Penyelesaian Segera Kes Sedang Dikaji: Abdul Gani

Sabtu, 16 Januari 2010

PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara sedang mengkaji kemungkinan menguatkuasakan perundangan berhubung pengurusan kes jenayah, persidangan pra-perbicaraan dan tawaran rayuan bagi membolehkan penyelesaian segera kes-kes, sebagaimana dituntut oleh orang ramai.
Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, langkah telah juga diambil bagi menambah bilangan timbalan pendakwa raya (DPP) dan peguam persekutuan bagi memenuhi keperluan mahkamah yang bertambah.

"DPP juga ditugaskan di mahkamah-mahkamah rendah bagi membolehkan kes dikendalikan segera tanpa sebarang halangan," katanya dalam ucapan pada majlis "Perasmian Tahun Perundangan 2010" di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Abdul Gani berkata, sementara pejabatnya menyokong langkah mahkamah mempercepat proses perbicaraan, terdapat kemungkinan berlaku ketidakadilan jika ini dilaksanakan secara 'overzealous'.

Peguam Negara mengambil perhatian, hal-hal sebegini berlaku bila seseorang hakim mengarahkan perbicaraan diteruskan, sekalipun peguam atau DPP yang mengendali kes jatuh sakit, atau hakim mengarahkan sesuatu kes yang pada awalnya ditetapkan pada tarikh lain, dipercepatkan tarikh perbicaraan, tanpa notis yang cukup kepada peguam atau DPP.

Beliau juga berkata, DPP perlu melakukan pendakwaan dengan cara adil, sempurna dan bertanggungjawab, oleh itu pihak berkepentingan perlu bersikap sabar dan menunjukkan persefahaman agar keadilan berlaku.

"Kita mesti berhati-hati bagi menjamin respons pendakwaan adalah lengkap dan sempurna. Antara lain, ini bererti tuduhan tidak harus dikemukakan sebelum masanya, dengan harapan sebarang jurang pembuktian dapat ditutup, ketika kes dibawa ke perbicaraan.

"Sesungguhnya, mengemukakan tuduhan yang kemudian ditarik balik akibat kesulitan pembuktian, pada pendapat saya, adalah kaunter-produktif, jika pun bukan tidak bertanggungjawab," katanya. Abdul Gani berkata, matlamat murni menetapkan sasaran bagi penyelesaian kes-kes mestilah juga diimbangi dengan keperluan bahawa keadilan tidak dikorbankan.

"Selain menjamin penyelesaian segera kes-kes demi menjamin keadilan, kita perlu juga melihat di luar statistik dan angka, dan mengambil kira isu insani. Bila melibatkan pengendalian isu hidup dan mati, atau yang menjejas kebebasan seseorang, pertimbangan sewajarnya mesti diberikan kepada semua faktor relevan demi mencapai keadilan," katanya.

Diminta mengulas mengenai perkembangan kes lelaki Lubnan, Elie Yousseff Najem, yang ditangkap bersama wang palsu bernilai AS$66.2 juta (RM225 juta), Ahad lalu, Abdul Gani menggesa semua pihak bersabar.

Beliau berkata, pihak polis perlu diberikan masa secukupnya agar penyiasatan terperinci dapat dijalankan demi memastikan keadilan.

Elie, 50, yang pernah mendakwa memiliki kekayaan bernilai AS$46 bilion dibebaskan dengan jaminan polis petang semalam, selepas tahanan reman yang dikenakan terhadapnya sejak Ahad lalu berakhir. - BERNAMA


0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan