Panglima al-Qaeda terbunuh

Ahad, 17 Januari 2010

SANAA 16 Jan. - Seorang Pegawai kanan Yemen mendakwa serangan udara yang disasarkan ke atas konvoi kumpulan al-Qaeda yang berpusat di semenanjung Arab mengakibatkan enam orang pemimpin kumpulan itu terkorban termasuk panglima tentera mereka.

Tambahnya, serangan itu disasarkan ke atas lapan individu yang disyaki terlibat dengan kumpulan militan berkenaan.

"Enam orang pemimpin al-Qaeda termasuk panglima mereka, Qassem al-Rimi terbunuh semalam," kata jurucakap yang tidak mahu dikenali itu.

Qassem al-Rimi yang berjaya meloloskan diri dari penjara di Sanaa pada Februari 2006 bersama 23 yang lain, hingga memalukan kerajaan Yemen turut terbunuh dalam serangan itu.

Dia berada dalam senarai 152 orang yang paling dikehendaki oleh pihak berkuasa di negara ini.

Militan lain yang terbunuh ialah Ayedh al-Shabwani, kata jurucakap itu yang tidak mahu mendedahkan nama empat lagi militan yang terbunuh dalam pertempuran di utara Yemen itu.

Bagaimanapun, seorang pegawai keselamatan memberitahu pemberita seorang pengikut setia kumpulan al-Qaeda warga Mesir yang dikenali sebagai Ayman al-Masri adalah antara yang terbunuh bersama-sama seorang lagi yang dikenali sebagai Abdullah Hedi al-Tais.

Sementara itu, dua suspek pengganas lagi dikenali sebagai Ammar al-Waili dan Saleh al-Tais berjaya melepaskan diri dalam serangan itu. - AFP


0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan