Jenazah Tok Mat Selamat Dikebumikan Di Bukit Kiara

Sabtu, 2 Januari 2010

Yang datang akan pergi, yang pergi tak kembali lagi. Hanya amalan bekalan perjalanan ini. - Nabila

PETALING JAYA: Jenazah Bekas Menteri Penerangan dan bekas Setiausaha Agung Umno Tan Sri Mohamed Rahmat telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini pada pukul 5.45 petang tadi.

Allahyarham, yang sepatutnya menyambut ulang tahun kelahirannya ke-72 pada Isnin depan, dilaporkan meninggal dunia dalam tidur di kediamannya di Bukit Damansara pagi tadi.

Turut hadir di majlis pengebumian itu adalah Datuk Seri Mohd Shafie Afdal, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Azmi Khalid.


Anak sulungnya Datuk Nur Jazlan, yang juga Anggota Parlimen Pulai, berkata bapanya disedari meninggal dunia kira-kira 8 pagi ini ketika ibunya Puan Sri Salbiah Abdul Hamid mengejutnya bangun daripada tidur.

"Beliau meninggal dalam tidur," katanya ketika ditemui pemberita di kediaman bapanya di sini, hari ini.

Beliau berkata Allahyarham bapanya menghidap penyakit buah pinggang sejak 10 tahun lepas dan perlu menjalani rawatan dialisis setiap hari.

Sinonim dengan gelaran 'Tok Mat', pemimpin veteran Umno itu menjadi Menteri Penerangan sebanyak dua kali, iaitu dari 1978 hingga 1982 semasa kepimpinan Tun Hussein Onn dan dari 1987 hingga 1999 ketika kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia bertaraf Menteri dari 1982 hingga 1984.

Selain itu, Allahyarham menyandang jawatan Setiausaha Agung Umno sejak 1988 hingga 1996 dan Setiausaha Agung Barisan Nasional dari 1988 hingga 1999.

Semasa menjadi Menteri Penerangan, Allahyarham memperkenalkan Program "Setia Bersama Rakyat" (Semarak) yang bertujuan meningkatkan semangat cintakan negara.

Ketegasannya juga turut ditampilkan antaranya dalam menyelesaikan isu disiplin artis tempatan apabila mengarahkan penyanyi rock memotong rambut panjang mereka jika mahu menyertai program di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Antara yang mematuhi arahan beliau ialah kumpulan rock Wings dengan penyanyi utamanya, Awie dan Amy bersama kumpulan Search.

Allahyarham Tok Mat meninggalkan seorang balu, tiga orang anak dan lima orang cucu.


0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan