Jangan cuba lencong isu Bazar Tok Guru – MTRK

Selasa, 19 Januari 2010

KOTA BHARU 18 Jan. – Kerajaan negeri tidak harus ‘melencongkan’ isu Bazar Tok Guru yang secara jelas merugikan rakyat dengan menimbulkan persoalan tentang mereka yang membocorkan maklumat mesyuarat Exco kerajaan negeri.

Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Zahari Kechik berkata, kerajaan negeri sewajarnya menjalankan siasatan berhubung kesilapan itu dan bukannya menutup kepincangan berkenaan bagi mengalih pandangan rakyat.

Beliau berkata, Pas tidak boleh berselindung di sebalik Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana ia melibatkan kepentingan rakyat negeri ini.

“Persoalan pokok ialah kerajaan sudah kehilangan berjuta-juta ringgit. Ini duit rakyat, jadi kenapa Exco kerajaan, Datuk Takiyuddin Hassan membangkitkan soal kebocoran maklumat dan OSA.

“Menteri Besar sudah mengaku kerajaan negeri membuat silap dan kena bayar, apa hal OSA pula timbul. Akta ini hanya digunakan untuk kepentingan rakyat dan perkara yang mengancam negara, jadi kerajaan negeri mesti realistik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Takiyuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri mempersoalkan bagaimana maklumat mesyuarat Exco kerajaan negeri bocor kepada orang yang tidak bertanggungjawab dalam isu Bazar Tok Guru.

Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengaku kerajaan negeri telah melakukan kesilapan teknikal dan terpaksa membayar sejumlah wang bagi mendapatkan semula aras bawah bazar yang dibangunkan secara bersama antara Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dan sebuah syarikat swasta.

Kesilapan kerajaan negeri itu telah didedahkan oleh bekas Pegawai Perhubungan Awam PMBK, Syed Azidi Syed Abdul Aziz melalui blognya, Kickdefella.

Blog itu mendakwa kerajaan negeri terpaksa membayar sebanyak RM23 juta untuk mendapatkan semula aras bawah bazar berkenaan daripada pemaju kerana mahu menunaikan janji pilihan raya umum lalu kepada para peniaga di Arked Uda dan Pasar MPKB.

Kerajaan Pas Kelantan ketika itu berjanji mereka akan ditempatkan semula di aras bawah bangunan berkenaan dengan harga mampu milik namun kemudiannya mereka dimaklumkan akan ditempatkan di tingkat 1 dan 2.

Zahari berkata, agak pelik juga apabila pemimpin Pas mula bercakap mengenai OSA kerana parti itu sebelum ini menentang hebat penggunaan akta tersebut bersama Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Inilah jadinya apabila kepentingan peribadi melebihi kepentingan rakyat dan sekarang mereka seperti meludah ke langit kerana tiba-tiba bercakap mengenai OSA.

“Kerana itu, MTRK mengingatkan kerajaan negeri supaya mengkaji secara mendalam setiap projek yang akan dilakukan. Jangan hanya mahu memberi keuntungan kepada kontraktor tertentu sahaja kerana ia milik rakyat,” katanya.


0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan