Mampat sokong MB dedah laporan bumbung stadium runtuh

Jumaat, 15 Januari 2010

KUALA TERENGGANU, 14 Jan: Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) menyokong penuh kesediaan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said mahu mendedahkan laporan penuh hasil siasatan jawatankuasa penyiasatan mengenai bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak yang runtuh tahun lepas.

Begitupun, pengerusinya, Mohamad Fauzi bin Abu Samah yang berbesar hati dengan kesediaan itu berharap kenyataan Ahmad tidak sekadar menjadi gula-gula politik tetapi mendedahkannya dengan telus supaya rakyat dapat menilai siapa yang bertanggungjawab.

“Mampat juga berharap agar semua pihak dapat mengambil iktibar atas apa yang berlaku dan mengelakkan daripada mengulangi kesilapan pada masa-masa yang akan datang,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Berikut ialah kenyataan penuh Mampat mengenai perkara itu.

Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) merasa terpanggil untuk memberikan respons berkaitan kenyataan daripada Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah, pemilik Senibahri Arkitek melalui laporan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 11 Januari 2010 bertajuk Siarkan laporan penuh bumbung runtuh, dan kenyataan daripada Menteri Besar Terengganu yang dilaporkan oleh laman web Bernama, bertarikh 13 Januari 2010 bertajuk Kerajaan Terengganu Akan Dedah Jika Terima Laporan Bumbung Stadium Runtuh.

Pertamanya, Mampat ingin menyatakan sokongan penuh supaya laporan jawatankuasa penyiasatan berkaitan runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan disiarkan sepenuhnya. Rakyat Terengganu telah maklum bahawa kos pembinaan Stadium Sultan Mizan melebihi RM250 juta dan dikatakan antara stadium yang tercanggih.

Namun yang menimbulkan persoalan besar di kalangan rakyat adalah bagaimana sebuah stadium yang dibina dengan kos yang tinggi dan teknologi yang canggih runtuh dalam masa setahun selepas dirasmikan. Persoalan rakyat ini hanya akan terjawab seandainya laporan penuh disiarkan untuk dinilai oleh rakyat.

Mampat juga bersetuju bahawa pendedahan laporan secara ringkas dengan mempersalahkan semua agensi sebagaimana yang dikemukakan oleh Menteri Kerja Raya hanya akan menimbulkan pelbagai spekulasi dan tanggapan negatif kepada pihak yang tidak sepatutnya.

Mampat berharap dengan pendedahan laporan penuh Jawatankuasa Penyiasatan akan dapat menjawab pelbagai persoalan yang timbul di kalangan rakyat Terengganu setelah enam bulan rakyat Terengganu tertungu-tunggu sepanjang siasatan dijalankan.

Seterusnya Mampat ingin menyatakan sokongan penuh kepada Menteri Besar atas kesudian kerajaan negeri mendedahkan laporan penuh hasil siasatan jawatankuasa penyiasatan. Mampat menyambut kenyataan ini dengan penuh berbesar hati.

Naman begitu, Mampat mengharapkan agar kenyataan Menteri Besar tidak sekadar menjadi gula-gula politik kepada rakyat. Pendedahan yang telus perlu disiarkan supaya rakyat Terengganu dapat menilai siapa yang bertanggungjawab. Mampat juga berharap agar semua pihak dapat mengambil iktibar atas apa yang berlaku dan mengelakkan daripada mengulangi kesilapan pada masa-masa yang akan datang.

Mampat juga dimaklumkan bahawa kerajaan negeri telah menganugerahkan projek membaik pulih stadium kepada kontraktor yang sama. Mampat berpandangan bahawa penganugerahan projek ini adalah tidak munasabah dan menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat.

Ini kerana berdasarkan rekod dan hasil kerja yang lepas, dibimbangi kejadian runtuhan yang sama akan berulang. Seandainya penganugerahan ini atas dasar guaranti daripada kontraktor yang lepas, projek ini seharusnya ditanggung sepenuhnya oleh kontraktor.

Namun begitu Mampat difahamkan bahawa kerajaan negeri telah memperuntukkan RM50 juta untuk kerja-kerja pembaikian. Dalam situasi di mana kontraktor asal perlu bertanggungjawab, rakyat melihat tindakan kerajaan negeri mengeluarkan peruntukan sebagai satu tindakan yang tidak tepat kerana kos baik pulih tidak perlu ditanggung oleh kerajaan negeri.

Oleh itu, Mampat berharap agar kerja-kerja baik pulih dapat diselesaikan secepat mungkin tanpa menimbulkan keresahan di kalangan rakyat. Mampat ingin menegaskan bahawa projek baik pulih ini seharusnya dijalankan mengikut prosedur yang telah ditetapkan dan dipantau oleh pihak-pihak yang berautoriti dengan rapi.

Akhirnya, Mampat mengharapkan agar laporan jawatankuasa penyiasatan diserahkan kepada Kerajaan Negeri Terengganu secepat mungkin dan akan didedahkan kepada rakyat untuk dinilai dan diadili secara saksama. - Harakahdaily

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan