Patologi Tidak Dapat Pastikan Sama Ada Beng Hock Dicekik

Selasa, 2 Mac 2010

SHAH ALAM: Seorang ahli patalogi memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini yang beliau tidak dapat memastikan sama ada Teoh Beng Hock mengalami asfiksia akibat dicekik atau dijerut.

Dr Shahidan Md Noor dari Hospital Sungai Buloh berkata, asfiksia ialah keadaan di mana berlaku kekurangan teruk bekalan oksigen ke dalam tubuh yang menghalang individu daripada bernafas secara normal.

Katanya beliau tidak dapat memastikan sama ada arteri karotid yang menyalurkan darah beroksigen ke otak, telah ditekan akibat dicekik yang menyebabkan Beng Hock mengalami asfiksia.

Ini kerana arteri karotid telah dipotong dan dikelar semasa bedah siasat pertama, kata Dr Shahidan yang merupakan seorang daripada ahli patologi yang melakukan bedah siasat kedua ke atas Teoh pada 22 Nov tahun lepas.

Semasa diperiksa balas oleh peguam Malik Imtiaz Sarwar, yang mewakili kerajaan negeri Selangor, sama ada laporan bedah siasat pertama itu mendedahkan sebarang penemuan mengenai karotid, katanya "tidak".

Beng Hock, setiausaha politik kepada anggota Exco kerajaan negeri Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam di sini, yang turut menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)Selangor, pada 15 Julai tahun lepas.

Dr Shahidan bersetuju dengan cadangan Malik bahawa jika seseorang itu mengalami gangguan serebrum hipoksia "lembut atau sederhana", keadaan di mana tisu otak tidak mendapat cukup oksigen akibat dicekik, seseorang itu boleh mengalami kekejangan atau malahan pengsan.

Bagaimanapun, katanya beliau tidak fikir yang kemungkinan Beng Hock telah tidak sedarkan diri, bukan pada tahap mati, selepas dia dicekik atau dijerut pada tahap tertentu.

Katanya adalah juga mungkin lidah Beng Hock boleh diangkat akibat dicekik tetapi tidak bersetuju keadaan lidah yang bengkak seperti dilaporkan dalam bedah siasat kedua itu adalah akibat dicekik.

Beliau juga mempertahankan rumusannya mengenai kecederaan pada leher mangsa kemungkinan besar diakibatkan impak jatuh kerana leher mengalami "hyperflexing" dan "hyperextension" semasa insiden itu.

Beliau tidak bersetuju dengan cadangan Malik bahawa kecederaan di leher Beng Hock berlaku kerana dagunya terkena pada lantai terlebih dahulu dan menjejaskan lehernya, berbanding kakinya merupakan anggota tubuhnya yang pertama terkena pada lantai, seperti dilaporkan dalam bedah siasat itu.

Dr Shahidan berkata kecederaan teruk yang dialami mangsa pada bahagian dalam lehernya bukan disebabkan sebarang mekanisme lain tetapi akibat jatuh.

Peguam yang mewakili keluarga Beng Hock, Gobind Singh Deo, turut menyoal Dr Shahidan secara panjang lebar mengenai kecederaan pada leher Teoh.

Beliau mahu tahu kenapa keadaan bengkak pada leher si mati tidak dimasukkan dalam laporan bedah siasat pertama, kenapa tidak disebut mengenai pemotongan pada otot, belakang, kaki dan tapak kaki untuk memastikan Teoh tidak dipukul semasa ditahan, yang menurutnya mencadangkan bahawa para doktor yang melakukan autopsi pertama mungkin telah melakukannya secara tidak telus dan tidak kompeten.

Bagaimanapun, Dr Shahidan berkata dalam laporan bedah siasat yang lepas, para doktor ada menyatakan mereka menemui kesan lelasan pada leher Beng Hock.


0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan