Kes liwat Anwar ditangguh lagi

Khamis, 21 Januari 2010

NORLIZAH ABAS

PUTRAJAYA 20 Jan. - Perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) ditangguhkan sehingga 2 Februari ini bagi membolehkan Mahkamah Persekutuan memutuskan dahulu rayuannya untuk mendapatkan semua dokumen penting pendakwaan bagi menyediakan pembelaan.

Perbicaraan tersebut yang sepatutnya didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Isnin ini sehingga 25 Februari ditangguhkan bagi memberi laluan mahkamah tertinggi itu menentukan rayuan Anwar pada 29 Januari ini.

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria ketika menangguhkan sidang hari ini berkata, mereka memerlukan masa seminggu untuk meneliti penghujahan yang dibangkitkan sebelum mengeluarkan sebarang perintah.

Beliau yang bersidang bersama Hakim Datuk Md. Raus Sharif dan Hakim Datuk Abdull Hamid Embong selesai mendengar rayuan Anwar bagi memperoleh semua dokumen penting pendakwaan serta contoh asid deoksiribonukleik (DNA) Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 24, sebelum perbicaraan bermula.

Keputusan itu amat penting dan mengikat prosiding mahkamah kerana ia melibatkan tafsiran terhadap Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah yang membenarkan pendakwaan mendedahkan bukti kes secara automatik sebelum perbicaraan.

Pada 6 November tahun lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Hasan Lah membenarkan rayuan pendakwa raya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkannya membekalkan dokumen penting kepada Anwar.

Panel tersebut turut menolak rayuan balas Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bagi mendapatkan spesimen DNA yang telah diuji milik Mohd. Saiful Bukhari yang juga pengadu kes.

Dokumen penting lain yang turut gagal diperoleh termasuk rakaman percakapan Mohd. Saiful Bukhari, Dr. Osman Abdul Hamid dari Hospital Pusrawi, pemilik kondominium, Hassanuddin Abdul Hamid dan tiga lagi saksi.

Ia juga melibatkan laporan perubatan pakar dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Pusrawi, laporan kimia, senarai saksi pendakwaan dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari pondok pengawal di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara serta kawasan lif Blok 11 kondominium itu di antara 25 Jun dan 27 Jun 2008.

Pemimpin pembangkang itu menghadapi tuduhan meliwat mangsa di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di ibu negara di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Ketika prosiding rayuan, peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar berhujah, keputusan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah agar pendakwa raya membekalkan dokumen penting tidak boleh dirayu ke peringkat tertinggi.

Beliau menghujahkan, ini kerana perintah itu bukannya muktamad kerana ia dikeluarkan pada peringkat awal perbicaraan manakala keputusannya tidak memberi hak akhir kepada mana-mana pihak.

Karpal menyatakan, oleh kerana ia bukan keputusan akhir, Mahkamah Rayuan tidak mempunyai bidang kuasa mendengar dan memutuskan rayuan pendakwa raya.


0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan