Pas kumpul dana RM130,288

Jumaat, 29 Januari 2010

TANAH BERCANGKUL – Pas Kawasan Raub berjaya mengumpul dana RM130,288 hanya dalam satu malam bagi tujuan pembinaan kompleks pentadbiran di Sempalit.

Kompleks Pas Kawasan Raub yang bernilai sehingga RM525,000 itu bakal dibina dengan menggunakan dana kutipan ahli dan dermawan seluruh negeri.

Pengarah Projek, Badaruddin Aminuddin berkata, kompleks itu akan menjadi pusat sehenti dengan menghimpunkan pelbagai kemudahan khas buat ahli Pas dan Pakatan Rakyat (PR) termasuk masyarakat.

Menurutnya, kutipan dana akan dilakukan dari semasa ke semasa terutama ketika mengadakan pelbagai program sepanjang tahun.

“Setakat hari pertama Pelancaran Dana Kompleks Pas Kawasan Raub, kita berjaya mengutip RM130,288 termasuk derma individu RM80,000 atas nama Allahyarhamah Zilam Yusof yang disampaikan anaknya.

“Kompleks ini akan dibina secara berperingkat dengan mengutamakan dewan aktiviti dan pejabat pentadbiran,” katanya pada Majlis Pelancaran Dana Kompleks Pas Kawasan Raub di Restoran Hussin di sini, semalam.

Pesuruhjaya Pas Negeri, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hadir merasmikan majlis itu.

Hadir sama Setiausaha Perhubungan Pas Negeri, Roslan Zainal; Ketua Pas Kawasan Raub, Dr Mohamed Nilam Abdul Manaf; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Chong Siew Onn; Wakil Khas DAP Raub, M Selvarajah dan Ketua PKR Cabang Raub, Harris Abdullah.

Badaruddin berkata, individu berminat boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Islam 06046010012696 atas nama Jawatankuasa Hartanah Pas Kawasan Raub atau menghubungi terus Bendahari Pas Kawasan Raub, Tengku Shah Amir Tengku Perang.

Beliau berkata, sekiranya kompleks itu siap sepenuhnya, masyarakat boleh menikmati kemudahan seperti pusat aktiviti kanak-kanak, rawatan Islam, klinik perubatan, klinik pergigian, tempat rekreasi dan gelanggang futsal.

“Kita mahu melihat anak bangsa kita sama-sama membangun dan menikmati pelbagai kemudahan setiap komuniti.

“Kejayaan kita membentuk komuniti sejahtera dan selesa dianggap sebagai contoh pengurusan terbaik di bawah urus tadbir pemimpin berpotensi,” katanya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, PR yakin dapat menawan Pahang pada pilihan raya umum akan datang dengan kerjasama semua pimpinan PR serta ahli dedikasi memperjuangkan matlamat parti.

Beliau berkata, setiap sumber semula jadi di negeri ini sekiranya diuruskan dengan baik akan meningkatkan ekonomi negeri sekali gus mengembalikan kesejahteraan kepada rakyat.

“Sekiranya diperhalusi, negeri ini kaya dengan sumber semula jadi seperti emas, balak, pantai cantik dan kawasan tinggi berpotensi dimajukan tanpa sebarang kerosakan.

“Setiap perkara diusahakan ini harus dikembalikan semula kepada rakyat sebagai manfaat yang perlu dinikmati secara sama rata sekali gus mengukuhkan sumber sedia ada dari semasa ke semasa,” katanya.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan