Nik Aziz minta Karpal fahami hudud

Ahad, 22 Ogos 2010

KOTA BHARU 21 Ogos - Pengerusi DAP, Karpal Singh dinasihatkan supaya berdepan dengan orang Pas terlebih dahulu untuk memahami hukum hudud sebelum menolaknya mentah-mentah.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Pas mempunyai ramai pemimpin dan ahli daripada golongan cendekiawan termasuk pensyarah universiti untuk memberi penerangan mengenai hukum tersebut kepada Karpal.

Tegas beliau, Karpal adalah satu-satunya pemimpin dalam DAP yang menolak hukum hudud kerana beliau tidak pernah berdepan dengan orang Pas dan membincangkannya.

"Kita mahu tahu kenapa dia tolak hudud. Hudud itu menganiaya orang ke? Dia tak pernah berdepan dengan orang Pas, cuma dia duduk Pulau Pinang, kita di sini.

"Cuma DAP di Kuala Lumpur yang berdepan dengan orang-orang alim dalam Pas seperti pensyarah universiti," katanya ketika ditemui di kediamannya di sini petang ini.

Karpal hari ini dilaporkan tidak bersetuju bahawa cara terbaik menangani masalah jenayah dan sosial adalah meminda undang-undang sivil dan digantikan dengan undang-undang hudud.

Menurut Karpal, Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan bahawa hanya Kanun Keseksaan dan undang-undang sivil lain yang boleh digunakan, justeru tidak ada ruang untuk undang-undang hudud.

Kelmarin, Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, negara ini wajar kembali kepada undang-undang hudud kerana undang-undang sivil sekarang gagal mengawal jenayah dan penyakit sosial.

Namun katanya, keutamaan mestilah menerapkan taqwa atau pendidikan agama terlebih dulu di kalangan rakyat.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan