Resolusi 100 Hari Hanya Dilaksana Pabila Pembangkang Perintah Negara: Nik Aziz

Sabtu, 25 Disember 2010

KOTA BARU: Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, resolusi 100 hari yang dikemukakan pembangkang pada konvensyen mereka pada Ahad lepas hanya akan dilaksanakan setelah pakatan pembangkang mengambil alih pentadbiran negara.

"Kita akan laksanakan bila pakatan dapat memerintah negara...tunggulah dulu...jangan nak jadi gangster," katanya kepada pemberita selepas majlis perkahwinan perdana anjuran kerajaan negeri melibatkan 101 pasangan baru di Pusat Tarbiyah PAS Kelantan (PUTIK) di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yassin semalam yang mencabar Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya melaksanakan kenaikan gaji bagi pegawai-pegawai awam di negeri-negeri yang ditadbir oleh pakatan pembangkang dahulu sekiranya pembangkang benar-benar prihatin dengan nasib penjawat awam.

Sehubungan itu, Menteri Besar Kelantan itu meminta kerajaan Barisan Nasional (BN) menunggu sehingga pakatan pembangkang menerajui negara untuk melaksanakan rsolusi itu.
Resolusi itu mengandungi sembilan perkara termasuk pengurusan negara, ekonomi dan pendidikan yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari jika pakatan pembangkang menang pada pilihan raya umum ke-13 nanti. Antaranya mengarahkan Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyempurnakan pengambilan alih aset lebuh raya oleh kerajaan dengan tujuan menghapuskan tol, merombak struktur subsidi bagi mengurangkan subsidi kepada swasta dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat, menaikkan imbuhan perguruan RM500 sebulan dan melupuskan Felda Plantations bagi membuka ladang yang diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda.
Nik Abdul Aziz berkata apa yang penting dalam mentadbir negara ialah memerintah untuk rakyat dan menjamin kesejahteraan mereka.
Beliau juga berkata PAS akan melaksanakan pentadbiran Islam mengikut acuannya seperti yang ditetapkan di dalam Islam.
Mengenai perkahwinan, beliau menasihatkan pihak keluarga wanita mengenakan hantaran atau mas kahwin yang rendah serta berpatutan kepada pihak lelaki dan bukan membebankan mereka.
"Saya kahwin dulu hantaran RM100 sahaja untuk isteri saya. Malahan siapa nak kahwin anak saya, saya minta RM1,000 saja," katanya.
Beliau berkata perkahwinan penting bagi mengelakkan gejala sosial buang anak dan zina di dalam masyarakat. - BERNAMA

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan