Lembaga Disiplin PKR Akan Siasat Tan Jika Terus Kritik

Rabu, 3 Februari 2010

ARIFFUDDIN ISHAK

PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng akan mengalami nasib yang sama dengan tiga lagi pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) lain yang dirujuk kepada lembaga disiplin parti jika masih berdegil mencabar prinsip parti.

Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali berkata, tindakan Tan yang tidak mengendahkan desakan supaya ‘menutup mulut’ daripada mengkritik kepincangan kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng seolah-olah mencabar prinsip parti.

“Ok, tak mengapa kalau dia tetap tak mahu (tutup mulut), jadi maknanya beliau macam cabar prinsip parti.

“Nampak juga macam beliau nak kita buat sesuatu terhadapnya,” katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Tan yang bertegas enggan berhenti mendedahkan kepincangan kepimpinan Lim sekalipun berdepan risiko akan dipecat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal baru-baru ini secara terbuka mengkritik kepimpinan Lim dan menyifatkan Setiausaha Agung DAP itu sebagai pemimpin berat sebelah selain tidak menghiraukan pandangan rakan-rakannya dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Bayan Bayu, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim mencetuskan kontroversi apabila dengan lantang mengkritik kepimpinan Lim yang dilabelnya sebagai diktator, cauvinis dan berpemikiran komunis.

Ekoran itu, Biro Politik PKR telah merujuk Zahrain kepada lembaga disiplin parti bersama dua lagi pemimpin lain iaitu Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin kerana membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Selain itu, turut dirujuk ke lembaga disiplin parti adalah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Datuk Zaid Ibrahim kerana lantang mengkritik parti PKR yang tidak mengambil tindakan tegas terhadap Zulkifli.

Menurut Syed Husin lagi, Biro Politik PKR yang akan bermesyuarat malam ini dijangka akan membincangkan mengenai perkembangan terbaru ini.

“Perkara ini (isu Tan) akan turut kita bincangkan malam ini, keputusan untuk merujuk beliau kepada lembaga disiplin ataupun mungkin menjadi salah satu pilihan yang kita ada,” katanya.

Katanya lagi, mesyuarat Biro Politik PKR malam ini akan dipengerusikan oleh Presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.


0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan