Lewat rawat, jari anak kena potong

Jumaat, 29 Januari 2010

TAPAH ROAD - “Saya kecewa kerana dengan kelalaian doktor yang lewat merawat menyebabkan saya terpaksa menanggung kesengsaraan sepanjang hayat.

Demikian keluh seorang guru pelatih, Mohd Hanafe Ramli, 24, yang menerima hakikat sebahagian jari anak sebelah kanan tangannya terpaksa dipotong hanya kerana lewat menerima rawatan di Hospital Tapah (HT) setelah mengalami kemalangan jalan raya Jumaat lalu.

Katanya, ketika kejadian, dia dalam perjalanan ke sekolah pada jam 7.15 pagi, sebelum digesel sebuah van menyebabkan motosikal ditunggangnya terbabas dan terjatuh di tepi jalan.

“Akibat kemalangan itu, saya mengalami kecederaan agak serius pada jari anak tangan kanan dan mengeluarkan darah yang banyak. Rakan membawa saya ke Unit Kecemasan hospital berkenaan untuk mendapatkan rawatan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurut Mohd Hanafe, sebaik tiba di Unit Kecemasan hospital itu pada jam 7.30 pagi, dia hanya diberi rawatan biasa oleh seorang Pembantu Perubatan.

“Saya dimaklumkan doktor bertugas di Unit Kecemasan akan tiba jam 8.30 pagi untuk memberikan rawatan. Malangnya, saya terpaksa menunggu hampir tiga jam sebelum doktor itu sampai.

“Bagaimanapun, dia tidak memberikan rawatan di atas kecederaan yang saya alami ini, sebaliknya memberi surat rujukan meminta saya mendapatkan rawatan di Hospital Teluk Intan (HTI),” katanya.

Kata beliau, sebaik tiba di HTI, dia dimaklumkan doktor bertugas, hujung jari anak tangan kanannya yang luka itu terpaksa dipotong.

Kejadian itu, katanya, mengecewakan beliau kerana terpaksa menanggung kecacatan fizikal seumur hidupnya hanya disebabkan kesilapan pihak lain.

“Kini saya mengalami kecacatan kekal dan kecewa dengan apa yang berlaku kerana ia bukan disebabkan kecuaian saya, tetapi daripada kelalaian pihak berkenaan yang tidak sepatutnya berlaku jika terus memberi perhatian terhadap kes ini,” katanya.

Sementara itu, jurucakap HT ketika dihubungi mengesahkan ada menerima pendaftaran Mohd Hanafe di Unit Kecemasan pada hari kejadian, sebelum meminta guru pelatih itu merujuk ke HTI untuk rawatan.

Jurucakap itu bagaimanapun, enggan mengulas lanjut berhubung kejadian menimpa Mohd Hanafe.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan