Orang politik jangan campur tangan

Selasa, 19 Januari 2010

SAIFUL HAIZAN HASAM

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Pemimpin politik termasuk yang mempunyai latar belakang pengajian agama dan undang-undang dinasihatkan supaya tidak mencampuri isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, perkara itu sepatutnya hanya dirujuk kepada alim ulama yang tiada kepentingan politik supaya tidak timbul kecelaruan di kalangan umat Islam.

"Orang yang tak faham agama usahlah bercakap, bab agama ini kita serah kepada ulama muktabar, ulama politik daripada Pas pun tidak layak bercakap kerana ia akan menambahkan kekeliruan.

"Saya pun tak setuju ada dua undang-undang berbeza antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak dan pada masa yang sama tidak bersetuju juga dengan hujah Karpal Singh kerana dia peguam yang berpolitik," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang menyifatkan pandangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz hanya penganut Kristian di Sabah dan Sarawak dibenar mengguna kalimah Allah sebagai tidak logik.

Menurut Karpal, penggunaan kalimah itu perlu dibenarkan di seluruh negara sehinggalah keputusan Mahkamah Tinggi itu diketepikan.

Sementara itu, Ibrahim menyelar Pas kerana mempolitikkan isu tersebut sehingga masyarakat keliru apabila sekadar menyatakan kekhuatiran mereka berhubung penyalahgunaan kalimah suci itu.

Sambil menyifatkan pendirian pas itu sebagai tiada maruah, beliau mencabar kerajaan Pas di Kelantan dan Kedah membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di negeri masing-masing.

"Tidak kira apa pandangannya dari sudut agama, yang kita mahu ialah pendirian kerajaan Pas, buktikan keikhlasan dan jangan mempolitikkan isu ini.

"Berilah jawapan 'ya' atau 'tidak' dan laksanakan pendirian itu di negeri masing-masing," tegasnya.

Mengulas lanjut, beliau mencadangkan semua Menteri Besar memberi nasihat kepada raja masing-masing supaya membuat titah seperti Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu semua pihak akur penggunaan kalimah Allah hanya untuk agama Islam

''Inilah yang terbaik kerana urusan agama Islam adalah di bawah kuasa raja-raja Melayu manakala bagi Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

"Semua rakyat perlu taat dan inilah yang dimaksudkan dalam perlembagaan dan gagasan 1Malaysia," katanya. - Utusan


0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan