Makanan tiada logo halal dikesan

Jumaat, 15 Januari 2010

TUMPAT - Tindakan berani kontraktor untuk mendapat keuntungan besar dalam tender pengurusan makanan kering di asrama sehingga sanggup menyediakan makanan tiada logo halal kepada pelajar asrama berjaya dikesan oleh Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan dalam operasi ‘Gempur Asrama’ bermula hari pertama sesi persekolahan lalu.

Ketua Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Manusia JPN, Siti Meriam Mohmed berkata, dua sekolah di jajahan ini dikenakan tindakan apabila ada kontraktor melanggar tender senarai makanan kering asrama ketika operasi ‘Gempur Asrama’ tersebut.

Menurutnya, pihak JPN tidak akan bertolak-ansur dengan mana-mana kontraktor makanan yang melanggar syarat pemakanan kerana peruntukan yang diberikan cukup bagi menampung setiap kuntiti dan kualiti makanan yang harus diberikan kepada pelajar asrama.

“Kerajaan memperuntukkan kira-kira RM54 juta untuk penyediaan pengurusan makanan bagi asrama di negeri ini yang melibatkan 128 buah.

Kontraktor terbabit yang bertanggungjawab bagi tender pengurusan makanan kering di asrama yang didapati melanggar tender tersebut tidak teragak-agak dikenakan tindakan pemotongan sebanyak 20 peratus pembayaran harga makanan yang disediakan kepada pelajar asrama nanti,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Kesyukuran dan Solat Hajat Perdana di Sekolah Kebangsaan Pulau Beluru, di sini.

Menurutnya, ketika tinjauan dilakukan ke asrama di sekolah dalam daerah Kota Bharu, Machang, Pasir Mas dan Tumpat, mendapati ada kontraktor tidak mengikut spesifikasi senarai makanan kering yang betul apabila sebahagian menggunakan bahan yang tidak mempunyai logo halal dan ada yang mendapatkan bahan daripada negara jiran.

Siti Meriam berkata, antara bahan makanan kering yang popular tidak menepati senarai makanan kering yang ditenderkan adalah kicap, belacan, papadom, mee kering dan bihun yang dijual di pasaran dengan harga murah dan tiada logo halal.

“Pihak kami percaya kontraktor berkenaan mengambil kesempatan ke atas peruntukan yang diberikan bagi menjimatkan kos perbelanjaan untuk penyediaan makanan kepada pelajar asrama.

“Setiap kontraktor mendapat peruntukan berdasarkan jumlah setiap senarai harga bahan makanan dan ini tidak sepatutnya setiap kontraktor mengambil kesempatan kerana setiap pelajar ini berhak mendapat kuantiti dan kualiti makanan yang sepatutnya walau pun lima kali sehari perlu dihidangkan makanan kepada pelajar asrama ini,” katanya.

Menurutnya, amaran dan peringatan kepada kontraktor telah diberikan supaya tidak mengulanginya dan jika perkara sama terjadi mereka akan disenarai hitam serta akan melaporkan kepada bahagian pemerolehan dan pembangunan.

‘Gempur Asrama’ di jajahan ini melibatkan enam sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tumpat, SMK Genting, SMK Chabang Empat, SMK (A) Falahiah dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Beluru.

Gempur ini melibatkan kerjasama pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tumpat dan JPN yang bermula Januari sehingga April yang mana akan melibatkan pelbagai sudut dan aspek kebersihan persekitaran sekolah bagi mencapai tahap keracunan sifar.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan