Pas tak sunyi daripada masalah - Nik Aziz

Selasa, 19 Januari 2010

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Isu 'cah keting' atau cantas-mencantas yang ditimbulkan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kelmarin merupakan satu bentuk peringatan bahawa Pas tidak sunyi daripada menghadapi masalah seperti itu.

Ketua Penerangan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd. Shahir berkata, sebagai sebuah parti Islam, tidak bermakna masalah tersebut tidak boleh berlaku di dalam Pas.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak di dalam parti itu, sama ada di peringkat kepemimpinan atau ahli agar kembali kepada perjuangan asal iaitu menegakkan syiar Islam di negara ini.

"Secara peribadi saya tidak hairan masalah ini boleh berlaku dalam Pas kerana keadaan yang sama juga pernah berlaku ketika zaman Sahabat Rasulullah iaitu Saidina Ali.

"Pada zaman itu berlaku kekacauan. Kemudian ada seseorang bertanyakan kepada Saidina Ali mengapa kekacauan ini boleh berlaku lalu Saidina Ali berkata ini disebabkan aku mempunyai pengikut seperti kamu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas pengakuan terbuka Nik Abdul Aziz bahawa wujud budaya 'cah keting' dalam Pas sehingga menimbulkan kepincangan dalam parti tersebut.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub ketika memberi reaksi berhubung isu tersebut turut mengesahkan kewujudan amalan itu di dalam parti berkenaan.

Menurut Salahuddin, perbuatan tersebut tidak dapat dielakkan kerana ahli-ahli Pas juga merupakan manusia biasa yang mempunyai kekurangan.

Dalam pada itu, Roslan meminta semua pihak lebih bertanggungjawab dengan tidak melakukan perkara-perkara yang boleh mencemarkan serta menjejaskan nama baik parti.

''Inilah cabaran yang terpaksa kita hadapi. Saya mengingatkan diri saya dan rakan-rakan semua agar lebih istiqamah dengan perjuangan agar kita tidak menjadikan manfaat keduniaan sebagai matlamat,'' katanya lagi.


0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan