Kelantan Tiada Halangan Wanita Pegang Jawatan Tinggi - Nik Aziz

Khamis, 25 Februari 2010

KOTA BAHARU: Kerajaan negeri Kelantan tidak mempunyai sebarang halangan dan masalah dengan lebih ramai wanita memegang jawatan tinggi di dalam sektor awam berbanding lelaki.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata perkara yang paling penting adalah mutu perkhidmatan dan kualiti kakitangan awam itu yang perlu diambil kira tanpa mengira kakitangan itu wanita ataupun lelaki.

"Di dalam Islam lelaki dan wanita sama sahaja. Tiada siapa yang lebih," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung Cuepacs Ahmad Shah Mohd Zin Isnin lepas bahawa trend masa kini menunjukkan semakin ramai wanita dilantik memegang jawatan sebagai pembuat keputusan dan situasi itu mempunyai implikasi jangka panjang dalam aspek kemajuan dan pertumbuhan negara.

Nik Abdul Aziz berkata di dalam Islam, lelaki hanya mendahului wanita sebagai pemimpin dalam rumahtangga.

"Bagi saya ianya tidak menimbulkan sebarang masalah jika ramai wanita memegang jawatan tertinggi di dalam sektor awam," katanya. - BERNAMA

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan