Lembaga Disiplin Umno Enggan Ulas Isu Tengku Razaleigh

Rabu, 3 Februari 2010

ARIFFUDDIN ISHAK

PETALING JAYA: Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail berkata, pihaknya tidak boleh mengulas mana-mana kes yang dirujuk kepada lembaga itu termasuk isu melibatkan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berhubung tindakannya yang bertentangan dengan dasar parti.

Beliau berkata, sebagai 'hakim' pihaknya tidak boleh mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung sesuatu kes termasuk isu berkenaan jika ia dirujuk kepada lembaga berkenaan.

"Tak boleh, tak boleh cakap apa-apa. Mana boleh seorang 'hakim' nak mengulas mengenai sesuatu kes," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kesediaan Tengku Razaleigh untuk berhadapan dengan sebarang tindakan disiplin oleh Umno kerana menggunakan pentas pembangkang untuk menuntut isu royalti minyak Kelantan.

Baru-baru ini, Tengku Razaleigh menyertai Majlis Solat Hajat dan Ceramah Perdana Royalti Petroleum di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, Kota Bharu untuk mengetuai kaukus yang dicadangkan oleh pakatan pembangkang.

Pada majlis itu juga, Tengku Razaleigh sekali lagi menegaskan bahawa sebagai individu yang terlibat dengan penubuhan Petronas, beliau tahu kerajaan negeri mempunyai hak menerima royalti berdasarkan Akta Petroleum 1974.

Ketua UMNO Bahagian Gua Musang itu mendakwa, royalti itu masih tetap milik Kelantan walaupun pada kawasan yang bertindih dengan Thailand dan ini bertentangan dengan pendirian Kerajaan Pusat yang menetapkan Kelantan hanya layak menerima wang ihsan.

Tindakan Tengku Razaleigh itu mengundang pelbagai reaksi termasuk Ketua Pemuda Umno Kelantan, Anuar Safian yang menyarankan beliau melepaskan jawatan dan menyertai PAS atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana dilihat lebih sesuai dengan sikap serta pendiriannya.

Mengulas lanjut, Tengku Ahmad Rithauddeen berkata, buat masa ini tidak ada apa-apa perkembangan daripada pihaknya berhubung perkara berkenaan.

"Tunggulah dulu... anda jangan risau," katanya.


1 comments:

Unknown berkata...

Seorang pejuang rakyat akan berkata perkara yang benar.Seorang pejuang rakyat akan mempertikaikan segala bentuk ketidakadilan yang diamalkan oleh kerajaan.Dan seorang tengku razaleigh akan berjuang untuk rakyat negeri tumpah darahnya.bukan seperti Tapa dan awang yang belot hanya kerana mengejar pangkat dan kemasyuran hingga lupa akan sejarah perjanjian yang mereka dukungi.sesungguhnya 'melayu tapa dan awang mudah lupa'

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan