Jangan kelirukan atau politikkan kalimah Allah- PAS

Selasa, 5 Januari 2010

PAS parti politik, walaupun ramai pimpinan tak setuju dengan penggunaan nama Allah bila bermesyuarat mereka mengeluarkan satu pandangan jauh kedahapan demi Politik Islam di Malaysia. - Nabila


Nazri Abdullah & Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 5 Jan: PAS memberi peringatan kepada semua pihak agar tidak menyalahgunakan perkataan Allah bertujuan untuk mengelirukan atau menjadikan isu tersebut sebagai politik murahan mendapat sokongan rakyat.

Pendirian PAS itu dibuat Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang melalui satu kenyataan yang dibaca Ketua Penerangan, Idris Ahmad selepas mesyuarat khas Lajnah Politik bersama Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut malam tadi.

Bagaimanapun PAS ujar Abdul Hadi, amat menghormati prinsip kebebasan beragama seperti yang ditekankan oleh Islam kerana manusia tidak boleh dipaksa untuk menerima mana-mana agama melainkan ia merupakanpilihan sendiri.

Prinsip kebebasan beragama juga katanya, telah termaktub dalam perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

"Walau demikian, dalam konteks masyarakat di Malaysia, suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira atas kepentingan awam bagi memelihara keharmonian pelbagai kaum dan agama,"kata kenyataan itu.

PAS turut menjelaskan bahawa berdasarkan kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenarkanuntuk digunakan oleh agama Samawi seperti Kristian dan Yahudi.

Namun, penggunaannya secara salah dan tidak bertanggungjawab harus dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama di negara ini.

Sehubungan itu, PAS dengan tegas menolak sebarang bentuk tindakan agresif dan provokatif jahat yang boleh menggugat keharmonian dan mencetuskan ketegangan masyarakat di negara ini.

"PAS dengan segala rasa penuh tanggungjawab bersedia untuk menjelaskan isu ini kepada semua pihak bagi mewujudkan suasana yang harmoni berdasarkan kepada prinsip keadilan seperti yang termaktub dalam perlembagaan dan di jamin oleh Islam," katanya lagi..


Turut hadir dalam mesyuarat sebelum itu Presiden PAS,Datuk Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa, Naib Presiden, Salahudin Ayub dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha, Datuk Mustafa Ali dan Ketua Dewan Muslimat, Ustazah Nuridah Salleh.

Pendirian tersebut juga dibuat selepas mengambil kira semua faktor termasuk melihat kepada pandangan semua pihak sebelum ini.

Khamis lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan membenarkan akhbar mingguan terbitan gereja Katholik, Herald, menggunakan perkataan Allah sebagai ganti 'God' dalam bahasa Inggeris.

(Gambar: Antara pemimpin PAS yang menyertai sidang media isu penggunaan kalimah Allah di pejabat Agung PAS malam tadi)

Hakim Datuk Lau Bee Lan dalam keputusannya memberitahu Herald mempunyai hak pada sisi perlembagaan untuk menggunakan perkataan tersebut.

Keputusan ini menimbulkan reaksi negatif daripada pelbagai pihak termasuk 13 Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang bertindak membuat laporan polis sebagai membantah tindakan majalah milik aktivis Kristian itu.

Antara NGO terbabit ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Ikatan Rakyat India Muslim Malaysia (IRIM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Belia 4B.

Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri melahirkan kebimbangan penggunaan perkataan Allah disalahgunakan biarpun tidak salah untuk diguna kesemua agama samawi.

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Hari ini, KDN akan memfailkan permohonan bagi penangguhan pelaksanaan perintah mahkamah itu yang dibuat pada 31 Disember.


0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan