Abdullah bersumpah apa yang ditulis Tuan Ibrahim Tak Benar

Ahad, 14 Februari 2010

Jimadie Shah Othman

Exco Pemuda PAS Abdullah Karim - yang mengecam Naib Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man dalam isu jawatankuasa disiplin - kini bersumpah dengan nama Allah bagi mempertahankan hujahnya.

"Saya bahkan bersumpah dengan nama Allah bahawa apa yang ditulis oleh Tuan Ibrahim itu adalah tidak benar sama sekali," katanya.

Tuan Ibrahim pada 3 Februari, antaranya mendakwa aduan Abdullah - berhubung penglibatan ahli PAS dalam "konspirasi menjatuhkan Pakatan Rakyat" - kepada jawatankuasa disiplin tidak dilayan kerana tidak berasas dan dibuat berdasarkan dengar cakap.

Abdullah yang juga timbalan ketua Pemuda PAS Pahang sebelum itu mempertikaikan kewibawaan jawatankuasa tersebut susulan kontroversi penggantungan jawatan ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad pada 29 Januari lalu.

Abdullah antaranya dilaporkan membayangkan jawatankuasa disiplin PAS berat sebelah apabila memejamkan mata terhadap aduan-aduan tertentu, termasuk yang dilaporkannya kepada jawatankuasa itu dan pejabat agungnya.

Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini kelmarin, Abdullah menyatakan keraguannya kemungkinan "terdapat sebab-sebab lain" aduannya ditolak.

"Saya menegaskan bahawa saya tidak pernah pada bila-bila masa dimaklumkan oleh Tuan Ibrahim atau mana-mana orang lain bahawa aduan saya tidak boleh diambil tindakan kerana ada bukti, atau kerana ia sekadar dengar cakap sahaja, atau kerana sebab-sebab lain yang menyebabkan aduan ini ditolak," katanya.

Kenyataan tidak dibetulkan

Setelah ditegur Tuan Ibrahim sebelum ini, Abdullah berkata, beliau telah menggunakan "saluran yang betul" dengan menghubungi sendiri naib presiden itu melalui panggilan telefon dan e-mel.

"Namun, selepas seminggu berlalu, Tuan Ibrahim tidak menjawab e-mel saya dan tidak juga memperbetulkan tulisan tersebut yang masih kekal ada di dalam blognya.

"Maka, saya tidak mempunyai pilihan bagi menyatakan kebenaran ini melainkan membuat penjelasan terbuka dan saya berharap hal ini dan perkara-perkara lain yang bersangkutan dengannya dapat diperjelaskan di dalam mesyuarat jawatankuas pusat PAS yang akan datang," katanya.

Jawatankuasa pusat PAS akan dijadual bersidang esok di ibu pejabatnya di ibu negara.

Abdullah juga sekali lagi mempersoalkan kedudukan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yang mengelolakan aduan kepada jawatankuasa disiplin kerana ia dilihat memberikan kuasa yang cukup besar kepadanya.

Perkara itu juga, tambahnya, menunjukkan jawatankuasa itu seolah-olah hanya menerima arahan dari setiausaha sgung.

"Jika inilah keadaannya, ianya perlu diperbetulkan bagi mengelakkan konflik kepentingan dan juga angapan-anggapan negatif yang lain. Soal menentukan sesuatu aduan tatatertib itu mempunyai merit atau sebaliknya, tidak sepatutnya diputuskan oleh seorang individu sahaja.

Beliau juga sempat menempelak Mustafa yang tidak langsung memanggilnya berhubung aduannya walaupun telah memberitahu media akan melakukannya segera awal bulan ini. - Malaysiakini

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan