USIA kecewa kenyataan Nazri Aziz

Selasa, 19 Januari 2010

KOTA KINABALU 18 Jan. - Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) menyifatkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz bahawa penganut Kristian boleh menggunakan kalimah Allah di Sabah dan Sarawak sebagai tidak mencerminkan aspirasi umat Islam di negeri ini.

Sambil mengaku kecewa, Setiausaha Agung USIA, Datuk Abdullah Hussin menegaskan, kenyataan menteri itu juga tidak mewakili suara majoriti umat Islam di Sabah

"Lebih menyedihkan, kenyataan itu juga dibuat tanpa berbincang dengan pemimpin Islam di Sabah.

"Kita tidak bersetuju dengan kenyataan (Mohamed Nazri) itu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Minggu lalu Mohamed Nazri berkata, penganut Kristian di Sabah dan Sarawak dibenar menggunakan kalimah Allah dalam upacara sembahyang dan keagamaan kerana secara tradisinya ia telah diamalkan sejak dahulu lagi.

Langkah itu juga mengambil kira kebiasaan penduduk Islam di kedua-dua negeri berkenaan terhadap amalan penganut Kristian itu.

Mohamed Nazri dilaporkan berkata demikian dalam satu wawancara eksklusif dengan lima wartawan dari Borneo Post, Utusan Borneo dan Oriental Daily di pejabatnya di Putrajaya minggu lalu.

Abdullah berkata, maklumat yang diterima daripada akar umbi USIA jelas menyatakan kekecewaan dengan kenyataan Mohamed Nazri tersebut.

Kata Abdullah, pertubuhan itu tetap berpegang teguh dengan pendiriannya bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh bukan Islam dan ia khusus untuk orang Islam sahaja.

Sehubungan itu beliau berharap mana-mana pihak yang ingin mengeluarkan kenyataan supaya memahami isu sebenar bagi mengelak kekeliruan.

''Kerajaan telah mempertanggungjawabkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom untuk tujuan itu.

''Justeru kita perlu memberi kepercayaan kepada beliau (Jamil Khir Baharom) untuk menanganinya tanpa mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan umat Islam," tegasnya.

Menurut Abdullah, walaupun Sabah dan Sarawak tidak mempunyai enakmen yang melarang agama lain menggunakan kalimah Allah tetapi ia bukan alasan untuk menggunakan kalimah suci sewenang-wenangnya.

Beliau menambah, USIA akan menghantar wakil untuk menyertai muzakarah anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada 21 Januari ini di Kuala Lumpur bagi menyatakan pandangan dan maklum balas mengenai penggunaan kalimah Allah.


0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan