Tidak wujud ‘cah keting’ dalam Pas Selangor

Isnin, 18 Januari 2010

SHAH ALAM - Tidak wujud budaya ‘cah keting’ atau cantas mencantas dalam kepimpinan Pas Selangor, kata Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali.

Sebaliknya, jika ada sebarang ‘pertukaran’ kepimpinan yang dibuat dalam parti, ia adalah untuk kebaikan pergerakan Pas Selangor itu sendiri.

Menurut beliau, tidak timbul soal demikian kerana Pas Selangor mengamalkan polisi keterbukaan (open policy) dalam pentadbiran parti itu di negeri ini.

“Tidak timbul isu itu kerana dalam Pas kita begitu ‘gentleman’. Jika ada sebarang pertukaran (dalam kepimpinan Pas) ia (keputusan) dibuat demi kebaikan pergerakan kita di sini.

“Mana-mana parti pun bergantung pada penilaian kepimpinan mereka dan perkara itu kita akan rujuk pada Dewan Harian dan Perhubungan Pas Selangor. Saya tidak pernah buat keputusan sendiri,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Jentera Penerangan Pas Negeri Selangor di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat secara terbuka mengakui wujud budaya ‘cah keting’ atau cantas mencantas dalam Pas sehingga menimbulkan kepincangan dalam parti tersebut.

Bagaimanapun, Mursyidul Am Pas itu tidak menjelaskan secara mendalam sejauh mana seriusnya perkara itu sehingga menyebabkan beliau membaca doa khusus memohon perlindungan Allah supaya menjauhkan parti itu daripada amalan tersebut.

Ditanya mengenai kenyataan Yang Dipertua Pas Shah Alam, Khalid Samad yang mempertikaikan isu kalimah Allah, Hasan yang juga Exco Kerajaan Negeri berkata, pandangan Khalid itu bersifat peribadi dan bukannya mewakili pandangan Pas Selangor.

“Saya rasa itu pandangan peribadi beliau. Pendirian kita (Pas Selangor) adalah selari dengan pandangan Mursyidul Am Pas, selari dengan semangat yang dikemukakan oleh Presiden Pas serta pemimpin Pas Pusat.

“Dan jika ada beberapa orang yang pandangannya agak berbeza, saya anggap itu pandangan peribadi, tidak mewakili kita dan pada masa yang sama kalau pandangan itu dibuat atas nama Pas sama ada cawangan, DUN atau kawasan ia mestilah mengikut apa yang diputuskan oleh pihak Pas negeri,” katanya.

Walau bagaimanapun, Hasan berkata, tindakan (Khalid) tidak memberikan sebarang imej negatif terhadap Pas.

“Rakyat faham malahan mereka sudah baca kenyataan saya, bahkan kenyataan saya keluar lebih awal daripada komen teman-teman yang lain.

“Jadi, saya rasa mereka faham itu adalah pandangan peribadi Khalid,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Shah Alam itu membuat tuduhan tidak berasas apabila mengaitkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dengan sebarang agenda atau parti politik tertentu berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan