Jangan pertikai keputusan Pas

Isnin, 8 Februari 2010

KUALA LUMPUR 7 Feb. - Dewan Pemuda Pas mahu semua pihak dalam parti menghentikan segera perbuatan mempertikaikan keputusan Jawatankuasa Disiplin berhubung kes yang melibatkan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, langkah itu perlu kerana tindakan tersebut boleh menjerumus Pas ke arah suasana yang tidak harmoni sekali gus memberi kesan kepada perjuangan parti.

Tegas beliau, secara realitinya bukan mudah untuk jawatankuasa itu menjatuhkan hukuman apatah lagi apabila ia membabitkan tokoh-tokoh tertentu di dalam parti.

''Namun begitu Pemuda Pas percaya setiap hukuman atau tindakan yang dikenakan adalah berdasarkan fakta. Saya yakin mereka tidak menjatuhkan hukuman secara sewenang-wenangnya sebaliknya berasaskan kepada siasatan terperinci.

''Saya amat berharap selepas ini tiada lagi kedengaran suara-suara mempertikaikan keputusan ini. Terimalah ia dengan hati yang terbuka dan berlapang dada,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan sesetengah pihak dalam Pas terus bertindak mempertikaikan keputusan jawatankuasa tersebut termasuk Khalid.

Lebih malang lagi perbuatan itu dibuat secara terbuka terutama dalam laman blog.

Selain Khalid, seorang anggota Exco Dewan Pemuda Pas, Abdullah Karim turut mempertikaikan keputusan Jawatankuasa Disiplin secara terbuka.

Pada 29 Januari lalu Khalid dihukum gantung jawatan sebagai Yang Dipertua Pas kawasan Shah Alam dan Ahli Jawatankuasa Lujnah Politik Pas selama enam bulan berkuat kuasa hari ini sementara Hassan diberi amaran.


0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan