Nik Sapeia lafaz sumpah tidak serang Dr. Mahathir

Isnin, 18 Januari 2010

KOTA BHARU 17 Jan. - Ahli perniagaan, Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff yang didapati bersalah dalam kes menyembur bahan berbahaya terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini bersumpah yang beliau tidak melakukannya.

Biarpun akur dengan keputusan Mahkamah Majistret Khamis lalu, Nik Sapeia berkata, lafaz itu tetap dilakukan bagi membersihkan nama baiknya dan keluarga yang telah tercela.

"Hari ini saya bersumpah dengan nama Allah, Wallahi, Wabillahi , Watallahi. Demi Allah, saya tidak menyerang Tun sebagaimana dakwaan yang dikenakan terhadap saya," ujarnya.

Beliau melafazkan sumpah pada sidang media di rumahnya di sini yang turut dihadiri anggota keluarga, rakan perniagaan dan politik.

"Saya melakukan (sumpah) selaku orang yang dituduh dan juga selepas hukuman dijatuhkan agar tidak menjejaskan perjalanan perundangan," ujarnya.

Khamis lalu, Nik Sapeia, 56, yang didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret di sini kerana menyebabkan kecederaan dengan menyembur bahan berbahaya terhadap bekas Perdana Menteri itu dihukum penjara enam bulan.

Bagaimanapun Majistret Azman Mustapha membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman bagi membolehkan tertuduh yang juga seorang ahli politik mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Naib Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa pada pukul 11 pagi, 28 Julai 2006.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Nik Sapeia memberitahu, lafaz sumpah itu dibuat dengan penuh kesedaran terhadap akibat-akibatnya kelak dalam kehidupan di dunia dan akhirat.

"Inilah jalan akhir bagi saya selaku seorang Islam dan pemimpin di kalangan masyarakat di negara yang Islam sebagai agama rasmi untuk memperlihatkan kebenaran, membersihkan diri dan nama yang tercemar.

"Ia selari dengan tuntutan agama. Apa yang saya lakukan ini dibuat dengan turut merujuk kepada ulama dan mereka menunjukkan jalan ini dan kebenaran memberikan saya kekuatan," ujarnya.

Kata beliau, setelah disabitkan dengan kesalahan itu, ia memberi kesan emosi yang begitu mendalam terutama bagi keluarganya apatah lagi ketika berdepan dengan masyarakat.

Mengenai rayuan terhadap hukuman itu, beliau berkata, undang-undang membenarkannya berbuat demikian, justeru ia akan terus dibuat mengikut saluran dan akan menerima apa sahaja keputusan kelak.


0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan