PIBG minta polis siasat Xavier

Isnin, 18 Januari 2010

KLANG 17 Jan. - Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Daerah Klang hari ini meminta polis menyiasat Dr. Xavier A. Jayakumar yang didakwa menyalah guna kuasa dalam pengagihan Tabung Dana Sekolah-Sekolah Tamil Selangor berjumlah RM1.67 juta tahun lalu.

Permintaan itu terkandung dalam laporan polis yang dibuat oleh anggota jawatankuasa PIBG Daerah Klang, G. Jeganathan, 44, di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang di sini hari ini.

Xavier yang merupakan Exco Kerajaan Selangor didakwa mengagihkan wang tabung tersebut yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri kepada tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Tiga NGO yang didakwa menerima peruntukan itu adalah Pusat Pembangunan, Pembelajaran dan Maklumat Kanak-Kanak (CHILD), Yayasan Penyelidikan, Kebajikan dan Pendidikan (EWRF) serta Yayasan Tamil.

"Sepatutnya wang peruntukan itu diberikan terus kepada lebih 90 sekolah Tamil atau PIBG di Selangor," kata Jeganathan ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Menurut beliau, laporan itu dibuat kerana pihaknya tidak berpuas hati dengan tindakan Xavier menyalurkan wang RM1.67 juta itu kepada tiga NGO dan bukannya kepada pihak PIBG atau sekolah-sekolah Tamil Selangor seperti yang sepatutnya.

"Saya tidak berpuas hati dan saya mahu polis menyiasat perkara ini.

"Mengapa kerajaan negeri tidak menyerahkan terus wang tersebut kepada pihak sekolah atau PIBG seperti yang dilakukan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang?

"Kenapa wang itu perlu diberikan kepada NGO dan kemudian memberi alasan ia akan disalurkan semula kepada pihak sekolah?" katanya.

Beliau mendakwa, jika wang tersebut disalurkan kepada NGO, dibimbangi ia tidak akan digunakan untuk membangun dan menaik taraf sekolah-sekolah Tamil di Selangor yang kebanyakannya daif.

Dakwanya, ini terbukti kerana tiada wang diserahkan oleh pihak NGO terlibat kepada sekolah-sekolah Tamil setakat ini.

Kata Jeganathan, beliau telah menghantar surat kepada Xavier untuk mendapatkan penjelasan mengapa peruntukan itu disalurkan kepada NGO tetapi masih belum mendapat jawapan.

Sementara itu, Xavier yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja-pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin negeri ketika dihubungi pemberita berkata, beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Jeganathan atas tuduhannya yang tidak berasas.

"Kenapa dia buat laporan polis sedangkan dia tidak tahu apa program yang telah dirancang?

"Salah satu NGO itu, CHILD telah membuka 22 kelas tadika di sekolah Tamil dengan peruntukan tersebut," katanya.

Menurut beliau, kerajaan negeri membuat keputusan untuk menyalurkan peruntukan itu kepada tiga NGO terlibat kerana merasakan ia jalan terbaik untuk meningkatkan taraf pendidikan di kalangan pelajar India.


0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan