Kemelut Dalam Istana Perlu Diselesaikan Segera - MB Kelantan

Jumaat, 8 Januari 2010

Kelantan, daripada atas sampai bawah semuanya berkemelut. - Nabila

KOTA BAHARU: Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berharap pergolakan dalaman Istana Kelantan dapat diselesaikan segera agar tidak menjejaskan integriti institusi itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak akan campurtangan dalam kemelut dalaman itu kerana ia perlu diselesaikan oleh pihak istana sendiri.

Justeru pada pandangannya, kemelut istana itu dapat diselesaikan jika tiada pihak yang cuba mendahului pemerintah yang telah dilantik.

Beliau diminta mengulas kenyataan Pejabat Sultan Kelantan semalam bahawa Tengku Temenggong, Tengku Muhammad Fakhry tidak berhak mengikut Undang-undang Tubuh Negeri Kelantan untuk bertindak bagi pihak Sultan Kelantan yang kini menjalani rawatan di Singapura.

Pengelola Istana, Datuk Abdul Halim Hamad dilaporkan sebagai berkata, hanya Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra berhak sepenuhnya menyampaikan titah sepanjang ketiadaan baginda di negeri ini.

Sehubungan itu, katanya, surat bertajuk 'Penyampaian Titah KDYMM Al-Sultan Kelantan' yang ditandatangani oleh Tengku Muhammad Fakhry adalah tidak sah mengikut peruntukan di dalam Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.

Masalah itu bermula apabila Sultan Kelantan berangkat menerima rawatan susulan di Singapura Mei tahun lalu dan putera sulung baginda, Tengku Muhammad Faris Petra dilantik sebagai pemangku raja.

Tengku Muhammad Faris kemudiannya mengambil beberapa tindakan termasuk melakukan rombakan dan menggugurkan keahlian anggota Majlis Perajaan Negeri yang turut melibatkan kedudukan adinda baginda, Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry.

Nik Abdul Aziz berkata beliau bersetuju dengan tindakan Abdul Halim yang dilihat menjelaskan keadaan berhubung kemelut dalaman Istana serta menegaskan semua pihak harus menghormati pemerintah.

Beliau berkata semua pihak harus bersyukur kerana Malaysia sahaja masih mempunyai sistem beraja manakala sistem beraja di negara-negara lain seperti Indonesia, Filipina dan Singapura telah dihapuskan.

Katanya jika sistem beraja tidak dijaga dan dihormati oleh semua pihak termasuk kerabat sendiri ia akan menjejaskan kredibiliti dan nama baik institusi itu yang telah sekian lama diamalkan negara serta termaktub di dalam perlembagaan.- BERNAMA


0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan