Pelaksanaan bajet terpantas – PM

Jumaat, 8 Januari 2010

Nasib baik bajet 2010 lulus, kalau tidak entah mana nak letak muka Najib. - Nabila

SAIFUL HAIZAN HASAM
dan FAIZAH IZZANI ZAKARIA

KUALA LUMPUR 7 Jan. – Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan pelancaran operasi Klinik 1Malaysia hari ini merupakan satu rekod pelaksanaan bajet tahunan yang terpantas dan amat jarang dicapai sebelum ini.

Perdana Menteri berkata, dengan pelancaran Klinik 1Malaysia Kerinchi di Pantai Dalam di sini, sebanyak 44 buah Klinik IMalaysia memulakan operasinya di seluruh negara.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Kementerian Kesihatan kerana dalam tempoh kira-kira dua bulan sahaja cadangan mewujudkan Klinik 1Malaysia menjadi kenyataan.

Menurutnya, kejayaan itu sekali gus menterjemahkan gagasan 1Malaysia iaitu ‘Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’.

“Hari ini kita bukan sahaja membuka klinik di sini tetapi sebagai tanda 44 klinik di seluruh negara memulakan operasinya dan ini bererti hampir semua sasaran dalam Bajet 2010 dapat dicapai dalam tempoh seminggu pertama 2010.

“Saya kira ini merupakan satu rekod bajet tahunan kerana dalam masa begitu pantas semua sasaran dicapai,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Klinik 1Malaysia Kerinchi di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Ismail Merican.

Sewaktu membentangkan Bajet 2010 di Dewan Rakyat pada 23 Oktober tahun lalu, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan akan memperkenalkan perkhidmatan klinik kesihatan komuniti yang dinamakan Klinik 1Malaysia di kawasan bandar yang berfungsi seperti klinik desa di luar bandar.

Sebagai permulaan sebanyak 50 buah Klinik 1Malaysia akan dibuka di kawasan terpilih dengan peruntukan sebanyak RM10 juta.

Terdahulu dalam ucapan pelancaran Klinik 1Malaysia Kerinchi, Perdana Menteri menjelaskan, kerajaan mewujudkan klinik tersebut bagi memastikan perkhidmatan penjagaan kesihatan dapat dinikmati oleh setiap warganegara secara adil dan saksama.

Katanya, melaluinya juga rakyat keseluruhannya berpeluang mendapat penjagaan kesihatan berkualiti yang selama ini menjadi milik golongan berada.

“Jadi, akses kepadanya mestilah dengan harga yang paling minimum iaitu RM1, saya tidak tahulah mana negara lain di dunia yang ada konsep sebegini dengan bayaran RM1 sahaja.

“Apa yang boleh kita dapat dengan RM1? Nak beli rokok yang tidak sepatutnya dihisap juga tidak boleh, gula yang tidak sepatutnya dibeli secara banyak sudah berharga RM1.65 sekilogram, tapi dengan RM1 itu kita boleh dapat rawatan di Klinik 1Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut Najib berkata, Klinik 1Malaysia juga menjimatkan kos pengangkutan kerana ia terletak di kawasan kejiranan rakyat dan lebih menarik ia dibuka di luar waktu pejabat sehingga pukul 10 malam.

Selain itu jelasnya, para pesakit tidak perlu lagi menunggu terlalu lama seperti di hospital untuk rawatan sebaliknya akan menerima layanan khas daripada para petugas.

“Ia juga menguntungkan Kementerian Kesihatan kerana dapat mengurangkan kesesakan di hospital kerana Klinik 1Malaysia juga merawat penyakit-penyakit biasa seperti demam, sakit perut dan selesema,” katanya.

Sementara itu pada pelancaran Klinik 1Malaysia di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang selepas itu, Najib berkata, projek tersebut menjadi bukti bahawa kerajaan di bawah Barisan Nasional (BN) bertanggungjawab menunaikan segala janji-janji kepada rakyat.

“Kita tak payah cakap dan janji, kita buat dan ambil tindakan. Hari ini ia jadi kenyataan. Tak payah janji bulan bintang, janji macam-macam janji. Kita tak perlu berjanji. Kita akan buat terus demi membela kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, BN akan tetap melaksanakan kewajipannya untuk terus membela rakyat selagi parti itu diberi mandat untuk berbuat demikian.

“Klinik 1Malaysia ini menjadi contoh inilah kerajaan untuk semua dan bila kita katakan bahawa kita mendahulukan rakyat, pencapaian tetap diutamakan. Dengan ini keyakinan rakyat kepada kerajaan akan bertambah,” katanya.

Najib berharap rakyat menggunakan kemudahan yang disediakan itu dengan sebaik mungkin.

Katanya, kerajaan juga akan terus memperbanyakkan lagi projek dan program berasaskan kepentingan rakyat seperti itu pada masa depan.

“Ia akan terus menjadi pegangan kepada kerajaan yang ada sekarang ini,” katanya. - Utusan


0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan