Najib Cipta Sejarah Dengan Lawatan Rasmi Ke Chennai

Selasa, 19 Januari 2010

B. ANBUMANI
(Yang Mengikuti Lawatan Rasmi Perdana Menteri Ke India)

LAWATAN empat hari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke New Delhi dan Chennai mulai esok bakal mencipta satu sejarah baru di mana beliau merupakan Perdana Menteri Malaysia yang pertama yang akan melakukan lawatan rasmi ke ibu kota Tamil Nadu di selatan India itu.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mengadakan perjumpaan ringkas secara tidak rasmi dengan bekas Ketua Menteri Tamil Nadu mendiang M.G.Ramachandran ataupun lebih dikenali sebagai MGR, iaitu pelakon tersohor dalam dunia perfileman Tamil pada tahun 1983.

Akhbar-akhbar di India, sama ada yang berpusat di New Delhi atau Chennai, sudah mula memberikan liputan yang luas mengenai lawatan Najib yang mereka sifatkan sebagai "Perdana Menteri Reformasi".

Media di India melaporkan bahawa lawatan Najib buat pertama kali sejak dilantik sebagai Perdana Menteri keenam Malaysia akan memberi harapan baru dan suntikan semangat yang lebih meyakinkan dalam memperkasakan lagi hubungan dua hala.

Lawatan julung kali oleh seorang Perdana Menteri Malaysia ke Chennai pula bukan sahaja dinanti-nantikan oleh masyarakat India di Tamil Nadu malah masyarakat India di Malaysia juga begitu tertarik dengan pendekatan Najib untuk berada di Chennai.

Ini adalah kerana masyarakat India di Malaysia mempunyai pertalian yang akrab dengan Tamil Nadu sejak bertahun-tahun lagi dari aspek pertalian darah, persaudaraan, kebudayaan, agama dan perniagaan.

Justeru itu, lawatan Najib ke Tamil Nadu dijangka akan mendapat liputan yang luar biasa kali ini.

Adalah difahamkan ramai juga ahli perniagaan dari Malaysia yang menjalankan perniagaan di Chennai mahupun di Malaysia "tersentuh" dengan keputusan Najib untuk melawat Chennai.

"Beliau telah membuktikan dirinya sebagai Perdana Menteri untuk semua kaum melalui gagasan Satu Malaysia. Biasanya New Delhi yang menjadi tumpuan tetap. Inilah buat pertama kali seorang perdana menteri Malaysia akan melakukan lawatan rasmi ke Chennai.

"Dasar keterbukaan Najib akan memberikan satu lembaran baru antara Malaysia dan Tamil Nadu," kata seorang ahli perniagaan dari Malaysia yang menjalankan perniagaan tekstil di Kuala Lumpur.

Apa yang pasti kehadiran Najib di Chennai ketika musim perayaan ponggal (musim menuai) sekarang di Tamil Nadu bakal memberikan satu harapan baru kepada kedua-dua pihak.

Kemuncak lawatan di Chennai ialah pertemuan antara Najib dengan Ketua Menteri Tamil Nadu, Kalaignar M. Karunanidhi yang bakal mencatat satu lagi sejarah baru dalam hubungan antara Kuala Lumpur dan Chennai.

Kalaignar merupakan seorang pemimpin terkemuka di kalangan masyarakat India di seluruh dunia. Beliau juga merupakan seorang penyair, penulis, tokoh kesusasteraan India yang disegani dan juga dihormati di kalangan masyarakat India di merata dunia.

Pertemuan antara Najib dan Kalaignar dijangka akan menjurus kepada isu-isu yang berkaitan dengan visa pelancongan untuk pelancong Malaysia dan India, peluang perniagaan di Chennai dan Kuala Lumpur dan masalah permit melibatkan sektor perniagaan kecil seperti di restoran, kedai gunting rambut dan sebagainya.

Perdana Menteri juga dijadualkan mengadakan perjumpaan dengan ahli-ahli perniagaan Malaysia serta para pelajar Malaysia dan ini merupakan kali pertama para pelajar itu berpeluang untuk bersemuka dan berinteraksi dengan beliau.

Selain berucap di forum "16th CII Global Partnership Summit 2010" bertajuk "Hubungan Serantau dan Persaingan", Najib dijangka mengadakan rundingan meja bulat dengan beberapa ahli-ahli perniagaan yang tersohor di India dan seterusnya merasmikan Ekspo Hartanah Malaysia di Chennai. - MStar


0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan