Mohammad Fairus Keluar PKR, Sertai Umno

Isnin, 1 Mac 2010

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus menerima tamparan hebat apabila bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin hari ini mengumumkan keluar daripada parti itu dan menyertai Umno.

Menurut beliau keputusan berkenaan dibuat atas dasar hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan parti.

"Saya dengan ini atas dasar mempertahankan prinsip memperjuangkan agama, bangsa dan negara serta kepentingan rakyat malaysia, saya mengumumkan penyertaan saya dalam umno dan Barisan Nasional (BN).

"Oleh yang demikian dengan rasmi saya keluar daripada PKR atas dasar hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan parti tersebut," katanya pada majlis perjumpaan kepemimpinan tertinggi Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia bersama Perdana Menteri di sini malam ini.

Pengumuman bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tersebut dibuat selepas hampir setahun menyepi daripada arena politik tanah air.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, Mohammad Fairus memenangi kerusi tersebut dengan 7,346 undi menewaskan calon BN, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid dengan majoriti 2,219.

Bagaimanapun beliau meletakan jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang pada 8 April 2009 dan sebagai ADUN Penanti pada 16 April tahun yang sama atas alasan ingin melanjutkan pelajaran di peringkat pasca ijazah.

Menurut Mohammad Fairus, beliau mengambil keputusan meningalkan PKR kerana parti itu dilihat tidak konsisten dalam mempertahankan agama dan bangsa Melayu.

"Kemuncak batas kesabaran saya ialah apabila isu kalimah Allah timbul, saya memantau setiap kenyataan pemimpin yang ada di Malaysia tanpa mengambil kira parti politik.

"Tapi bila lihat kenyataan pucuk pimpinan dan kenyataan rasmi PKR, ianya amat mendukacitakan... tenyata mereka begitu longgar mempertahankan perkara sepenting itu dan sedasar itu," katanya.

Pertengahan bulan lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggugurkan tuduhan rasuah terhadapnya yang dikaitkan dengan aktiviti kuari haram di Pulau Pinang.

Kes berkenaan antara lapan kes berprofil tinggi yang ditutup SPRM.

Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan borang keahlian Umno kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Dalam pada itu, Najib dalam ucapannya berkata, beliau sebagai Presiden Umno menerima penyertaan Mohammad Fairus dengan senang hati.

Katanya, beliau menyedari tindakan Mohammad Fairus menyertai Umno adalah atas dasar prinsip perjuangan dan bukan kerana jawatan.

"Kami terima dengan senang hati kerana saya tahu bahawa Fairus mengambil keputusan ini atas soal prinsip dan dasar (perjuangan), bukan kerana jawatan, bukan kerana ganjaran.

Selain itu Najib juga menyatakan keyakinan bahawa Mohammad Fairus mampu memberi sumbangan yang bermakna kepada Umno.

"Selamat datang Fairus... kita akan jaga dia dengan baik, saya percaya dia boleh bagi sumbangan yang besar kepada Umno untuk membela nusa dan bangsa," katanya.

Tambah Najib lagi, tindakan Mohammad Fairus itu membuktikan PKR gagal mempertahankan prinsip untuk memartabatkan agama Islam.

"Fairus sudah hilang kepercayaan kepada PKR kerana parti itu gagal mempertahankan apa yang dianggap sebagai soal prinsip.

"Prinsip yang paling penting ialah maruah dan martabat agama Islam, dalam hal ini dia berpendapat PKR gagal berbuat demikian," katanya.

- MStar

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan