Kenyataan Ku Li bertentangan 10 tahun lalu

Ahad, 31 Januari 2010

RODELIO JUNJUN TAUCAN

BACHOK 30 Jan. – Kenyataan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bahawa Kelantan berhak untuk mendapat royalti minyak sebanyak lima peratus daripada Kerajaan Pusat adalah bertentangan dengan pendirian beliau lebih 10 tahun lalu.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, pada masa itu, Tengku Razaleigh adalah pemimpin yang paling lantang menafikan hak Terengganu ketika pemimpin Pas di negeri itu mengemukakan tuntutan sama.

Dengan merujuk pada laporan beberapa akhbar pada tahun 2000, Awang Adek berkata, Tengku Razaleigh yang merupakan bekas Pengerusi Petronas tahu setiap perjanjian berhubung pengeluaran minyak dan gas di perairan negara ini, kerajaan negeri memang tidak mempunyai hak.

“Waktu itu katanya kerajaan Terengganu memang tidak ada hak untuk mendapatkan royalti. Memang dalam perjanjian Petronas beliau tahu minyak yang dijumpai di luar 5.5 kilometer (tiga batu nautika) dari perairan bukan hak kerajaan negeri.

“Jadi sebagai seorang negarawan, kenapa Terengganu tidak boleh tetapi Kelantan boleh. Kalau beliau kata mempunyai hak bersuara, saya juga berhak dan pendekatan saya adalah memperingatkan kembali apa yang telah dikatakan oleh beliau sebelum ini,” katanya kepada pemberita di Tangok, Bachok di sini hari ini.

Awang Adek turut membawa rujukan berupa salinan laporan muka depan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 1 November 2000 bertajuk, Minyak: Penjelasan Ku Li.

Dalam laporan itu, Tengku Razaleigh yang merupakan bekas Menteri Kewangan berkata, kerajaan Pas Terengganu tidak boleh mempertikaikan kedudukan wang ihsan kerana wang yang disalurkan selama ini walaupun atas nama royalti minyak, bukanlah hak negeri itu.

Beliau yang menerajui syarikat minyak nasional itu semasa perjanjian dengan kerajaan Terengganu dimeterai pada 1975 dilaporkan berkata, semasa Petronas ditubuhkan telah dinyatakan bahawa tiada sebuah negeri pun di Semenanjung berhak ke atas hasil minyak yang dijumpai di kawasan yang berada di luar ‘wilayah’ mereka.

Selain Utusan Malaysia, laporan berkenaan turut disiarkan pada tarikh yang sama di muka depan akhbar Berita Harian bertajuk Royalti: Ku Li buka mulut dan akhbar New Straits Times bertajuk Terengganu not entitled to oil royalty, says Razaleigh.

Kelmarin, ketika berucap pada Majlis Solat Hajat dan Ceramah Perdana Royalti Petroleum di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, Tengku Razaleigh berkata, kehadirannya pada malam tersebut adalah berdasarkan prinsipnya yang mahu menegakkan keadilan dan memperjuangkan nasib rakyat Kelantan yang ditindas selama ini.

Jelasnya, sebagai individu yang terlibat dengan penubuhan Petronas dan berdasarkan Akta Kemajuan Petroleum, beliau tahu kerajaan negeri mempunyai hak menerima royalti sebanyak lima peratus walaupun pada kawasan yang bertindih dengan Thailand.

Sehubungan itu, Awang Adek berkata, pendirian Tengku Razaleigh sepatutnya tidak berubah terutama sekali beliau adalah pemimpin kerajaan yang dihormati dan disegani.

Pendedahan itu katanya, bukan bertujuan mahu menyerang atau membidas pemimpin itu sebaliknya menjelaskan perkara sebenar kepada rakyat negeri ini.

“Saya orang baru dan beliau pemimpin lama cuma saya nak jelaskan apa yang dulu dan sekarang sudah tidak sama. Ini (laporan akhbar) bukan satu akhbar saja yang siarkan tetapi banyak lagi,” tambah Awang Adek. - Utusan


0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan