Pas sedia kerjasama dengan UMNO

Isnin, 8 Februari 2010

MUHAMAD ZAID ADNAN

KUCHING 7 Feb
. – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu sedia bekerjasama dan berbincang dengan UMNO dalam setiap perkara termasuk yang berkaitan dengan hal politik dan agama.

Beliau berkata, polisi kerjasama antara Pas dan UMNO sama ada membabitkan perkara yang boleh dibincang atau sebaliknya bukanlah pertama kali dilakukan kedua-dua parti berkenaan dan ia merupakan polisi yang berpanjangan dari dulu hingga hari ini.

Katanya, kerjasama di dalam politik merupakan amalan demokrasi sebagaimana yang diamalkan negara ini yang mana Pas boleh bekerjasama dalam perkara yang boleh dipersetujui dan jika perkara sebaliknya berlaku, parti akan memberi nasihat dan ia amalan biasa bagi negara demokrasi.

“Dalam negara demokrasi, kita tidak berperang, sebaliknya kita berhujah, berdebat, berbahas dan berbincang. Tidak ada pemisahan antara agama dan politik bagi Pas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas mengadakan pertemuan tertutup bersama pemimpin Pas negeri dan mendengar taklimat mengenai persiapan parti bagi menghadapi pilihan raya negeri di salah sebuah hotel terkemuka di sini.

Terdahulu, beliau diminta mengulas gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu Pas lebih tegas dalam pendiriannya sebelum membuat tawaran untuk berbincang dengan UMNO mengenai sebarang isu.

Turut hadir Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Ketua Penerangan Pas, Idris Ahmad; Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman dan Pesuruhjaya Pas Sarawak, Osman Mustafa.

Abdul Hadi memberitahu, kerjasama antara Pas dan UMNO berlaku semasa era pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad bersama Allahyarham Datuk Fadzil Noor, bekas Presiden pada ketika itu dan yang terbaru berhubung isu kalimah Allah yang beliau wakili sendiri.

Jelasnya, Pas akan memberi pandangan dalam menangani perkara berkaitan sosial, ekonomi dan ketenteraman awam malah ada antara pandangan parti diterima kerajaan secara senyap-senyap.

“Dalam perkara yang kita boleh bersama seperti isu berkaitan ketenteraman awam dan keselamatan negara, kita akan bersama kerajaan.

“Dan sekiranya berlaku perkara yang kita tidak boleh bersama seperti isu royalti minyak, kita akan menegur kerajaan namun kita bersabar,” jelas beliau. - Utusan Malaysia


0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan