kelantan boleh. Kalau beliau kata mempunyai hak bersuara, saya juga berhak dan pendekatan saya adalah memperingatkan kembali apa yang telah dikatakan oleh beliau sebelum ini,” katanya kepada pemberita di Tangok, Bachok di sini hari ini.

Awang Adek turut membawa rujukan berupa salinan laporan muka depan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 1 November 2000 bertajuk, Minyak: Penjelasan Ku Li.

Dalam laporan itu, Tengku Razaleigh yang merupakan bekas Menteri Kewangan berkata, kerajaan Pas Terengganu tidak boleh mempertikaikan kedudukan wang ihsan kerana wang yang disalurkan selama ini walaupun atas nama royalti minyak, bukanlah hak negeri itu.

Beliau yang menerajui syarikat minyak nasional itu semasa perjanjian dengan kerajaan Terengganu dimeterai pada 1975 dilaporkan berkata, semasa Petronas ditubuhkan telah dinyatakan bahawa tiada sebuah negeri pun di Semenanjung berhak ke atas hasil minyak yang dijumpai di kawasan yang berada di luar ‘wilayah’ mereka.

Selain Utusan Malaysia, laporan berkenaan turut disiarkan pada tarikh yang sama di muka depan akhbar Berita Harian bertajuk Royalti: Ku Li buka mulut dan akhbar New Straits Times bertajuk Terengganu not entitled to oil royalty, says Razaleigh.

Kelmarin, ketika berucap pada Majlis Solat Hajat dan Ceramah Perdana Royalti Petroleum di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, Tengku Razaleigh berkata, kehadirannya pada malam tersebut adalah berdasarkan prinsipnya yang mahu menegakkan keadilan dan memperjuangkan nasib rakyat Kelantan yang ditindas selama ini.

Jelasnya, sebagai individu yang terlibat dengan penubuhan Petronas dan berdasarkan Akta Kemajuan Petroleum, beliau tahu kerajaan negeri mempunyai hak menerima royalti sebanyak lima peratus walaupun pada kawasan yang bertindih dengan Thailand.

Sehubungan itu, Awang Adek berkata, pendirian Tengku Razaleigh sepatutnya tidak berubah terutama sekali beliau adalah pemimpin kerajaan yang dihormati dan disegani.

Pendedahan itu katanya, bukan bertujuan mahu menyerang atau membidas pemimpin itu sebaliknya menjelaskan perkara sebenar kepada rakyat negeri ini.

“Saya orang baru dan beliau pemimpin lama cuma saya nak jelaskan apa yang dulu dan sekarang sudah tidak sama. Ini (laporan akhbar) bukan satu akhbar saja yang siarkan tetapi banyak lagi,” tambah Awang Adek. - Utusan


Baca Lagi...

Pilihan raya Sudan: 10 calon bertanding jawatan presiden

KHARTOUM 31 Jan. - Suruhanjaya pilihan raya hari ini meluluskan sembilan calon untuk menentang Presiden Omar Al-Beshir pada pilihan raya Sudan 11 April depan selepas menolak tiga lagi calon harapan.

Pengundian memilih presiden diadakan serentak dengan pilihan raya Parlimen dan menyaksikan pembuangan undi pertama melibatkan saingan pelbagai parti bagi negara Afrika yang bermasalah itu, sejak tahun 1986.

“Kami telah mengumumkan senarai calon-calon utama untuk pemilihan presiden. Kami telah menerima 13 permohonan dan hanya 10 dari mereka yang diterima,” kata Suruhanjaya pilihan raya Al-Hadi Mohammed Ahmed kepada pemberita.

Calon yang disenaraikan termasuklah mantan Perdana Menteri dan pemimpin Parti Islam Umma, Sadiq Al-Mahdi yang digulingkan dalam rampasan kuasa tentera yang diketuai oleh Omar Al-Beshir pada tahun 1989 dan Yasser Arman, bekas pemberontak Gerakan Pembebasan Rakyat di selatan Sudan.

Sementara calon-calon yang ditolak termasuklah calon pertama wanita untuk merebut kerusi presiden, Fatima Ahmed Abdulmahmud - ada seminggu lagi untuk beliau mempertikaikan keputusan suruhan jaya pilihan raya.

“Saya akan mengemukan rayuan,” kata Fatima kepada AFP. - AFP


Baca Lagi...

Kerajaan Tidak Cadang Tubuh Suruhanjaya Agama

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang menubuhkan Suruhanjaya Antara Agama pada masa ini kerana dialog tertutup yang dilakukan berterusan sekarang sudah memadai untuk menangani isu berbangkit, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata dialog tertutup itu juga dapat membantu mewujudkan persefahaman, menimbulkan suasana aman dan saling hormat-menghormati di kalangan rakyat majmuk di negara ini.

"Kita tidak perlukan Suruhanjaya Antara Agama. Pada ketika ini kita tidak fikir yang ia sesuatu yang perlu, tetapi dialog berterusan antara kumpulan yang mewakili agama-agama...Islam dan bukan Islam...sudah memadai," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Dialog Idealisme Generasi Muda di Angkasapuri di sini, semalam.

Ditanya isu kalimah Allah yang melibatkan sensitiviti penganut agama Islam dan Kristian di negara ini, Muhyiddin berkata perbincangan secara tertutup antara pertubuhan kedua-dua agama itu sudah diadakan dan akan diteruskan.

"Kadang-kadang faedahnya lebih baik begitu (secara tertutup)...ini cara berhemah pasal bukan ada kepentingan politik.

"Ini untuk mencari satu titik pertemuan, mewujudkan persefahaman, menimbulkan suasana yang aman dan saling hormat-menghormati," katanya.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut berdialog dan menjelaskan pelbagai isu semasa yang dibangkitkan mahasiswa Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Teknologi Mara serta wakil pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Terdahulu, Muhyiddin melancarkan laman web politik rasmi pertama beliau My-Malaysia, yang antara lain memaparkan aktiviti kemasyarakatan dan politik, koleksi ucapan dan liputan berita dalam dan luar negara mengenainya.

Laman web itu juga mempunyai medium interaksi dua hala di antara Muhyiddin dengan rakyat dan boleh dilayari di http://www.my-malaysia.com.my.

"Hari ini, saya telah lancarkan laman web peribadi sebagai wadah untuk kita berkomunikasi.

"Saya berharap saudara-saudari akan menggunakan laman web ini untuk kita memberikan pandangan secara langsung mengenai apa sahaja isu," katanya ketika berucap melancarkan laman web itu.

Muhyiddin berkata penubuhan laman web itu juga sebagai usaha untuk mendekati dan berinteraksi dengan dengan anak-anak muda dengan menerima pandangan dan kritikan mereka.

"Anak-anak muda sekarang inginkan kerajaan yang telus, dalam erti kata lain menjelaskan dan menjawab apa saja isu yang dibangkitkan (dan) kerajaan komited untuk berbuat demikian.

"Dan untuk itu, kita akan terus mendekati anak-anak muda melalui media sosial," katanya.

Menurutnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga aktif berinteraksi melalui laman web 1Malaysia, Twitter dan Facebook dan anggota-anggota Kabinet juga telah diminta untuk berinteraksi dengan rakyat melalui media sosial itu.

"Justeru itu, saya ingin ingatkan anak-anak muda untuk menggunakan media sosial dan membuat kritikan secara berhemah. Walaupun kita berbeza pendapat, usah ketepikan adab dan budaya," katanya. - BERNAMA

Baca Lagi...

25 Ajaran Difatwakan Sesat di Selangor

NURUL AIN MOHD. HUSSAIN

SHAH ALAM: Sebanyak 25 ajaran telah difatwakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor sebagai ajaran sesat di negeri ini sejak tahun 1990an hingga kini.

Antara ajaran yang telah difatwakan sebagai sesat ialah, Tarekat Naksabandiyah Kadirun Yahya, Ajaran Nordin Puteh, Tarikat Mufarduyah, Ajaran Hj Ghazali Othman, Ajaran Zamree Ab Wahab, Fahaman Syiah, Tarikat Al-Hasaniah, Tarikat Samaniah Ibrahim Bonjol, Ajaran Tijah@Khadijah Ali, Ajaran Islam Lamaah, Ajaran Qadani, Ajaran Ilmu Hakikat Hassan Jonit.

Selain itu, Ajaran Ilmu Ahmad Laksaman, Ajaran Tarikat Zikrullah Hassan Anak Rimau, Ajaran Martabat Tujuh, Golongan Anti Hadis, Ajaran Kahar Ahmad, Aurad Ismailiah, Al-Arqam, Ajaran Syed Mohamad Al Masyhor, Ajaran Sulaiman, Ajaran Qadani dan Ajaran Banuar Roslan turut dikategorikan sebagai ajaran sesat.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, selain 25 ajaran yang telah disahkan sebagai sesat itu, pihaknya juga sedang menyiasat 35 kes lagi yang dilaporkan sebagai sesat.

"Ini termasuk kes perbomohan, ada juga kes seorang budak dapat melihat alam ghaib dan dapat mengubat orang sakit," katanya dalam satu temubual eksklusif bersama mStar Online.

Beliau menjelaskan, tidak sepertimana yang disangka ramai, pihak jabatan tidak terus menjatuhkan fatwa hanya berdasarkan aduan atau laporan awam melainkan setelah menjalankan siasatan terperinci mengenai kandungan ajaran sesuatu tarikat atau amalan sebelum dibawa kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri untuk diputuskan.

"Memang kita memerlukan masa yang panjang kerana kita memerlukan bukti kukuh. Tetapi ada juga ajaran yang tidak dapat difatwakan kerana tidak cukup bukti.

"Untuk memfatwakan seseorang itu salah dan sesat bukan mudah kerana ini soal akidah. Kalau kita silap kita bertanggungjawab ke atas keputusan yang dibuat. Sebab itu kita mengambil masa yang lama untuk putuskan,” katanya.

Beliau menambah, Jais tidak boleh mengambil tindakan terhadap kumpulan yang sedang disiasat sehingga ia difatwakan.

Ditanya sama ada 'freemason' dan 'illimunati' tergolong dalam ajaran sesat, Mohammed Khusrin berkata: "Pada pendapat saya ia bukan ajaran Islam maka ia tidak boleh dikira sebagai ajaran sesat.

Menurut beliau yang ditafsirkan sebagai ajaran sesat ialah ajaran yang telah menyeleweng daripada ajaran Islam.

"Selalunya orang yang menyebarkan ajaran sesat ini mengaku dirinya Islam tetapi dia menyebarkan ajaran yang bertentangan dengan akidah," katanya.

Mengulas lanjut isu berkenaan, beliau berkata, tempoh masa yang agak lama diperlukan untuk menyiasat dan mengumpulkan bukti mengenai sesuatu ajaran sebelum ia dikategorikan sebagai ajaran sesat.

Mengenai garis panduan yang digunakan Jais, Mohammed Khusrin berkata, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap ajaran yang didapati bertentangan dengan syarak dan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Kita berpandukan ajaran al-Quran, hadis, Ijmak Ulamak dan fatwa. Contohnya kumpulan tarekat memang sukar untuk dipastikan mereka menyeleweng atau sebaliknya.

"Ini kerana kita terpaksa ikut dan masuk dalam kumpulan itu dan kita lihat serta kaji zikir mereka," katanya.

Tambah beliau, ajaran sesat bukan mudah untuk dikesan dan untuk mengesan ajaran sebegini pegawai-pegawai Jais akan menyamar dengan menjadi sebahagian daripada ahli kumpulan tersebut bagi melihat sendiri ajaran yang dibawa oleh kumpulan berkenaan.

Justeru, bagi membendung masalah tersebut, Mohammed Khusrin berkata, Jawatankuasa Panel Akidah yang dipengerusikan oleh Mufti Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Tamyes Abdul Wahid dan beberapa pakar dalam bidang syariah dan akidah akan menjalankan sesi kaunseling dengan mereka yang disyaki terlibat dalam menyampaikan ajaran sesat di negeri itu.

"Kita akan panggil mereka yang kita disyaki ini dan kita berdialog mengenai ajaran yang mereka bawa.

"Akan datang kita akan panggil Tarekat Nasabandiyah untuk dapat penjelasan dan cuba membetulkan akidah pemimpin kumpulan ini," katanya.

Selain itu, katanya, Jais dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sentiasa mengadakan ceramah dan dialog dengan orang-ramai dari semasa ke semasa.

"Kita akan pergi memberi ceramah dan dialog di daerah dan kawasan yang kita kenalpasti seperti di Gombak, Ampang kerana kawasan ini menjadi tumpuan.

"Kita juga turut mengedarkan risalah dan menyampaikan khutbah Jumaat untuk sedarkan masyarakat tentang bahayanya ajaran sesat ini," kata beliau.


Baca Lagi...

Pengaruh Rakan Sebaya Penyebab Murtad di Selangor

NURUL AIN MOHD HUSSAIN

SHAH ALAM: Pengaruh rakan sebaya didapati menjadi sebahagian daripada faktor yang menyumbang kepada budaya murtad di Negeri Selangor, demikian dedah Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS) Datuk Mohamed Khusrin Munawi.

Bercakap dalam satu temuramah eksklusif dengan mStar Online, beliau berkata, terdapat sebanyak 109 kes murtad dilaporkan di negeri itu sejak tahun 2007 hingga 2009.

Bagaimanapun beliau menjelaskan, statistik juga menunjukkan kes murtad yang dilaporkan di Selangor mencatatkan penurunan pada tahun lalu.

“Pada tahun 2007 terdapat 27 kes, tahun 2008 42 kes, 2009 ia mencatatkan penurunan dengan 40 kes dilaporkan dan setakat bulan Januari 2010, baru ada 3 kes,” katanya.

Menurut Mohamed Khusrin, terdapat unit khas yang diwujudkan di Jabatan Mufti dan mereka yang hendak keluar Islam akan dipanggil untuk menjalani sesi kaunseling tersebut.

"Setakat hari ini sebanyak 13 kali panel unit khas ini telah bersidang dan memanggil mereka yang terlibat," katanya.

Jelasnya, terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi seseorang itu untuk keluar Islam antaranya ialah masalah perkahwinan terutamanya di kalangan mualaf.

"Apabila perkahwinan sesuatu pasangan itu bermasalah seperti suami tidak bertanggungjawab dan ada juga yang menerima ugutan daripada keluarga asal mereka.

"Hal ini menyebabkan golongan mualaf tersebut menghadapi tekanan dan menyebabkan mereka mahu kembali kepada agama asal mereka," ujarnya.

Tambahnya, ada juga kes terpencil seperti mangsa memang bukan beragama Islam ketika dilahirkan namun nama yang terdapat dalam kad pengenalan mereka nama Islam.

"Kes ini banyak berlaku di kawasan ladang dan pedalaman. Nama mereka Islam tapi mereka memang tidak amalkan ajaran Islam. Jadi mereka memohon untuk menguggurkan nama Islam dalam kad pengenalan mereka.

"Dalam masa yang sama, berdasarkan siasatan yang dijalankan kita dapati pengaruh rakan sebaya turut menyumbang kepada kes murtad ini. Mereka mendakwa Islam pada nama sahaja dan tidak mengamalkan ajaran agama," katanya.

Mengulas lanjut isu berkenaan, beliau berkata, permohonan untuk keluar daripada Islam atau murtad hanya boleh diputuskan oleh Mahkamah Syariah.

"Sebelum sesuatu kes di bawa ke mahkamah jawatankuasa khas ini akan memberi kaunseling dan sekiranya kaunseling tidak berjaya untuk bawa mereka yang ingin kembali kepada ajaran agama.

"Jadi kita akan serahkan kepada pihak mahkamah untuk putuskan tindakan selanjutnya," katanya.

Setakat ini, Mahkamah Syariah di Selangor belum ada sebarang keputusan untuk membenarkan kes murtad atau keluar daripada Islam.

Dalam menangani masalah murtad di negeri itu, Mohamed Khusrin berkata, Unit Pembangunan Insan, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) turut menjalin kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dengan mengadakan sesi kaunseling dan penerangan kepada orang ramai.

Bagaimanapun, katanya, isu keluar Islam melibatkan akidah dan pendirian agama seseorang itu sukar untuk diubah dan ia mengambil masa yang panjang.

"Bagi saya ini satu tugas yang berat dan kita tetap akan teruskan sehingga kes-kes tertunggak ini selesai.

"Kebanyakan golongan yang terlibat dengan kes murtad ini ialah mereka yang berusia di awal 30 an dan mereka ini masuk Islam kerana perkahwinan.

"Mereka kebanyakannya mengalami masalah rumah tangga setelah berkahwin selama 3 hingga 5 tahun,” ujarnya.

Mohamed Khusrin turut mengakui bahawa isu penggunaan kalimah Allah memberi impak kepada golongan mualaf kerana ia menimbulkan kekeliruan kepada mereka.

"Sebab itu kita berharap isu kalimah Allah ini tidak dipolitikkan oleh mereka yang tidak faham tentang isu ini.

"Kita harap golongan ini tidak bercakap dan cuba mentafsir isu itu kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat Islam terutamanya golongan mualaf dan mereka yang sedang dalam dilema untuk keluar Islam.

"Biarlah isu ini ditangani oleh pihak berkuasa berdasarkan enakmen dan undang-undang negeri sedia ada.

"Berdasarkan laporan yang kita terima semalam, pihak kami mendapati individu dan tokoh politik menggunakan masjid sebagai pentas untuk menyampaikan ceramah dan tazkirah bersifat politik dalam isu penggunaan kalimah Allah ini,” katanya.

Tegasnya, perkara tersebut tidak wajar dilakukan kerana ia akan hanya menimbulkan perpecahan di kalangan umat Islam kerana masjid dan surau sepatutnya dijadikan tempat beridat dan menyampaikan ajaran agama.

"Kita harap pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini menghentikan perbuatan sebegitu kerana perkara ini termaktub dalam Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam), Negeri Selangor Tahun 1988.

"Kita telah menyenaraikan beberapa perkataan lain seperti baitullah, solat dan alhamudillah antara yang dilarang penggunaannya oleh orang bukan Islam," katanya.

Bagaimanapun, katanya, dari segi penguatkuasaan ada beberapa perkara yang menyukarkan kita untuk mengambil tindakan.

Namun demikian, Mohamed Khusrin menegaskan bahawa JAIS akan tetap menyiasat setiap kes yang dilaporkan dan pihaknya akan mengambil tindakan yang sewajarnya kepada mereka yang didapati bersalah.

Di bawah seksyen itu, seseorang yang didapati melakukan kesalahan memujuk, mempengaruhi atau menghasut seseorang yang beragama Islam supaya cenderung kepada mana-mana agama bukan Islam, atau supaya menjadi penganut atau anggota mana-mana agama bukan Islam, atau supaya meninggalkan atau tidak suka kepada agama Islam.

Mereka boleh disabitkan mengikut seksyen kecil (1) dan jika didapati bersalah boleh dikenakan penjara sehingga satu tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.


Baca Lagi...

Dr Zambery - Saya masih MB sehingga 9 Feb

Jumaat, 29 Januari 2010

IPOH - Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, beliau tetap meneruskan tugasnya mentadbir negeri itu seperti biasa sehingga 9 Februari ini.

Pada masa sama, katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinannya menerima apa sahaja keputusan dibuat Mahkamah Persekutuan pada tarikh itu.

“Saya tidak akan mempertikaikannya demi menghormati prinsip Kedaulatan Undang-Undang di negara ini, tidak sebagaimana dilakukan Pakatan Rakyat (PR).

“Ini berbeza dengan PR yang pastinya akan melakukan pelbagai provokasi bagi mempengaruhi rakyat dan mempertikaikan keputusan berkenaan sebagaimana mereka lakukan sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri di sini, semalam.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan yang akan memutuskan siapa Menteri Besar Perak yang sah pada tarikh 9 Februari ini, sama ada beliau atau Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin.

Dr Zambry berkata, pihak berkenaan juga sewajarnya melaksanakan tugas sebagai pemimpin dengan turun padang dan melihat sendiri pelbagai permasalahan rakyat, bukan sibuk ke sana ke sini menjaja cerita meracuni pemikiran rakyat.

Kata beliau, ini kerja yang dilakukan PR selama ini dan yakin rakyat sudah boleh berfikir secara rasional berhubung perkara itu.

“Kali ini saya berharap PR dapat menghormati undang-undang demi kebaikan bersama,” katanya.

Diminta mengulas hasrat Mohammad Nizar hendak menghadap Sultan Perak bagi memohon membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) jika keputusan berpihak kepadanya, Dr Zambry berkata, beliau sama sekali tidak akan berbuat demikian.

“Ini hanya permainan yang dicipta PR yang kini seolah-olah mahu mengheret saya supaya terjebak sama dalam sandiwara itu. Mereka yang memulakan permainan ini dan seharusnya mereka menamatkannya. Saya seperti biasa akan meneruskan tugas,” katanya.


Baca Lagi...

Lewat rawat, jari anak kena potong

TAPAH ROAD - “Saya kecewa kerana dengan kelalaian doktor yang lewat merawat menyebabkan saya terpaksa menanggung kesengsaraan sepanjang hayat.

Demikian keluh seorang guru pelatih, Mohd Hanafe Ramli, 24, yang menerima hakikat sebahagian jari anak sebelah kanan tangannya terpaksa dipotong hanya kerana lewat menerima rawatan di Hospital Tapah (HT) setelah mengalami kemalangan jalan raya Jumaat lalu.

Katanya, ketika kejadian, dia dalam perjalanan ke sekolah pada jam 7.15 pagi, sebelum digesel sebuah van menyebabkan motosikal ditunggangnya terbabas dan terjatuh di tepi jalan.

“Akibat kemalangan itu, saya mengalami kecederaan agak serius pada jari anak tangan kanan dan mengeluarkan darah yang banyak. Rakan membawa saya ke Unit Kecemasan hospital berkenaan untuk mendapatkan rawatan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurut Mohd Hanafe, sebaik tiba di Unit Kecemasan hospital itu pada jam 7.30 pagi, dia hanya diberi rawatan biasa oleh seorang Pembantu Perubatan.

“Saya dimaklumkan doktor bertugas di Unit Kecemasan akan tiba jam 8.30 pagi untuk memberikan rawatan. Malangnya, saya terpaksa menunggu hampir tiga jam sebelum doktor itu sampai.

“Bagaimanapun, dia tidak memberikan rawatan di atas kecederaan yang saya alami ini, sebaliknya memberi surat rujukan meminta saya mendapatkan rawatan di Hospital Teluk Intan (HTI),” katanya.

Kata beliau, sebaik tiba di HTI, dia dimaklumkan doktor bertugas, hujung jari anak tangan kanannya yang luka itu terpaksa dipotong.

Kejadian itu, katanya, mengecewakan beliau kerana terpaksa menanggung kecacatan fizikal seumur hidupnya hanya disebabkan kesilapan pihak lain.

“Kini saya mengalami kecacatan kekal dan kecewa dengan apa yang berlaku kerana ia bukan disebabkan kecuaian saya, tetapi daripada kelalaian pihak berkenaan yang tidak sepatutnya berlaku jika terus memberi perhatian terhadap kes ini,” katanya.

Sementara itu, jurucakap HT ketika dihubungi mengesahkan ada menerima pendaftaran Mohd Hanafe di Unit Kecemasan pada hari kejadian, sebelum meminta guru pelatih itu merujuk ke HTI untuk rawatan.

Jurucakap itu bagaimanapun, enggan mengulas lanjut berhubung kejadian menimpa Mohd Hanafe.
Baca Lagi...

Pas kumpul dana RM130,288

TANAH BERCANGKUL – Pas Kawasan Raub berjaya mengumpul dana RM130,288 hanya dalam satu malam bagi tujuan pembinaan kompleks pentadbiran di Sempalit.

Kompleks Pas Kawasan Raub yang bernilai sehingga RM525,000 itu bakal dibina dengan menggunakan dana kutipan ahli dan dermawan seluruh negeri.

Pengarah Projek, Badaruddin Aminuddin berkata, kompleks itu akan menjadi pusat sehenti dengan menghimpunkan pelbagai kemudahan khas buat ahli Pas dan Pakatan Rakyat (PR) termasuk masyarakat.

Menurutnya, kutipan dana akan dilakukan dari semasa ke semasa terutama ketika mengadakan pelbagai program sepanjang tahun.

“Setakat hari pertama Pelancaran Dana Kompleks Pas Kawasan Raub, kita berjaya mengutip RM130,288 termasuk derma individu RM80,000 atas nama Allahyarhamah Zilam Yusof yang disampaikan anaknya.

“Kompleks ini akan dibina secara berperingkat dengan mengutamakan dewan aktiviti dan pejabat pentadbiran,” katanya pada Majlis Pelancaran Dana Kompleks Pas Kawasan Raub di Restoran Hussin di sini, semalam.

Pesuruhjaya Pas Negeri, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hadir merasmikan majlis itu.

Hadir sama Setiausaha Perhubungan Pas Negeri, Roslan Zainal; Ketua Pas Kawasan Raub, Dr Mohamed Nilam Abdul Manaf; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Chong Siew Onn; Wakil Khas DAP Raub, M Selvarajah dan Ketua PKR Cabang Raub, Harris Abdullah.

Badaruddin berkata, individu berminat boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Islam 06046010012696 atas nama Jawatankuasa Hartanah Pas Kawasan Raub atau menghubungi terus Bendahari Pas Kawasan Raub, Tengku Shah Amir Tengku Perang.

Beliau berkata, sekiranya kompleks itu siap sepenuhnya, masyarakat boleh menikmati kemudahan seperti pusat aktiviti kanak-kanak, rawatan Islam, klinik perubatan, klinik pergigian, tempat rekreasi dan gelanggang futsal.

“Kita mahu melihat anak bangsa kita sama-sama membangun dan menikmati pelbagai kemudahan setiap komuniti.

“Kejayaan kita membentuk komuniti sejahtera dan selesa dianggap sebagai contoh pengurusan terbaik di bawah urus tadbir pemimpin berpotensi,” katanya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, PR yakin dapat menawan Pahang pada pilihan raya umum akan datang dengan kerjasama semua pimpinan PR serta ahli dedikasi memperjuangkan matlamat parti.

Beliau berkata, setiap sumber semula jadi di negeri ini sekiranya diuruskan dengan baik akan meningkatkan ekonomi negeri sekali gus mengembalikan kesejahteraan kepada rakyat.

“Sekiranya diperhalusi, negeri ini kaya dengan sumber semula jadi seperti emas, balak, pantai cantik dan kawasan tinggi berpotensi dimajukan tanpa sebarang kerosakan.

“Setiap perkara diusahakan ini harus dikembalikan semula kepada rakyat sebagai manfaat yang perlu dinikmati secara sama rata sekali gus mengukuhkan sumber sedia ada dari semasa ke semasa,” katanya.
Baca Lagi...

Maut dalam lubang najis

MARANG - Hasrat seorang ibu untuk menyediakan kek bagi menyambut hari jadi anaknya esok tidak kesampaian, sebaliknya bertukar menjadi majlis tahlil setelah anak kesayangannya itu maut akibat terjatuh ke dalam lubang tangki najis berhampiran rumahnya di Kampung Sentol Patah, di sini, kelmarin.

Pemergian kanak-kanak malang itu, Mohd Najib Mat Lazim, 5, yang hanya disedari kira-kira jam 6 petang kelmarin, ditemui dalam keadaan tragis dan menyayat hati.

Betapa luluh hati seorang ibu, Madiah Sipit, 40, setelah dia dan kakak kepada mangsa, Nuraian Nadhirah, 9, melihat penutup lubang tangki najis terbabit terbuka, sebelum menemui mangsa dalam keadaan sudah tidak bernyawa.

Madiah ketika ditemui masih dalam keadaan sugul namun redha dengan kejadian itu berkata, dia sudah berkira-kira ingin mem�beli kek sempena hari jadi anaknya.

“Saya memang merancang membeli kek memandangkan ia disambut setiap tahun. Tak sangka pula dia pergi dahulu. Mungkin Allah lebih sayangkannya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Ketika ditanya mengenai kejadian itu, Madiah berkata, sebelum kejadian, anaknya bermain basikal dengan kakaknya dan tidak lama kemudian, Mohd Najib tidak kelihatan, lalu mencarinya di rumah kediaman datuknya yang tinggal berhampiran namun tiada.

Katanya, berikutan berasa tidak sedap hati dengan perkara itu, dia mula mencari di sekeliling rumah, sebelum terlihat penutup lubang tangki najis yang terbuka.

Mereka sekeluarga kemudian menggunakan besi yang dibengkokkan di hujungnya lalu menarik mayat kanak-kanak itu dari lubang yang hanya bersaiz 20 sentimeter itu.

“Apabila berjaya dikeluarkan, anak saya sudah tidak bernyawa dan ada kesan calar pada bahagian belakang, badan serta kepala. Saya hairan bagaimana tubuhnya boleh ‘melepasi’ lubang tersebut.

“Memang sedih mengenangkannya, namun semuanya sudah terjadi, tambahan pula dia sangat rapat dengan keluarga dan petah bercakap. Namun saya redha dengan apa yang telah ditentukan-Nya,” katanya.

Bapa mangsa, Mat Lazim Latif, 48, yang bekerja sendiri berkata, sebelum kejadian, mereka sempat ke Kuala Terengganu dan membeli makanan untuk dibawa pulang ke rumah.

“Dalam perjalanan, dia sempat minum milo ais dan makan keropok. Burger dibeli pula katanya ingin makan di rumah. Tapi sampai sudah, burger yang dibeli itu tidak disentuh,” katanya.

Arwah Mohd Najib dikebumikan pada jam 10 pagi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sentol Patah.

:Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan, ada menerima laporan mengenai keja-dian berkenaan.
Baca Lagi...

Kaji semua nilai wang ihsan

KOTA BHARU - Kerajaan Pas Kelantan tidak berpuas hati dengan pemberian wang ihsan RM20 juta dan meminta Kerajaan Pusat menilai semula jumlah pemberian itu.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa berkata nilai yang sewajarnya diterima negeri itu, berdasarkan pertemuan dengan pihak Petronas awal bulan ini, adalah RM40 juta dan bukannya RM20 juta seperti yang diumumkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, semalam.

Beliau, yang juga Pesuruhjaya PAS II Kelantan, berkata kenyataan Mustapa itu lebih bersifat politik kerana perbincangannya dengan Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Merican pada 8 Jan lalu, bahawa RM40 juta itu tidak termasuk tuntutan di kawasan telaga bintang yang bertindih dengan kawasan perairan Terengganu-Kelantan yang menjadikan jumlah tuntutan lebih tinggi.

“Pendirian Kerajaan Negeri tetap tidak menerima keputusan itu kerana menyifatkan ia kenyataan politik. Kami mahu mendengar kenyataan rasmi dari Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sendiri,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco, di sini semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Mustapa yang mengumumkan Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk membayar sebanyak RM20 juta wang ihsan kepada Kelantan pada Mac ini yang merupakan nilai lima peratus daripada jumlah keseluruhan hasil cari gali petroleum diperoleh sejak Mei 2008.

Kelantan tahun lalu mengemukakan tuntutan royalti berjumlah RM2 bilion terhadap operasi cari gali di perairannya kepada pusat dan berhasrat untuk mengambil tindakan mahkamah.

Bagaimanapun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Kerajaan Pusat akan memberikan wang ihsan, menggantikan bayaran royalti minyak, kepada kerajaan Kelantan mulai tahun ini bagi hasil pengeluaran minyak di luar pesisir pantai negeri itu.

Kerajaan Kelantan didapati tidak berhak mendapat royalti minyak kerana dua telaga minyak yang dipertikaikan itu terletak di kawasan 150 batu nautika dari perairan negeri itu.

Husam berkata, Kerajaan Negeri akan terus memperjuangkan haknya dalam tuntutan royalti minyak itu walaupun pusat menggantikannya kepada wang ihsan.- BERNAMA
Baca Lagi...

Pilihan raya kampus UMS tanpa ideologi politik

KOTA KINABALU 28 Jan. - Pilihan raya kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini berjalan dengan lancar tanpa kecenderungan para mahasiswanya berpihak kepada parti politik tertentu dalam memilih Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang baru.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Prof. Madya Dr. Kasim Md. Mansor berkata, kempen-kempen yang ditunjukkan oleh pelajar hanya menampilkan kekuatan individu.

"Tidak ada kumpulan yang berlandaskan ideologi politik di sini, setiap calon yang bertanding memperlihatkan komitmen masing-masing bagi memperjuangkan mahasiswa.

"Isu yang dimainkan mereka semasa berkempen ialah masalah kebajikan pelajar seperti kemudahan di asrama dan akademik seperti pinjaman pelajaran," katanya di sini hari ini.

Jelasnya, meskipun jangka masa kempen yang agak lama iaitu kira-kira seminggu, tiada perkara tidak diingini berlaku yang boleh menjejaskan reputasi mahasiswa.

Malah, katanya, pengenalan sistem undian elektronik atau e-undi yang mula diperkenalkan kali ini juga mendapat sokongan padu semua pihak dan meningkatkan lagi integriti dan kepercayaan pelajar.

Sementara itu, Pengurus Pilihan Raya UMS, Prof. Madya Dr. Ismail Ali berkata, pengundian yang bermula pada pukul 9 pagi hingga 5 petang berjalan lancar.

Katanya, seramai 6,643 daripada 10,423 orang pelajar yang layak mengundi keluar membuang undi hari ini.

"Daripada lapan calon yang bertanding bagi merebut tujuh kerusi kawasan umum, Faezan Amidun mendapat undi tertinggi iaitu sebanyak 5,733 manakala calon tersingkir ialah Abduh Haleem Azeezur Rahman dengan undi 4,920," ujarnya.


Baca Lagi...

Perbuatan khianat mengundang ketegangan agama - Nik Aziz

KOTA BHARU 28 Jan. - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyelar tindakan pihak tertentu yang melemparkan kepala babi hutan ke kawasan dua buah masjid di Petaling Jaya semalam.

Beliau yang baru sahaja mengetahui kejadian tersebut pagi ini, menyifatkan tindakan itu sebagai perbuatan khianat yang sengaja untuk mencetuskan ketegangan antara agama di negara ini.

Justeru, beliau memohon kepada semua umat Islam supaya berdoa agar Allah melindungi negara ini daripada perbuatan yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam.

"Saya minta kita semua berdoa minta tuhan lindungi Kelantan khasnya dan Malaysia umumnya.

"Kalau benci agama lain bukan buat khianat tetapi kita berdakwah kepada dia, sebut benda ini salah kalau buat khianat makin dia dendam makin dia marah," katanya kepada pemberita selepas Majlis Mahabbah Kerajaan Negeri bersama Ketua-Ketua Agama di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Persekutuan Kristian Malaysia, Biskop Ng Moon Hing; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi negeri, Dr. Mohd. Fadhli Hassan.

Baca Lagi...

Ku Li setuju sertai Kaukus Petroleum

KOTA BHARU 28 Jan. – Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bersetuju untuk mengetuai kaukus royalti minyak Kelantan yang dicadangkan oleh pakatan pembangkang.

Beliau pada masa sama berkata, fungsi kaukus tersebut seharusnya diperluaskan dengan mengkaji semula kedudukan dan hak negeri-negeri sebagai anggota kepada Persekutuan Malaysia.

“Saya sedia terima jadi pengerusi kaukus sekarang tetapi tidak ada makna kalau tak ada orang nak sertai.

“Saya juga cadangkan kaukus ini bukan sahaja melibatkan petroleum semata-mata tetapi juga melibatkan kuasa Kerajaan Pusat.

“Sudah sampai masanya kita kaji semula kedudukan Kerajaan Pusat kerana semua cukai dan hasil yang dikutip hanya mereka yang dapat, bagaimana pula kedudukan negeri-negeri yang juga menyumbang kepada hasil ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Solat Hajat dan Ceramah Perdana Royalti Petroleum di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV di sini malam ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan barisan Exco kerajaan negeri. Kira-kira 20,000 rakyat negeri ini hadir pada majlis tersebut.

Pada 18 November lalu pemimpin-pemimpin pembangkang meminta Tengku Razaleigh mempengerusikan satu kaukus mengenai wang royalti minyak di Kelantan.

Penyertaan Tengku Razaleigh yang juga bekas Pengerusi Petronas dalam ceramah malam ini juga mencetuskan kontroversi kerana berada di atas pentas kerajaan negeri yang ditunjangi Pas.

Tengku Razaleigh berkata, kajian semula itu perlu kerana kerajaan pusat perlu faham bahawa usaha memajukan negara bermakna semua negeri perlu dimajukan.

“Kita kena fikir semula perjanjian yang dibuat pada tahun 1948 itu kerana mungkin datuk nenek kita tidak terfikir apa yang terjadi pada tahun 2010 ini,” katanya.


Baca Lagi...

Hishammuddin Enggan Ulas Penahanan 10 Individu Bawah ISA

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein enggan mengulas lanjut mengenai laporan bahawa penahanan 10 individu mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Khamis lepas ada kaitan dengan pengebom warga Nigeria, atas alasan faktor keselamatan.

"Saya tidak boleh berkongsi maklumat lanjut. Ini melibatkan soal keselamatan. Kami sedang memantaunya.

"Mereka ada kaitan di peringkat antarabangsa dan akan menjejaskan keselamatan negara kita jika kami tidak mengambil tindakan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) di sini hari ini.

Hishammuddin diminta mengulas laporan media yang mendakwa tahanan terbabit ada kaitan dengan warga Nigeria, Umar Farouk Abdulmutallab, 23, yang ditahan di Amerika Syarikat selepas lelaki itu cuba meletupkan bahan letupan di atas sebuah kapal terbang tahun lepas.

Hishammuddin juga enggan mendedahkan bila dan di mana mereka ditahan dan menyatakan Malaysia sedang bekerjasama rapat dengan pertubuhan risikan antarabangsa dalam operasi itu.

"Saya perlu memberikan sedikit maklumat tetapi tidak sampai ke tahap menjejaskan penyiasatan," katanya.

Semalam, Hishammuddin mengumumkan 10 individu ditahan mengikut IAS atas dakwaan mempunyai kaitan dengan pengganas. - BERNA

Baca Lagi...

Amaran JAIS Menjelang Hari Kekasih 14 Februari

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memberi amaran akan melancarkan operasi mencegah maksiat besar-besaran menjelang Hari Kekasih pada 14 Februari ini.

Ketua Pengarah JAIS, Datuk Mohamed Khusrin Munawi menegaskan, pegawai penguat kuasa jabatan itu akan meningkatkan rondaan sekitar hotel murah, pusat membeli-belah dan tempat meletak kereta seluruh Selangor bagi memastikan masyarakat Islam tidak melakukan perbuatan yang melanggar syariat pada hari tersebut.

"Jika kita dapat menangkap pasangan yang belum berkahwin bersama, mereka akan dituduh atas kesalahan melakukan khalwat," katanya ketika ditemui di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Mohamed Khusri memberitahu, pihaknya akan memastikan lampu-lampu di kawasan tempat letak kereta juga akan dibuka untuk mengelakkan pasangan menggunakan tempat itu untuk tujuan maksiat.

"Kami juga menasihatkan ibu bapa supaya memastikan anak-anak mereka berada di rumah.

"Kami akan memeriksa pusat membeli-belah dan restoran yang menawarkan makan malam istimewa, kerana itu adalah permulaan kepada kegiatan maksiat di hotel-hotel murah," tambahnya lagi.

Dalam pada itu, beliau akan menyiast tabiat jijik iaitu tidak memakai seluar dalam ketika menyambut Hari Kekasih yang kini dikatakan menjadi trend di kalangan penuntut institusi pengajian tinggi.

"Umat Islam perlu faham bahawa hari kekasih itu bukan untuk disambut oleh seorang Muslim. Kita tidak akan benarkan perkara itu berlaku dan menghanyutkan mereka daripada ajaran Islam yang sebenar.

"Buat masa ini kita masih belum mengenal pasti lagi sumber yang menyebarkan perbuatan jijik itu tetapi pihak yang menyebarkan perkara itu adalah tidak bertanggungjawab," katanya.

Dua pelajar berusia 20-an daripada Shah Alam, yang ingin dikenali sebagai Ummi dan Melissa berkata, mereka mengetahui mengenai perkara itu.

"Itu adalah sesuatu yang peribadi. Hari menyambut kekasih adalah hari yang terbaik untuk menyatakan rasa cinta.

"Sama ada kami akan memakai atau tidak pada hari tersebut, itu adalah hak kami," katanya sambil tersenyum apabila ditanya mengenai saranan untuk tidak memakai seluar dalam pada hari terbabit.


Baca Lagi...

MCA Cadang Adakan Dialog Dengan Pertubuhan Islam

KUALA LUMPUR: MCA bercadang mengadakan perjumpaan dengan pertubuhan agama Islam dalam masa terdekat sebagai sebahagian daripada sesi dialog yang diadakan parti itu dengan pelbagai pertubuhan agama.

Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, parti itu yakin kepercayaan dan persefahaman antara penganut pelbagai agama hanya boleh dikekalkan melalui dialog.

"Rasa hormat dan keharmonian antara penganut pelbagai agama dan kepercayaan merupakan kunci kepada penyelesaian jangka panjang berhubung isu sensitif ini. Ia tidak boleh diselesaikan melalui kebencian dan keganasan," katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas menghadiri majlis dialog parti itu dengan Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) di ibu pejabat MCA di sini hari ini.

Minggu lepas, parti itu mengadakan dialog serupa dengan pemimpin Kristian berikutan beberapa kejadian serangan terhadap rumah-rumah ibadat baru-baru ini.



Ong berkata, pada dialog itu, MCA dan MCCBCHST membincangkan mengenai sensitiviti agama dan pelbagai isu termasuk Akta Pembaharuan Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, sama ada Malaysia sebuah negara Islam, pengagihan dana awam dan reka bentuk rumah ibadat serta kawasan perkuburan bagi bukan Islam.

Pada sesi dialog secara tertutup yang berlangsung kira-kira tiga jam itu, Ong berkata, mereka bertukar-tukar pandangan dan idea secara terus terang dengan ketua-ketua agama MCCBCHST dan menurutnya beliau amat menghargai input yang diberikan majlis itu.

"Isu ini amat sensitif, rumit dan mungkin akan mengambil masa yang lama untuk diselesaikan, dan sekarang kami telah memulakannya (mengadakan dialog) dan parti melalui wakilnya akan menangani kebimbangan ini, sama ada di peringkat Kabinet, Ahli Majlis kerajaan negeri atau kerajaan tempatan.

"Hasil daripada perbincangan ini akan diumumkan kepada orang ramai pada masa dan di tempat yang sesuai kelak," kata Ong. - BERNAMA
Baca Lagi...

Sultan Selangor nasihat Khalid

Sabtu, 23 Januari 2010

Nor Sedek Ismail

SHAH ALAM 22 Jan. - Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang menimbulkan kontroversi berikutan kenyataannya berhubung penggunaan kalimah Allah diberi nasihat berkaitan agama Islam oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Nasihat tersebut diberikan ketika Khalid menghadap baginda di Istana Bukit Kayangan di sini hari ini.

Perkara itu diakui sendiri oleh Yang Dipertua Pas Shah Alam itu kepada pemberita yang menunggunya di luar pintu utama istana tersebut.

Sebelum itu, Khalid dilihat memasuki Istana Bukit Kayangan pada pukul 11.15 pagi dan keluar pada pukul 1 tengah hari.

"Saya menerima dan mendengarnya (nasihat) dengan baik," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak memberitahu sama ada nasihat itu berhubung kenyataannya semalam supaya 25 kalimah yang dilarang penggunaannya oleh bukan Islam termasuk Allah di negeri ini dikaji semula kerana ia sudah ketinggalan zaman.

Khalid menjelaskan, sebab beliau dititah menghadap sultan hari ini tiada kaitan dengan kenyataan itu.

Sebaliknya beliau memberitahu, kunjungan ke istana tersebut atas titah Sultan Selangor lanjutan daripada permintaannya sendiri yang telah mengutus surat untuk tujuan tersebut pada November lalu.

Menurutnya, dalam perbincangan hampir dua jam itu, beliau turut mempersembahkan wawasan pembangunan Shah Alam kepada baginda.

Semalam, Khalid mencadangkan supaya 25 kalimah yang dilarang penggunaannya oleh bukan Islam termasuk Allah di negeri ini dikaji semula kerana ia sudah ketinggalan zaman.

Beliau berkata, larangan tersebut yang terkandung dalam Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 sepatutnya diubah suai dan dibahas secara ilmiah.


Baca Lagi...

Dr. Mahathir tidak kisah gelaran 'Tun' ditarik

KUALA LUMPUR 22 Jan. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak kisah jika ada pihak yang mahu gelaran 'Tun' beliau ditarik balik ekoran pendedahannya mengenai 700 lori berisi pasir dijual ke Singapura setiap hari baru-baru ini.

Menurutnya, beliau membincangkan isu penjualan pasir ke negara republik itu dalam blognya baru-baru ini kerana tiada pihak lain yang berani mempersoalkan kegiatan tersebut.

''Menteri (Kerja Raya) kata 500 lori (pasir) ke Singapura setiap hari, ada yang kata 700 tetapi tiada siapa pun yang komen apa-apa, macam semua setuju sahaja.

''Jadi, kalau saya tidak tarik perhatian kepada perkara macam ini, tidak ada siapa yang akan tarik perhatian, takut tak dapat (gelaran) datuk," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan buku Civilizations, Nomadic Migrations, Empires and The Trail of Islam tulisan Datuk Syed Salem Albukhary di sini hari ini.

Dr. Mahathir diminta mengulas mengenai aktiviti penjualan pasir ke Singapura dari negara ini yang didakwa beliau sebanyak 700 lori setiap hari melalui blognya baru-baru ini berdasarkan maklumat seorang rakannya.

Jumlah kemasukan lori pasir ke Singapura dari Johor menjadi persoalan apabila Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor meletakkan angka 500 lori sehari sebagai menjawab angka 700 lori yang ditimbulkan Dr. Mahathir.

Pada masa sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Johor, Datuk Ahmad Zahri Jamil berkata, statistik Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri dari 1 Januari hingga Selasa lalu menunjukkan hanya 149 lori membawa pasir silika ke Singapura atau kurang daripada 20 lori setiap hari.

Dr. Mahathir bagaimanapun berpuas hati dengan tindakan pantas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang melakukan 38 tangkapan sejak beberapa hari lalu berhubung dakwaan melakukan penyeludupan pasir ke luar negara.

Dalam perkembangan lain, bekas Perdana Menteri itu menolak dakwaan bahawa pelaburan langsung asing (FDI) negara boleh berkurangan ekoran kritikannya terhadap perancangan Amerika Syarikat (AS) dalam insiden 11 September 2001 di New York.

''Sewaktu saya menjadi Perdana Menteri dulu, saya juga mengutuk AS, Yahudi dan saya juga dipanggil anti-Semantik tetapi FDI tetap masuk,'' tegasnya.

Rabu lalu, Dr. Mahathir dalam satu ucapan mendakwa terdapat bukti kukuh menunjukkan tragedi 11 September yang mengorbankan kira-kira 3,000 nyawa itu sebenarnya dirancang sebagai alasan menyerang dunia Islam.


Baca Lagi...

Belajar kesilapan pembelian DMU

KUALA LUMPUR 22 Jan. - Kerajaan harus belajar daripada kesilapan pembelian lapan set tren Diesel Multiple Units (DMU) sebelum meluluskan sebarang pembelian aset baru pada masa hadapan.

Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohd. Sadique (gambar) berkata, kepentingan rakyat tidak boleh dikompromi dalam sebarang perolehan yang hendak dibuat, apatah lagi jika pembelian itu mencurigakan.

"Kepentingan rakyat perlu didahulukan kerana sebarang pembelian yang dibuat oleh kerajaan walaupun atas alasan demi menambah baik perkhidmatan, ia adalah wang rakyat.

"Saya berharap pada masa hadapan perkara seperti ini tidak berulang. Isu DMU ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada semua kementerian dan bukannya Kementerian Pengangkutan sahaja," katanya ketika di hubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan Kementerian Pengangkutan membatalkan cadangan pembelian lapan set tren DMU terpakai dari Sepanyol berharga RM64 juta.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat memberitahu, pembatalan kontrak pembelian itu dibuat selepas pihak pembekal gagal menyerahkannya dalam tempoh yang ditetapkan.

Pembelian lapan set DMU itu dikritik hebat oleh Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang percaya harga yang perlu dibayar adalah terlalu mahal.

Ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Ismail Kassim (BN-Arau), Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading), Datuk Wira Ahmad Hamzah (BN-Jasin) dan Halimah.

Mereka meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pembelian berkenaan.

Mengulas lanjut, Halimah berkata, beliau menyokong dan bersetuju dengan keputusan pembatalan berkenaan.

Katanya, dengan pembatalan itu, wang RM64 juta yang diperuntukan untuk DMU kini boleh digunakan bagi membaik pulih beberapa buah tren sedia ada untuk meningkatkan kelancaran operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

"Kita ada beberapa unit tren yang tidak dapat digunakan dan ia perlu diperbaiki segera. Langkah itu lebih baik daripada pembelian DMU yang berusia 20 tahun," katanya.


Baca Lagi...

Terengganu tidak pilih kasih – MB

KUALA TERENGGANU 22 Jan. – Kerajaan negeri tidak pernah pilih kasih dalam mengagihkan bantuan kepada rakyat termasuk dalam bidang pendidikan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, malah penduduk yang menentang kerajaan dan sering mencaci pemimpin juga menerima pelbagai bantuan sama ada bagi keperluan diri sendiri atau persekolahan anak-anak mereka.

“Kita (kerajaan) beri biasiswa kepada anak-anak orang yang menentang kerajaan dan mencaci pemimpin sehingga mereka berjaya masuk universiti dan memegang jawatan besar seperti doktor dan jurutera.

“Kerajaan tetap membantu mereka ini walaupun pada dasarnya mereka tidak layak menerima bantuan,” katanya berucap pada majlis pelancaran program Juara Rakyat di Sekolah Menengah Teknik Terengganu di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang juga Menteri Dalam Negeri dan turut dihadiri para pemimpin negeri.

Ahmad berkata, kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM245 juta setahun bagi bidang pendidikan dengan penduduk negeri ini mendapat faedah yang saksama tanpa mengira ideologi politik.

“Kita mahu negeri ini terus cemerlang dalam bidang pendidikan dan pelajar mencipta kejayaan dari setahun ke setahun seperti kejayaan Terengganu mencatatkan prestasi tertinggi dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) selama sembilan tahun berturut-turut,” ujarnya.

Katanya, rakyat perlu bersyukur dengan komitmen kerajaan dan mereka seharusnya tahu berterima kasih dan membalas jasa itu dengan terus menyokong kerajaan semasa.

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) terus dengan tradisi membela rakyat dan rakyat perlu menyokong agar kerajaan ini terus berkuasa pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar berkata, kerajaan negeri sedang berusaha menyediakan pelbagai keperluan bagi membolehkan Kuala Nerus menjadi daerah kelapan di negeri ini.

Beliau berkata, proses tersebut mengambil masa yang agak lama dan rakyat di kawasan itu perlu bersabar menunggu impian mereka direalisasikan.

Katanya, jika BN menang besar dalam pilihan raya umum akan datang dengan mendapat majoriti dua pertiga, usaha itu menjadi lebih mudah kerana cadangan itu akan mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen di Dewan Rakyat.


Baca Lagi...

Tunku Ibrahim angkat sumpah

JOHOR BAHRU 22 Jan. - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar yang dilantik sebagai Pemangku Raja hari ini bersumpah untuk memerintah dengan adil dan saksama.

Lafaz pemasyhuran itu dilakukan pada pukul 5.10 petang dalam satu upacara di Istana Besar di sini.

Tunku Ibrahim Ismail, 52, dilantik oleh Jumaah Majlis Diraja Johor setelah menerima laporan kegeringan Sultan Johor, Sultan Iskandar Sultan Ismail daripada tiga pakar perubatan di Hospital Pakar Johor di sini.

Pada sidang akhbar pukul 11.20 malam ini, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman mengumumkan kemangkatan Sultan Johor pukul 7.15 malam.

Pemasyhuran Tunku Ibrahim Ismail dibuat mengikut Fasal 9 (1)(b) dan 9 (2) Bahagian Pertama Undang-undang Tubuh Negeri Johor 1895.

Lafaz pemasyhuran itu adalah seperti berikut:

"Bahawa adalah saya, Tunku Ibrahim Ismail Ibni Sultan Iskandar pada masa memegang jawatan Pemangku Raja bagi Negeri dan Jajahan Johor Darul Ta'zim dan segala takluknya bersumpah dengan iman bahawa saya mengaku akan memerintah dengan adil saksama dan timbang rasa kepada semua rakyat dan penduduk-penduduk negeri Johor dan saya bersumpah dan mengaku akan memelihara dan menghormatkan agama Islam dan adat istiadat Melayu dan berpegang kuat dengan Undang-undang Tuboh Kerajaan Johor dan juga Undang-undang Negeri,"

Putera sulung Sultan Johor dengan isteri pertama, Josephine Ruby Trevorrow itu diputerakan pada 22 November 1958 di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Tunku Ibrahim Ismail yang berjiwa rakyat telah dilantik sebagai Tunku Mahkota Johor di Istana Besar Johor Bahru pada 3 Julai 1985.

Hasil perkongsian hidup dengan Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, pasangan itu dikurniakan enam cahaya mata, lima putera dan seorang puteri iaitu Tunku Ismail Ibrahim, Tunku Aminah, Tunku Idris, Tunku Abdul Jalil, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Abu Bakar.

Tunku Ibrahim Ismail mendapat pendidikan asas di Taman Didikan Kanak-kanak Tuanku Ampuan Mariam, Johor Bahru sebelum memulakan pelajaran formal di Sekolah Temenggong Abdul Rahman (1) Johor Bahru.

Tunku Mahkota Johor itu kemudiannya melanjutkan pelajaran di Trinity Grammer School di Australia mulai 1968 hingga 1970.

Tunku Ibrahim Ismail juga pernah mendapat pendidikan di Maktab Sultan Abu Bakar (English College Johor Bahru) pada 1971-1975.

Di samping itu, Tunku Ibrahim Ismail turut menerima pendidikan agama di Sekolah Agama Bukit Zaharah dan Sekolah Agama Air Molek Johor Bahru.

Setelah tamat persekolahan, Tunku Mahkota telah dihantar ke Pusat Latihan Tentera Darat (Pulada) Kota Tinggi selama tiga bulan untuk menerima latihan asas ketenteraan.

Kemudian Tunku Ibrahim Ismail ke Fort Benning, Georgia, Amerika Syarikat (AS) untuk latihan ketenteraan (Airborne dan Infantery Offices Basic Course) dan kemudian menyambung latihan di Fort Bragg, AS.

Tunku Mahkota turut menjalani latihan penerbangan helikopter di Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kluang dan seterusnya ke Fort Wracker, AS untuk latihan lanjutan di Advanced Helicopter Flying's School dan menerima anugerah 'sayap' penerbangannya.

Selain itu, Tunku Ibrahim Ismail juga pernah melanjutkan pengajian di bidang undang-undang dan diplomasi dari Universiti Tufts, AS.

Dalam bidang kesukanan, Tunku Mahkota gemar bermain polo selain menunggang motosikal berkuasa tinggi dan sinonim dengan program Kembara Mahkota Johor yang melawat ke seluruh pelosok negeri ini.


Baca Lagi...

Mahkamah Tolak Permohonan Paderi Mohon Hakim Tarik Diri

PETALING JAYA: Hakim Mahkamah Sesyen Balqis Aini Ali memutuskan bahawa beliau akan terus mendengar perbicaraan kes penglibatan seorang paderi, Paulino Francesco Miranda dalam perhimpunan haram, dua tahun lalu.

Beliau menolak permohonan Miranda selepas berpuas hati dengan hujahan secara bertulis dan lisan yang dikemukakan peguam bela Francis Pereira dan Timbalan Pendakwa Raya Azizan Arshad.

Miranda, 45, yang diwakili Pereira, dalam permohonannya pada 11 November lalu memohon hakim lain untuk mendengar kesnya itu atas alasan Hakim Balqis Aini telah membuat dapatan kesalahan ketika memutuskan jaminannya.

"Isu yang cuba dibangkitkan hanya mengenai wang jaminan dan mahkamah turut bersetuju dengan hujahan pendakwaan yang menyatakan kekhuatiran akan berlaku sehingga menyebabkan Miranda tidak akan mendapat perbicaraan dengan adil adalah tidak relevan memandangkan kes itu pramatang iaitu masih dalam status sebutan dan saksi-saki belum memberikan apa-apa keterangan," kata Balqis Aini.

Balqis Aini berkata mahkamah berpendapat hakim yang akan mendengar kes ini juga tiada kepentingan wang atau hak dalam perkara yang berbangkit dalam prosiding ini. "Berdasarkan alasan itu, mahkamah menolak permohonan Miranda dan mahkamah memerintahkan kes ini akan dibicarakan di hadapan hakim yang sama," katanya.

Beliau kemudian menetapkan 2 Mac depan untuk sebutan kes bagi membolehkan Pereira berbincang dengan anak guamnya itu untuk mendapatkan tindakan selanjutnya.

Miranda, bersama 21 tertuduh yang lain termasuk tiga anggota Parlimen dari Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kim Wee, 37, Anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew, 51 dan Anggota Dewan Undangan Negeri Selangor kawasan Kampung Tunku, Lau Weng San, 31, menyertai perhimpunan haram di Laman MBPJ di hadapan Bangunan Majlis Bandaran Petaling Jaya (MBPJ), Jalan Yong Shook Lin, di sini, antara pukul 9.50 malam dan 10.10 malam, 9 November 2008.

Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 27(5)(a) dan Seksyen 27(4) Akta Polis 1967 dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum mengikut Seksyen 27(8) akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM10,000 dan penjara sehingga setahun bagi setiap pertuduhan, jika sabit kesalahan.- BERNAMA


Baca Lagi...

Polis Tahan Tujuh Lelaki Di Perak Disyaki Cuba Bakar Gereja

TAIPING: Tujuh lelaki ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes cubaan membakar dua buah gereja dan sebuah sekolah di sini pada 10 Jan lepas.

Polis percaya tangkapan itu dapat menyelesaikan kes-kes tersebut.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata kesemua mereka yang berumur antara 17 hingga 29 tahun diberkas dalam empat serbuan berasingan lewat malam tadi dan awal hari ini.

"Tiga daripada mereka ditangkap di sebuah rumah di Kamunting manakala empat lagi ditahan di beberapa kawasan berasingan di sini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping.

Zulkifli berkata polis telah mendapat perintah menahan reman selama enam hari mulai hari ini ke atas semua suspek.

Katanya dua daripada suspek telah bekerja, tiga bekerja sendiri dan dua lagi penganggur.

Beliau berkata kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah.

Siasatan awal juga mendapati kejadian khianat yang berlaku tidak didorong oleh mana-mana kumpulan atau organisasi, katanya.

"Suspek tidak menganggotai sebarang kumpulan atau organisasi tetapi dipercayai melakukan perbuatan khianat secara spontan sebagai reaksi terhadap isu penggunaan kalimah "Allah" yang dilaporkan media, katanya.

Zulkifli berkata sisatan awal mendapati suspek hanya merupakan sekumpulan kawan-kawan sekitar Kamunting yang bertindak sendiri.

"Ia perbuatan nakal, reaksi terhadap isu yang kecuh (dalam media)", katanya.

Katanya penangkapan itu adalah hasil maklumat orang ramai dan siasatan rapi yang dijalankan polis.

Beliau berkata suspek disiasat mengikut Seksyen 436 dan Seksyen 295 Kanun Keseksaan.

Hanya sebuah gereja terdapat kesan kebakaran dan kesan berkenaan disiasat mengikut Seksyen 436 iaitu melakukan khianat dengan api yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Bagi dua kes lagi ia disiasat mengikut Seksyen 295 kerana kesalahan merosakkan tempat ibadat dan awam yang membawa hukuman penjara maksimum 2 tahun dan denda.

Dua buah gereja terbabit ialah Gereja All Saints di Jalan Taming Sari dan Gereja Katolik St Louis yang terletak bersebelahan sekolah Menengah Convent Taiping telah dilempar dengan bom api.

Kedua-dua buah gereja berkenaan tidak mengalami kerosakan manakala insiden di sekolah itu membabitkan kerosakan kecil apabila cermin kaca pondok pengawal pecah.

Serangan terhadap dua buah gereja dan sekolah itu dipercayai berlaku antara 3 pagi hingga 4 pagi.

Kejadian disedari oleh pengawal sekolah dan paderi gereja yang kemudian membuat laporan polis.- BERNAMA


Baca Lagi...

Sultan Johor Mangkat

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, 77, mangkat malam ini selepas memerintah Johor hampir tiga dekad.

Baginda mangkat pada pukul 7.15 malam di Hospital Pakar Puteri di sini selepas dimasukkan ke hospital itu hari ini kerana gering.

Jenazah Almarhum akan dimakamkan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah pada pukul 2 petang esok.

Rakyat jelata boleh memberikan penghormatan terakhir di Istana Besar dari pukul 9 pagi hingga 10.30 pagi sementara orang kenamaan dari pukul 11 pagi hingga petang.

Kemangkatan baginda diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman di sini malam ini.

Baginda meninggalkan Sultanah Zanariah serta 10 orang putera-puteri.

Sultan Iskandar, yang diputerakan di Istana Semayam, Johor Bahru pada 8 April 1932, dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 11 Mei 1981.

Tiga tahun kemudian pada 15 Nov 1984 baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan.

Petang ini, putera sulung baginda Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail dimasyhurkan Pemangku Raja dan istiadat mengangkat sumpah diadakan di Istana Besar Johor.

Berita mengenai kegeringan Sultan Iskandar diumumkan oleh Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Tunku Osman Tunku Temenggong Ahmad pada pukul 5 petang.

Almarhum merupakan putera ketiga Almarhum Sultan Ismail ibni Sultan Ibrahim dan cicinda kepada Bapa Johor Moden, Almarhum Sultan Abu Bakar.

Sultan Iskandar, yang merupakan Sultan Johor keempat dalam sejarah Johor moden, menerima pendidikan awal di Johor Bahru, sebelum melanjutkan pelajaran ke Australia dan United Kingdom.

Baginda yang merupakan Kolonel Yang Dipertua, Rejimen Perkhidmatan Khas Malaysia (Komando), sering kelihatan memakai uniform tentera pada upacara rasmi kerana minatnya dalam bidang ketenteraan.

Nama Almarhum terpahat pada sekolah, acara sukan seperti Kejohanan Golf Terbuka Iskandar dan juga koridor pembangunan selatan Johor iaitu Iskandar Malaysia.

Baca Lagi...

Ustaz Hadi nafi laporan 'God bukan Allah'

Jumaat, 22 Januari 2010

Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 22 Jan: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjelaskan bahawa Muzakarah Pakar anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) semalam sebenarnya tidak membuat apa-apa resolusi.

Penjelasan tersebut sekaligus dilihat berbeza dengan berita 'God bukan Allah -Ikim' seperti yang dilaporkan akhbar arus perdana bahawa ahli muzakarah sebulat suara bersepakat penggunaan kalimah Allah sebagai terjemahan bagi ganti nama 'God' atau 'Tuhan' adalah tidak tepat.

"Ya, muzakarah itu tidak mempunyai apa-apa resolusi, laporan itu tidak betul," jelasnya ketika dihubungi petang ini.

Pun begitu, beliau menegaskan bahawa kalimah Allah tidak boleh disalah guna untuk mengelirukan umat Islam.

"Penggunaan kalimah Allah oleh umat Islam secara dalaman jelas mengEsakan Allah, penggunaan yang boleh mengelirukan orang Islam tidak dibenarkan sama sekali," jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang turut mengulangi ketetapan PAS seperti yang diputuskan oleh Lajnah Politik dan tulisannya sebelum ini.

"Pandangan kita (PAS) seperti yang saya tulis sebelum ini, seperti yang diputuskan (dalam Lajnah Politik) sebelum ini," jelasnya.

"Kita tidak boleh melarang mereka (penganut agama samawi) menggunakan perkataan Allah di kalangan mereka sendiri walaupun salah maksud dan maknanya yang asal mengikut bahasa kita," dipetik dari kenyataan rasmi Ustaz Abdul Hadi pada 7 Januari lalu.

Dua hari sebelum itu, Lajnah Politik PAS Pusat mengingatkan semua pihak supaya tidak menyalahgunakan nama Allah untuk mengelirukan atau meraih sokongan politik murahan daripada rakyat.

Semalam, dilaporkan Ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT) PKR, Dr Mohd Nur Manuty, bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin, Pengarah Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan Ikim Dr Mohd Sani Badron dan Felo Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik Ikim, Md Asham Ahmad.

Muzakarah tersebut dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Ikim, Nik Mustapha Nik Hassan itu turut disertai oleh Pengerusi Ikim yang juga bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, pensyarah dari Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Kamar Ainiah Kamaruzzaman, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Dr Abdullah Md. Zain.

Baca Lagi...

Bersiap sedia bersama PR tentang BN

KUALA TERENGGANU – Pas Terengganu menafikan sama sekali desas-desus daripada individu tertentu yang mengakui ahli kuat parti itu bahawa Pas semakin ‘malap’ khusus di negeri ini.

:Ketua Penerangan Pas Terengganu, Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh sebaliknya menjelaskan Pas tetap berada pada kedudukan teguh biarpun pelbagai isu tercetus membabitkan parti itu ketika ini.

Malah, Pas juga sentiasa bersiap sedia dalam agenda parti untuk menghadapi sebarang kemungkinan dengan gerakan bersama-sama Pakatan Rakyat (PR) untuk menentang Barisan Nasional (BN).

“Kita tidak mengiktiraf yang ini (Pas malap). Kita rasa ada orang yang tidak bertanggungjawab dan mungkin kata mereka orang kuat Pas. Kita tidak terima.

“Apa yang kita nampak keyakinan masyarakat umum pada Pas tidak berubah dan yang disebut-sebut itu mungkin kenyataan politik daripada golongan tertentu,” katanya kepada media ketika ditemui di Pejabat Perhubungan Pas Terengganu, Jalan Sultan Omar, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung rungutan dan desas-desus daripada individu tertentu yang mengakui ahli Pas bahawa Pas di negeri ini khususnya semakin malap dan menganggap pemimpin tidak membuat apa-apa untuk memperkukuh parti.

Dalam perkembangan terbaru, Nik Zawawi yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat berkata, pihaknya ketika ini sedang mengadakan perbincangan untuk mengorak langkah bagi Pilihan Raya Umum ke-13.

Menurutnya, ia merupakan satu perbincangan serius untuk memastikan kemenangan Pas dan PR, sambil memberitahu yakin dengan gerakan yang akan dilakukan kelak mampu memberi hasil kepada pembangkang.

“Realiti kebangkitan ini wujud dan sebab itu kita nampak arus politik perdana dalam negara. Kalau di Perak, BN tidak mampu mengendali PR kerana gerun dengan kebangkitan Pas dan PR,” katanya.
Baca Lagi...

Tidak puas hati peniaga jual nombor ekor

KUALA TERENGGANU – Penduduk Kampung Batu Enam meluahkan rasa tidak puas hati dengan tindakan dua peniaga di sana yang didakwa menjual nombor ekor secara haram kepada orang ramai.

Mereka mendakwa peniaga terbabit yang mana salah seorangnya berselindung di sebalik perniagaan lain telah menjual nombor ekor haram sejak tiga tahun lalu dan sehingga kini masih lagi menjalankan operasi.

Pengerusi Persatuan Penjaja, Peniaga Kecil Melayu Terengganu kawasan Kuala Nerus, Mustafa Ismail yang mewakili penduduk berkata, jika dibiarkan kegiatan itu dikhuatiri menimbulkan masalah sosial remaja kelak.

Sehubungan itu katanya, lebih 60 penduduk mengadakan bantahan aman berhampiran kedai judi terbabit selama sejam bermula jam 5.30 petang kelmarin dengan membawa kain rentang dan sepanduk.

“Kita mahu pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap kegiatan ini kerana menjual nombor ekor bukan budaya kita apatah lagi ia akan merosakkan golo-ngan remaja nanti,” katanya ketika ditemui di sana kelmarin.

Mustafa memberitahu, dua kedai yang berkedudu-kan 50 meter antara satu sama lain itu dikatakan telah diberi amaran oleh Pejabat Agama Daerah supaya menghentikan operasi mereka namun masih lagi berdegil.

Beliau berkata, pihak berkuasa dilaporkan tidak mampu mengambil tindakan tegas dan mengaitkan peniaga terbabit dengan penjualan nombor ekor tanpa permit kerana tidak mempunyai bukti kukuh.

“Pembeli hanya memberikan nombor yang mereka inginkan, oleh itu memang sukar pihak berkuasa mendapatkan bukti kegia-tan itu,” katanya.

Bagaimanapun kata Mustafa, selepas mengadakan bantahan itu, beliau bersama rakan-rakannya berjumpa dengan dua peniaga terbabit dan mereka berjanji untuk menghentikan perniagaan haram tersebut bagi menghormati penduduk.

“Mereka mengaku tidak ada permit dan berjanji untuk berhenti menjual tetapi jika janji itu tidak ditepati kita akan mengambil tindakan termasuk membuat laporan polis, sekarang kita belum lapor sebab difahamkan polis telah buat pemantauan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Samiun Salleh ketika dihubungi Sinar Harian mengakui wujudnya aktiviti penjualan nombor ekor tanpa permit di kawasan itu.

Bagaimanapun katanya, MBKT sukar untuk mengambil tindakan terhadap peniaga itu kerana tidak mempunyai bukti kukuh bagi mengaitkan mereka dengan perbuatan terbabit.

“Kita telah menyerbu kedai itu beberapa kali namun setiap kali pergi, mereka seolah-olah dapat menghidunya kerana bijak menyembunyikan kegiatan itu,” katanya yang turut mengesahkan tidak ada lesen judi dikeluarkan MBKT.

Baca Lagi...

Khalid dititah menghadap Sultan Selangor

SHAH ALAM 21 Jan. – Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dititah menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah esok.

Beliau yang kebelakangan ini diselubungi kontroversi ekoran pendiriannya yang menyokong penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam, difahamkan telah menerima titah tersebut hari ini.

Sementara itu, Khalid yang dihubungi malam ini, mengesahkan beliau akan menghadap Sultan Selangor esok tetapi masa dan tempat belum diketahui.

Ditanya sama ada titah itu ada kaitan dengan pendirian beliau berhubung isu kalimah Allah yang bertentangan dengan istana, dakwanya, beliau sendiri yang meminta untuk menghadap sultan sejak sebulan lalu.

‘‘Ini adalah kunjungan hormat dan sebagai Ahli Parlimen saya akan menyembahkan wawasan Shah Alam kepada baginda,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Menurutnya, pertemuan itu tiada kaitan dengan isu semasa yang berlaku di Shah Alam.

Ditanya sama ada isu kalimah Allah akan dibangkitkan dalam pertemuan itu, beliau berkata: ‘‘Jika baginda bertanya sebarang soalan mengenainya, saya akan menjawab.”

Terdahulu, Khalid pada sidang akhbar di pejabatnya hari ini mencadangkan supaya 25 kalimah yang dilarang penggunaannya oleh bukan Islam termasuk Allah di negeri ini dikaji semula kerana ia sudah ketinggalan zaman.

Beliau berkata, larangan tersebut yang terkandung dalam Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 sepatutnya diubah suai dan dibahas secara ilmiah.

Menurut Yang Dipertua Pas Shah Alam itu, semasa enakmen tersebut diluluskan, tahap kefahaman umat Islam terhadap agama mereka sendiri mungkin masih begitu lemah sehingga perlu dilindungi sedemikian rupa.

‘‘Enakmen itu boleh dikaji semula dari semasa ke semasa dan sekiranya kefahaman umat Islam semakin mantap, tiada sebab ia tidak boleh dikaji semula atau diubah suai.

‘‘Umat Islam kena ingat, kita bertanggungjawab dan berkewajipan untuk menjelaskan risalah Islam kepada semua dan menyeru manusia kepada Allah, bukan menghalang mereka daripada menyebut nama-Nya,” katanya.


Baca Lagi...

CUEPACS nafi COLA ditarik balik

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menafikan khabar angin kononnya elaun sara hidup kakitangan awam (COLA) dan elaun perumahan akan ditarik balik oleh kerajaan.

Presidennya, Omar Osman berkata, sekiranya ia dilaksanakan, sudah pasti ada surat pekeliling dengan ditandatangani secara rasmi oleh pihak berkenaan dan diedarkan untuk pengetahuan kira-kira sejuta kakitangan awam.

''Perkara baru yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan perlu mempunyai surat dan tarikh kuat kuasa dan ia tidak akan sah tanpanya,'' ujar beliau ketika dihubungi malam ini.

Omar mengulas berita yang tersebar dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) dan laman-laman blog yang mendakwa elaun tersebut akan ditarik balik oleh kerajaan sebagai langkah penjimatan perbelanjaan negara.

"Semalam saya ada bertemu dengan pegawai tertinggi Perbendaharaan dan Pegawai Akauntan Negara mengenai perkara itu dan mereka tidak tahu mengenai pemotongan tersebut," katanya.

Katanya, jika benar elaun itu ditarik balik, ia akan menjadi masalah besar kepada kakitangan awam kerana bonus tahun 2009 juga tidak diberi kepada mereka.

Baca Lagi...

God bukan Allah - IKIM

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Muzakarah Pakar anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) hari ini mengambil kata sepakat penggunaan kalimah Allah sebagai terjemahan atau ganti nama kepada 'God' tidak tepat.

Pengerusi IKIM, Tun Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam juga menyalahi hakikat sebenar kerana ia bercanggah dengan konsep Tuhan yang dianjur oleh agama Islam atas dasar setempat di Malaysia.

''Hasil keputusan Muzakarah Pakar ini akan diserahkan secepat mungkin kepada kerajaan untuk tindakan lanjut,'' katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri muzakarah tersebut di IKIM di sini hari ini.

Muzakarah yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah IKIM, Nik Mustapha Nik Hassan itu disertai oleh tujuh ahli panel iaitu Prof. Madya Dr. Kamar Ainiah Kamaruzzaman dari Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin,

Panel lain ialah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Mohd. Nur Manuty; bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin; Pengarah Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan IKIM, Dr. Mohd. Sani Badron dan Felo Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik IKIM, Md. Asham Ahmad.

Seramai 70 peserta mengikuti muzakarah itu termasuk wakil Jabatan Peguam Negara, pihak berkuasa agama negeri, ahli-ahli akademik daripada institusi pengajian tinggi (IPT), badan-badan dakwah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam.

''Saya berpuas hati kerana perbincangan ini telah berjalan dengan lancar dan harmoni walaupun para peserta datang daripada fahaman politik yang berbeza ,'' katanya.

Abdullah berkata, IKIM mengambil pendekatan menganjurkan muzakarah memandangkan kemelut isu penggunaan kalimah Allah telah menimbulkan kekeliruan, kecelaruan dan boleh membawa kesan negatif bukan sahaja kepada orang Islam malah kepada penganut agama Kristian.

Beliau berkata, dalam perbincangan itu, peserta bersetuju bahawa mereka perlu menghormati dan menjunjung Perlembagaan Malaysia yang memberi kebebasan beragama.


Baca Lagi...

Sekolah pondok tertua di Kelantan terbakar

PASIR MAS 22 Jan. – Sekolah Pondok Lubuk Tapah, pusat agama dan pendidikan yang tertua di Kelantan musnah dalam kebakaran yang berlaku awal pagi ini.

Tiga buah blok bangunan sekolah agama itu yang mula digunakan sejak tahun 1931 musnah dalam kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 1.30 pagi. – Utusan.


Baca Lagi...

Nik Aziz Bidas Media Perbesarkan Isu "Cah Keting"

KOTA BAHARU: Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini membidas media yang menurutnya telah memperbesar-besarkan isu "cah keting" atau tikam belakang dalam parti itu sedangkan fenomena itu turut wujud dalam parti-parti politik lain.

Menteri Besar Kelantan itu berkata media juga telah salah tafsir saranannya dalam kuliah Jumaat minggu lepas supaya umat Islam mendoakan perlindungan daripada tuhan supaya parti itu dijauhi niat manusia yang ingin berbuat khianat atau menikam belakang.

Beliau percaya semua itu dilakukan dengan tujuan dan niat jahat untuk menimbulkan konflik dalam parti itu.

"Tindakan itu memperlihatkan seolah-olah tidak berlaku cah keting kepada pihak parti politik lain, termasuk Umno sendiri," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Medan Ilmu, di sini.

Pada Sabtu lepas, Mursyidul Am PAS itu mengakui budaya "cah keting" wujud di mana-mana, termasuk dalam PAS sendiri dan ia bukanlah merupakan perkara baru dalam mana-mana pertubuhan politik. - BERNAMA


Baca Lagi...

NGO Desak MAIS & JAIS Ambil Tindakan Terhadap Khalid Samad

MOHD AL QAYUM AZIZI

SHAH ALAM: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menyerahkan satu memorandum menyokong Majlis Agama Islam Selangor(MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berhubung isu kalimah Allah.

Penyerahan memorandum yang diwakili oleh Pengerusi Persatuan Belia Bersatu Shah Alam, Azahari Ashaari itu telah disampaikan kepada Pegawai Perhubungan Awam MAIS, Mohd Hidayat Abd Rani pada kira-kira pukul 10.45 pagi tadi.

"Tujuan kami menghantar memorandum ini bagi membantah ucapan dan tindak-tanduk Khalid yang mengingkari titah baginda Sultan Selangor supaya tidak dibangkitkan lagi isu kalimah Allah dan baginda Sultan telah melarang penggunaan kalimah Allah pada agama lain," katanya di sini hari ini.

Menurut Azahari, tindak-tanduk Ahli Parlimen Shah Alam itu mampu mencetuskan suasana kurang harmoni antara rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

MOHD AL QAYUM AZIZI

SHAH ALAM: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menyerahkan satu memorandum menyokong Majlis Agama Islam Selangor(MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berhubung isu kalimah Allah.

Penyerahan memorandum yang diwakili oleh Pengerusi Persatuan Belia Bersatu Shah Alam, Azahari Ashaari itu telah disampaikan kepada Pegawai Perhubungan Awam MAIS, Mohd Hidayat Abd Rani pada kira-kira pukul 10.45 pagi tadi.

"Tujuan kami menghantar memorandum ini bagi membantah ucapan dan tindak-tanduk Khalid yang mengingkari titah baginda Sultan Selangor supaya tidak dibangkitkan lagi isu kalimah Allah dan baginda Sultan telah melarang penggunaan kalimah Allah pada agama lain," katanya di sini hari ini.

Menurut Azahari, tindak-tanduk Ahli Parlimen Shah Alam itu mampu mencetuskan suasana kurang harmoni antara rakyat Malaysia yang berbilang kaum.


Baca Lagi...

Kartika sah bercerai talak satu

Khamis, 21 Januari 2010

KUALA KANGSAR 20 Jan. - Bekas model sambilan yang dijatuhi hukuman sebat atas kesalahan minum arak di khalayak ramai, Kartika Sari Dewi Shukarnor (gambar) hari ini sah bercerai talak satu dengan suaminya, Mohamad Afandi Amir.

Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Burhanuddin Ismi Adam membuat ketetapan itu selepas berpuas hati dengan lafaz berbunyi 'aku ceraikan kamu' yang disebut Mohamad Afandi, 39, kira-kira pukul 1 petang di rumah mereka di Singapura pada pertengahan Oktober 2008.

Beliau bagaimanapun menegur pasangan tersebut yang mengambil masa terlalu lama iaitu sehingga lebih setahun untuk melaporkannya kepada Mahkamah Syariah.

Terdahulu, timbul keraguan apabila Mohamad Afandi yang bertugas di sebuah firma teknologi maklumat (IT) di Singapura dalam keterangannya memberitahu bahawa dia telah melafazkan cerai sebanyak dua kali terhadap Kartika, 33.

Menurutnya, dia mengulangi lafaz cerai pada 10 Februari 2009 setelah was-was dengan lafaz pertama yang dibuatnya kira-kira empat bulan sebelum itu.

Bagaimanapun Burhanuddin memutuskan Kartika dan pasangannya itu cuma bercerai talak satu memandangkan lafaz cerai kedua dilakukan selepas tempoh idah tamat.

''Berdasarkan keterangan plaintif (Kartika), tempoh idah dia telah tamat pada 16 atau 17 Januari 2009 iaitu selepas tiga kali suci.

''Lafaz cerai kedua dibuat defendan (Mohamad Afandi) pada 10 Februari 2009 tidak sah kerana ketika itu mereka bukan lagi pasangan suami isteri,'' katanya.

Sementara itu, Mohamad Afandi yang memakai kemeja berwarna hijau ketika ditemui mengakui rumah tangga mereka bergolak sehingga tidak dapat diselamatkan berikutan tuduhan minum arak yang dihadapi oleh Kartika.

Namun katanya, dia masih menaruh harapan agar hubungan yang terputus itu dapat disambung semula jika segala-galanya telah kembali tenang.

''Saya akui sudah silap langkah. Sekiranya keadaan sudah jernih semula harap masih terbuka peluang untuk bersama dengan dia,'' katanya.

Kartika yang berbaju kurung warna biru hitam pula berkata, dia dan bekas suami sepakat membenarkan kedua-dua anak mereka terus berada di bawah penjagaannya yang kini menetap di Kampung Jawang, Karai dekat sini.

Pada 11 Julai 2008, Kartika ditahan pihak berkuasa ketika minum arak di sebuah resort di Cherating dan selepas mengaku bersalah, Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan sebatan enam kali terhadapnya.

Hukuman sebatan itu masih tertangguh sehingga kini.


Baca Lagi...

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan