Pilihan raya kampus UMS tanpa ideologi politik

Jumaat, 29 Januari 2010

KOTA KINABALU 28 Jan. - Pilihan raya kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini berjalan dengan lancar tanpa kecenderungan para mahasiswanya berpihak kepada parti politik tertentu dalam memilih Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang baru.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Prof. Madya Dr. Kasim Md. Mansor berkata, kempen-kempen yang ditunjukkan oleh pelajar hanya menampilkan kekuatan individu.

"Tidak ada kumpulan yang berlandaskan ideologi politik di sini, setiap calon yang bertanding memperlihatkan komitmen masing-masing bagi memperjuangkan mahasiswa.

"Isu yang dimainkan mereka semasa berkempen ialah masalah kebajikan pelajar seperti kemudahan di asrama dan akademik seperti pinjaman pelajaran," katanya di sini hari ini.

Jelasnya, meskipun jangka masa kempen yang agak lama iaitu kira-kira seminggu, tiada perkara tidak diingini berlaku yang boleh menjejaskan reputasi mahasiswa.

Malah, katanya, pengenalan sistem undian elektronik atau e-undi yang mula diperkenalkan kali ini juga mendapat sokongan padu semua pihak dan meningkatkan lagi integriti dan kepercayaan pelajar.

Sementara itu, Pengurus Pilihan Raya UMS, Prof. Madya Dr. Ismail Ali berkata, pengundian yang bermula pada pukul 9 pagi hingga 5 petang berjalan lancar.

Katanya, seramai 6,643 daripada 10,423 orang pelajar yang layak mengundi keluar membuang undi hari ini.

"Daripada lapan calon yang bertanding bagi merebut tujuh kerusi kawasan umum, Faezan Amidun mendapat undi tertinggi iaitu sebanyak 5,733 manakala calon tersingkir ialah Abduh Haleem Azeezur Rahman dengan undi 4,920," ujarnya.


0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan