Hakim Augustine Paul Meninggal Dunia

Ahad, 3 Januari 2010

Dia akan dihakimi pula dihadapan Allah s.w.t. - Nabila

KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri S. Augustine Paul meninggal dunia semalam akibat penyakit kronik yang dideritainya sejak beberapa lama. Beliau berumur 65 tahun.

Beliau meninggalkan seorang isteri Datin Seri Dr Mary Paul dan dua anak iaitu Dr Juliana Sharmini, 29, dan Alan John, 27.

Beliau menghembuskan nafas terakhir pada 2.45 petang di Hospital Selayang, kata menantunya Robert Devan, 37.

Keranda yang membawa jenazahnya akan berlepas dari kediamannya di No. 16, Lorong Taman Pantai 7, Bangsar, Kuala Lumpur pada pukul 2 petang hari ini ke Parish of St Peter di No. 441, Seksyen 96A, Jalan Changkat Riong bagi upacara pengebumian pada 2.30 petang.

Augustine, lulusan BarristeratLaw dari Inner Temple, England, memulakan kerjaya beliau pada 1971 sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan kemudiannya sebagai majistret di Ipoh, Perak.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Sesyen di Temerloh, Pahang, Melaka dan Pulau Pinang dan merupakan pengerusi jawatankuasa khas mengenai percukaian sebelum dilantik Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Mei, 1998.

Kira-kira enam bulan selepas disahkan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, beliau diberikan tugas besar mengendalikan kes rasuah dan liwat membabitkan bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bermula pada November 1998 dan bagi hampir enam bulan, nama beliau sering menjadi bahan berita berikutan sering membuat keputusan "tidak relevan" dalam kes itu.

Tujuh tahun kemudian, Augustine dilantik Hakim Mahkamah Persekutuan dan beliau mempunyai beberapa bulan lagi sebelum bersara apabila menghembuskan nafas terakhir semalam.

Sementara itu, Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi berkata Augustine merupakan seorang yang rajin bekerja.

"Saya tidak mengenali Augustine bagi tempoh yang lama. Bagaimanapun, dalam waktu singkat yang saya mengenali beliau, beliau seorang yang sangat rajin bekerja sehinggakan ke saat-saat akhir...beliau masih bekerja, beliau sentiasa mementingkan kerjanya daripada dirinya sendiri," katanya.

Zaki turut mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan pula menyifatkan Augustine sebagai seorang hakim yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang perundangan.

"Beliau seorang yang komited dalam setiap kerjanya dan tahu mengenai undangundang bagi mengendalikan perbicaraan dengan adil.

"Saya turut mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang," katanya.

Sementara itu, setiausaha mendiang, Norhaniah Abdul Hanan pula menyifatkan Augustine sebagai seorang ketua yang baik dan tidak banyak ragam kepada kakitangannya.

Norhaniah, 54, yang berkhidmat dengan Augustine sejak April 2008, berkata kematian mendiang adalah satu kehilangan besar dalam bidang kehakiman.

"Saya mengenali mendiang ketika saya menjadi setiausaha kepada seorang lagi Hakim Mahkamah Tinggi iaitu Datuk Abdul Wahab Patail," katanya. - BERNAMA





1 comments:

Tanpa Nama berkata...

Inilah antara hakim paling celaka yg Malaysia pernah ada.

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan