Pengaruh Rakan Sebaya Penyebab Murtad di Selangor

Ahad, 31 Januari 2010

NURUL AIN MOHD HUSSAIN

SHAH ALAM: Pengaruh rakan sebaya didapati menjadi sebahagian daripada faktor yang menyumbang kepada budaya murtad di Negeri Selangor, demikian dedah Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS) Datuk Mohamed Khusrin Munawi.

Bercakap dalam satu temuramah eksklusif dengan mStar Online, beliau berkata, terdapat sebanyak 109 kes murtad dilaporkan di negeri itu sejak tahun 2007 hingga 2009.

Bagaimanapun beliau menjelaskan, statistik juga menunjukkan kes murtad yang dilaporkan di Selangor mencatatkan penurunan pada tahun lalu.

“Pada tahun 2007 terdapat 27 kes, tahun 2008 42 kes, 2009 ia mencatatkan penurunan dengan 40 kes dilaporkan dan setakat bulan Januari 2010, baru ada 3 kes,” katanya.

Menurut Mohamed Khusrin, terdapat unit khas yang diwujudkan di Jabatan Mufti dan mereka yang hendak keluar Islam akan dipanggil untuk menjalani sesi kaunseling tersebut.

"Setakat hari ini sebanyak 13 kali panel unit khas ini telah bersidang dan memanggil mereka yang terlibat," katanya.

Jelasnya, terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi seseorang itu untuk keluar Islam antaranya ialah masalah perkahwinan terutamanya di kalangan mualaf.

"Apabila perkahwinan sesuatu pasangan itu bermasalah seperti suami tidak bertanggungjawab dan ada juga yang menerima ugutan daripada keluarga asal mereka.

"Hal ini menyebabkan golongan mualaf tersebut menghadapi tekanan dan menyebabkan mereka mahu kembali kepada agama asal mereka," ujarnya.

Tambahnya, ada juga kes terpencil seperti mangsa memang bukan beragama Islam ketika dilahirkan namun nama yang terdapat dalam kad pengenalan mereka nama Islam.

"Kes ini banyak berlaku di kawasan ladang dan pedalaman. Nama mereka Islam tapi mereka memang tidak amalkan ajaran Islam. Jadi mereka memohon untuk menguggurkan nama Islam dalam kad pengenalan mereka.

"Dalam masa yang sama, berdasarkan siasatan yang dijalankan kita dapati pengaruh rakan sebaya turut menyumbang kepada kes murtad ini. Mereka mendakwa Islam pada nama sahaja dan tidak mengamalkan ajaran agama," katanya.

Mengulas lanjut isu berkenaan, beliau berkata, permohonan untuk keluar daripada Islam atau murtad hanya boleh diputuskan oleh Mahkamah Syariah.

"Sebelum sesuatu kes di bawa ke mahkamah jawatankuasa khas ini akan memberi kaunseling dan sekiranya kaunseling tidak berjaya untuk bawa mereka yang ingin kembali kepada ajaran agama.

"Jadi kita akan serahkan kepada pihak mahkamah untuk putuskan tindakan selanjutnya," katanya.

Setakat ini, Mahkamah Syariah di Selangor belum ada sebarang keputusan untuk membenarkan kes murtad atau keluar daripada Islam.

Dalam menangani masalah murtad di negeri itu, Mohamed Khusrin berkata, Unit Pembangunan Insan, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) turut menjalin kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dengan mengadakan sesi kaunseling dan penerangan kepada orang ramai.

Bagaimanapun, katanya, isu keluar Islam melibatkan akidah dan pendirian agama seseorang itu sukar untuk diubah dan ia mengambil masa yang panjang.

"Bagi saya ini satu tugas yang berat dan kita tetap akan teruskan sehingga kes-kes tertunggak ini selesai.

"Kebanyakan golongan yang terlibat dengan kes murtad ini ialah mereka yang berusia di awal 30 an dan mereka ini masuk Islam kerana perkahwinan.

"Mereka kebanyakannya mengalami masalah rumah tangga setelah berkahwin selama 3 hingga 5 tahun,” ujarnya.

Mohamed Khusrin turut mengakui bahawa isu penggunaan kalimah Allah memberi impak kepada golongan mualaf kerana ia menimbulkan kekeliruan kepada mereka.

"Sebab itu kita berharap isu kalimah Allah ini tidak dipolitikkan oleh mereka yang tidak faham tentang isu ini.

"Kita harap golongan ini tidak bercakap dan cuba mentafsir isu itu kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat Islam terutamanya golongan mualaf dan mereka yang sedang dalam dilema untuk keluar Islam.

"Biarlah isu ini ditangani oleh pihak berkuasa berdasarkan enakmen dan undang-undang negeri sedia ada.

"Berdasarkan laporan yang kita terima semalam, pihak kami mendapati individu dan tokoh politik menggunakan masjid sebagai pentas untuk menyampaikan ceramah dan tazkirah bersifat politik dalam isu penggunaan kalimah Allah ini,” katanya.

Tegasnya, perkara tersebut tidak wajar dilakukan kerana ia akan hanya menimbulkan perpecahan di kalangan umat Islam kerana masjid dan surau sepatutnya dijadikan tempat beridat dan menyampaikan ajaran agama.

"Kita harap pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini menghentikan perbuatan sebegitu kerana perkara ini termaktub dalam Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam), Negeri Selangor Tahun 1988.

"Kita telah menyenaraikan beberapa perkataan lain seperti baitullah, solat dan alhamudillah antara yang dilarang penggunaannya oleh orang bukan Islam," katanya.

Bagaimanapun, katanya, dari segi penguatkuasaan ada beberapa perkara yang menyukarkan kita untuk mengambil tindakan.

Namun demikian, Mohamed Khusrin menegaskan bahawa JAIS akan tetap menyiasat setiap kes yang dilaporkan dan pihaknya akan mengambil tindakan yang sewajarnya kepada mereka yang didapati bersalah.

Di bawah seksyen itu, seseorang yang didapati melakukan kesalahan memujuk, mempengaruhi atau menghasut seseorang yang beragama Islam supaya cenderung kepada mana-mana agama bukan Islam, atau supaya menjadi penganut atau anggota mana-mana agama bukan Islam, atau supaya meninggalkan atau tidak suka kepada agama Islam.

Mereka boleh disabitkan mengikut seksyen kecil (1) dan jika didapati bersalah boleh dikenakan penjara sehingga satu tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.


0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan