Kalimah Allah: Majlis Gereja Bantah Dua Undang-Undang Berbeza

Sabtu, 16 Januari 2010

ARIFFUDDIN ISHAK

PETALING JAYA: Majlis Gereja Malaysia membantah keputusan kerajaan yang hanya membenarkan penganut agama Kristian di Sabah dan Sarawak menggunakan kalimah Allah namun menghalang penggunaannya di Semenanjung.

Presidennya, Rev. Dr Thomas Phillips berkata, tidak logik untuk memperkenalkan dua undang-undang berbeza dalam sebuah negara.

"Sekarang kita amalkan konsep 1Malaysia, kenapa pula perlu ada undang-undang berbeza bagi menangani satu isu yang sama?

"Apa bezanya Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung? Pelik rasanya kita perlu adakan undang-undang yang berlainan," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang membenarkan penganut Kristian di Sabah dan Sarawak menggunakan kalimah Allah dalam upacara sembahyang dan keagamaan kerana secara tradisinya ia telah diamalkan sejak dahulu lagi.

Bagaimanapun Mohamed Nazri dilaporkan berkata, penganut Kristian dan pihak gereja di Semenanjung tetap tidak dibenarkan menggunakan kalimah Allah dalam sebarang upacara keagamaan termasuk penerbitan.

Menurut beliau lagi, larangan tersebut turut melibatkan penganut Kristian Sabah dan Sarawak yang tinggal di Semenanjung.

Mengulas lanjut, Dr Thomas yang juga Pengerusi Majlis Perunding Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao berkata, kerajaan perlu mengkaji semula keputusan berkenaan kerana isu tuntutan penggunaan kalimah Allah itu bukan hanya meliputi skop Sabah dan Sarawak sahaja.

"Isu yang sebenarnya ialah bagi gereja-gereja yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perantara serta beberapa bahagian dalam penerbitan Herald (Herald-The Catholic Weekly) yang diterjemah ke Bahasa Malaysia.

"Kita memang tak ada masalah bagi gereja yang guna bahasa Inggeris, kita memang tak guna perkataan Allah... tapi yang kita tuntut penggunaannya ialah apabila ia diterjemah ke bahasa Malaysia, jelas sekali ia melibatkan semua negeri di Malaysia," katanya.

Isu penggunaan kalimah Allah telah mengundang reaksi pelbagai pihak termasuk kemarahan umat Islam apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya atas alasan ia mempunyai hak dalam Perlembagaan.

Hakim Datuk Lau Bee Lan menegaskan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah bertindak secara salah ketika mengenakan larangan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan akhbar mingguan itu.

Bagaimanapun, pada 6 Januari lalu, Lau membenarkan permohonan Menteri Dalam Negeri untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan awalnya sementara menunggu Mahkamah Rayuan membuat keputusan rayuan menteri.

Selain itu, Dr Thomas berkata, pihaknya tetap mahu menunggu keputusan mahkamah berhubung perkara berkenaan.

"Lebih baik kita serahkan perkara ini kepada mahkamah, kita nantikan apa keputusannya nanti," katanya. - MStar


0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan