Kita jangan ikut rentak gendang Zaid serang PKR, kata Anwar

Sabtu, 20 November 2010

Oleh Syed Mu’az Syed Putra


SHAH ALAM, 20 Nov — Kira-kira 12 jam selepas Datuk Zaid Ibrahim mengesahkan tarikh muktamad keluar PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada kepimpinan parti itu tidak mengikut gendangnya dan tidak gunakan media Umno untuk menyerang parti sendiri.

Penasihat PKR itu juga menambah bahawa beliau tidak boleh menerima pemimpin parti itu menyerang parti dengan menggunakan akhbar Utusan Malaysia yang dimiliki Umno.

Ia merupakan himpunan pertama sejak Zaid, bekas pengerusi PKR Wilayah Persekutuan mengumumkan keluar parti. Petang semalam, Anwar mengadakan pertemuaan tertutup dengan barisan kepimpinan PKR Wilayah Persekutuan di ibu negara petang semalam.

Anwar bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen berhubung tindakan Zaid yang mengumumkan akan keluar parti itu berkuat kuasa 16 Disember ini.

“Saya tidak mahu ulas tentang Zaid, bukan kerja saya untuk mengulas tentang beliau,” kata Ketua Umum Pakatan Rakyat ini ketika berucap di program Rapat Umum Keadilan Selangor Bersama Datuk Anwar Ibrahim di Auditorium MBSA di sini malam tadi.

Pagi semalam Zaid mengumumkan akan meninggalkan PKR berkuat kuasa 16 Disember ini dan surat pemakluman mengenainya telah dihantar kepada ibu pejabat parti itu.

Zaid yang turut mengesahkan akan menubuhkan parti baru berkata, beliau “sudah pasti” akan bertanding dalam pilihan raya umum ke-13, yang dijangka diadakan tahun depan.

Zaid pernah menang kerusi Parlimen Kota Baru pada pilihan raya umum 2004 ketika masih di Umno dan bertanding  pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor April lalu atas tiket PKR tetapi tewas.

Kira-kira 100 anggota PKR pula mengadakan protes dan berhimpun di Dataran Shah Alam, dekat MBSA, meminta Anwar dan Naib Presiden Azmin Ali supaya keluar daripada parti tersebut.

Ketua Bahagian PKR Kota Raja K.S Kottapan yang mengetuai protes itu berkata perhimpunan berkenaan juga diadakan ekoran kegagalan kepimpinan tertinggi PKR menangani aduan membabitkan pemilihan parti oleh beberapa calon kepimpinan di peringkat cabang di Selangor.



Dalam ucapannya, Anwar menegaskan bahawa beliau tidak boleh menerima tindakan mana-mana pemimpin yang menggunakan Utusan Malaysia untuk menyerang parti dan juga pemimpin.

“Saya tidak boleh terima pemimpin yang menyerang parti berulang kali dalam media Umno yang selama ini menghina pemimpin kita.
“Semua orang tahu pendirian ini, kalau ada pejuang yang tidak hormat kepada pemimpin apa yang harus dilakukan?

“Kalau setakat hendak tegur tidak mengapa, tapi jangan serang guna media Umno.

“Kita nak jadi parti keluarga yang sihat, jangan nak jadi jaguh kampung sahaja, Kita kena terus ke depan dan kita jangan ikut rentak gendang beliau (Zaid),” kata beliau di hadapan kira-kira 1,000 orang yang terdiri daripada pemimpin tertinggi, pemimpin peringkat negeri Selangor dan penyokong parti itu. Tambah Anwar, fokus utama parti itu sekarang adalah memperkuatkan kerangka dalaman dan menyelesaikan segala masalah yang berbangkit bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Sekarang fokus kita adalah memperkuatkan parti bagi menghadapi pilihan raya umum. “Kita juga perlu mempertahankan negeri Selangor kerana ia merupakan kubu kuat yang harus dipertahankan supaya tidak dirampas kembali Barisan Nasional (BN).

“Malah saya yakin kempimpinan Menteri Besar (Tan Sri Khalid Ibrahim) mampu menjadi Selangor sebagai sebuah negeri yang hebat,” katanya.

Beliau juga berkata Umno-BN sekarang sudah tidak mampu mempertahankan diri kerana sudah tiada alasan yang boleh dikemukakan dalam setiap isu yang dibangkitkan Pakatan Rakyat.

“Bila kita bercakap mengenai rasuah, mereka (Umno-BN) akan jawab dengan pasir. Mereka sudah tiada ikhtiar dan sudah boleh mempertahankan diri lagi.

“Umno juga tidak boleh untuk memperjuangkan politik perkauman kerana kita sudah pun melakukan perubahan.

“Kalau ada yang mahukan parti Melayu mereka boleh menyertai Umno, kalau ada yang mahu menyertai parti India mereka boleh menyertai MIC tapi kita berbeza.

Kita sudah tidak lagi menggunakan sentimen politik kaum untuk menyertai mana-mana parti kerana kita sudah melakukan agenda reformasi,” katanya.

Justeru, Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, reformasi yang dilakukan PKR selama ini harus dipertahankan dan dipertingkatkan.

“Budaya politik yang kita amalkan selama ini harus dipertahankan. “Kalau kita mahu matang dalam politik kita kena menerima perubahan,” katanya.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan