Tidak puas hati peniaga jual nombor ekor

Jumaat, 22 Januari 2010

KUALA TERENGGANU – Penduduk Kampung Batu Enam meluahkan rasa tidak puas hati dengan tindakan dua peniaga di sana yang didakwa menjual nombor ekor secara haram kepada orang ramai.

Mereka mendakwa peniaga terbabit yang mana salah seorangnya berselindung di sebalik perniagaan lain telah menjual nombor ekor haram sejak tiga tahun lalu dan sehingga kini masih lagi menjalankan operasi.

Pengerusi Persatuan Penjaja, Peniaga Kecil Melayu Terengganu kawasan Kuala Nerus, Mustafa Ismail yang mewakili penduduk berkata, jika dibiarkan kegiatan itu dikhuatiri menimbulkan masalah sosial remaja kelak.

Sehubungan itu katanya, lebih 60 penduduk mengadakan bantahan aman berhampiran kedai judi terbabit selama sejam bermula jam 5.30 petang kelmarin dengan membawa kain rentang dan sepanduk.

“Kita mahu pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap kegiatan ini kerana menjual nombor ekor bukan budaya kita apatah lagi ia akan merosakkan golo-ngan remaja nanti,” katanya ketika ditemui di sana kelmarin.

Mustafa memberitahu, dua kedai yang berkedudu-kan 50 meter antara satu sama lain itu dikatakan telah diberi amaran oleh Pejabat Agama Daerah supaya menghentikan operasi mereka namun masih lagi berdegil.

Beliau berkata, pihak berkuasa dilaporkan tidak mampu mengambil tindakan tegas dan mengaitkan peniaga terbabit dengan penjualan nombor ekor tanpa permit kerana tidak mempunyai bukti kukuh.

“Pembeli hanya memberikan nombor yang mereka inginkan, oleh itu memang sukar pihak berkuasa mendapatkan bukti kegia-tan itu,” katanya.

Bagaimanapun kata Mustafa, selepas mengadakan bantahan itu, beliau bersama rakan-rakannya berjumpa dengan dua peniaga terbabit dan mereka berjanji untuk menghentikan perniagaan haram tersebut bagi menghormati penduduk.

“Mereka mengaku tidak ada permit dan berjanji untuk berhenti menjual tetapi jika janji itu tidak ditepati kita akan mengambil tindakan termasuk membuat laporan polis, sekarang kita belum lapor sebab difahamkan polis telah buat pemantauan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Samiun Salleh ketika dihubungi Sinar Harian mengakui wujudnya aktiviti penjualan nombor ekor tanpa permit di kawasan itu.

Bagaimanapun katanya, MBKT sukar untuk mengambil tindakan terhadap peniaga itu kerana tidak mempunyai bukti kukuh bagi mengaitkan mereka dengan perbuatan terbabit.

“Kita telah menyerbu kedai itu beberapa kali namun setiap kali pergi, mereka seolah-olah dapat menghidunya kerana bijak menyembunyikan kegiatan itu,” katanya yang turut mengesahkan tidak ada lesen judi dikeluarkan MBKT.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan