Petanda Baik Herald Tidak Lagi Guna Kalimah Allah - JAIS

Selasa, 12 Januari 2010

Bijaksana dalam mengurus keadaan adalah langkah yang baik. - Nabila


ARIFFUDDIN ISHAK

PETALING JAYA: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengalu-alukan keputusan akhbar Herald-The Catholic Weekly yang tidak lagi menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya mulai Ahad lalu bagi meredakan perasaan marah umat Islam.

Pengarahnya, Datuk Mohd Khusrin Munawi berkata, pihaknya menyambut baik tindakan tersebut kerana menurut beliau perkara itu sudah semestinya dapat menjernihkan situasi.

"Kalau itulah yang mereka putuskan, kita sangat mengalu-alukan... ini satu petanda baik kepada rakyat dan keamanan di negara ini," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kenyataan Editor akhbar itu, Reverend Lawrence Andrew bahawa akhbar itu tidak lagi menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mereka.

Beliau dilaporkan berkata keputusan itu dibuat pada 4 Januari lalu, didorong atas rasa tanggungjawab untuk menjamin keamanan negara dan kesejahteraan serta keharmonian rakyat berbilang bangsa.

Isu penggunaan kalimah Allah telah mengundang reaksi pelbagai pihak termasuk kemarahan umat Islam apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan akhbar mingguan itu menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya atas alasan ia mempunyai hak dalam Perlembagaan.

Hakim Datuk Lau Bee Lan menegaskan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah bertindak secara salah ketika mengenakan larangan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan akhbar mingguan itu.

Bagaimanapun, pada 6 Januari lalu, Lau membenarkan permohonan Menteri Dalam Negeri untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan awalnya sementara menunggu Mahkamah Rayuan membuat keputusan rayuan menteri.

Selain itu menurut Mohd Khusrin, JAIS akan bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) akan menguatkuasakan undang-undang yang menghalang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam, iaitu Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan dan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) yang diwartakan sejak 1988.

"Kita akan sentiasa memantau mengenai perkara ini sejajar dengan titah Sultan Selangor," katanya.

Semalam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menitahkan MAIS supaya teguh dengan pendirian mengharamkan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam bagi memelihara akidah umat Islam dan keharmonian beragama.

Baginda turut menitahkan semua pihak supaya mematuhi keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor pada 10 Jun 2008 yang memutuskan kalimah Allah adalah kalimah suci khusus bagi agama serta umat Islam dan tidak boleh digunakan agama bukan Islam. - MStar


0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan