Khazanah tidak akan lepaskan PLUS

Jumaat, 15 Januari 2010

KUALA LUMPUR 14 Jan. - Khazanah Nasional Holdings Bhd. (Khazanah) tidak akan melepaskan pegangan mereka di dalam PLUS Expressway Bhd. (PLUS) kerana syarikat itu adalah kompetitif dan diuruskan dengan baik.

Pengarah Urusannya, Tan Sri Azman Mokhtar berkata, PLUS merupakan aset utama Khazanah dan mereka tidak berhasrat untuk menjualnya.

''Kami masih lagi menunggu keputusan kerajaan. Sebagai pemegang saham terbesar PLUS, kami akan memastikan syarikat itu beroperasi dengan efisien.

''Pada masa ini, PLUS beroperasi dengan baik dan merupakan antara 10 syarikat tol terbaik di dunia. Apa yang penting memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas taklimat Kajian Tahunan Khazanah 2010 di sini hari ini.

Tambah Azman, sekiranya Khazanah berhasrat menjual, ia hanya akan menjual secara berperingkat tetapi bukan melupuskan keseluruhan sahamnya.

''Sekiranya pasaran berada dalam keadaan baik, mungkin kami akan menjual tetapi tidak dalam kuantiti yang besar,'' jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi kononnya sebuah syarikat khas, Asas Serba Sdn. Bhd. berminat untuk membeli PLUS.

Selain itu, Khazanah juga telah memulakan perbincangan dengan Hong Leong Bank Bhd. (Hong Leong Bank) untuk menjual kepentingan mereka di dalam EON Capital Bhd. (EONCap) selepas menerima kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM).

Azman berkata, pegangan mereka sebanyak 10 peratus di dalam EONCap bukanlah pegangan yang strategik kerana tidak mempunyai wakil dalam Lembaga Pengarah.

''Kami telah menerima kelulusan BNM untuk meneruskan perbincangan dengan Hong Leong Bank dalam usaha menjual kepentingan tersebut.

''Tetapi perbincangan masih lagi di peringkat awal,'' katanya.

Hong Leong Bank sedang berbincang dengan pemegang saham EONCap dalam usaha untuk memiliki sama ada aset dan liabiliti EON Bank atau pegangan ekuiti EONCap dalam unit perbankannya.

Sekiranya berjaya, gabungan entiti itu akan menjadi bank keempat terbesar di Malaysia dari segi aset.


0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan